31 Oct 2006

Raya artis - Azharina dan Yazer

Azharina raikan anak-anak yatim


JIKA ramai orang sibuk mengadakan rumah terbuka pada Hari Raya Aidilfitri, tetapi berlainan pula halnya dengan Azharina yang akan meraikan anak-anak yatim sempena bulan yang mulia ini. Pada 15 November ini, Azharina akan mengadakan satu majlis khusus bagi meraikan 60 anak-anak yatim di Hotel Coronade, Kuala Lumpur.

Menurut penyanyi berasal dari Sabah ini, niat untuk mengadakan majlis khusus untuk anak-anak yatim itu merupakan nazar yang sudah dipendamnya sejak tahun lalu. “Majlis itu diadakan bagi melunaskan nazar yang telah saya buat. Selepas setahun, baru kini saya dapat menunaikannya. Itupun dengan kerjasama pihak pengurusan Hotel Coronade. “Saya bernazar jika ada rezeki saya teringin meraikan anak-anak yatim. Apatah lagi rezeki saya dalam bidang nyanyian semakin murah sejak kebelakangan ini. “Jadi pada 15 November atau 23 Syawal ini saya harap nazar saya itu akan terlaksana,” katanya yang akan pulang beraya ke Sabah selepas 14 Syawal.

Jelas Azharina, kesibukan menerima undangan menyanyi sejak empat tahun lalu menyebabkan dia sering menyambut Hari Raya Aidilfitri seorang diri di Kuala Lumpur. Bagaimanapun itu bukanlah menjadi penyebab kepadanya untuk berasa sedih sebaliknya dia bersyukur kerana masih berpeluang beraya bersama sanak saudaranya di Negeri Di Bawah Bayu itu.

“Ini tahun keempat saya beraya seorang diri di Kuala Lumpur. Tetapi saya tidak berasa sedih sangat kerana saya sudah puas beraya di Sabah. Saya tetap akan balik ke kampung, cuma lambat sikit. “Insya-Allah saya akan balik beraya di rumah nenek saya di Keningau dan bersama keluarga saya di Kota Kinabalu. Jadi dapatlah merasa kuih-muih kegemaran saya seperti kuih cincin dan kuih ulat bulu. Selain itu, hidangan yang popular di Sabah ialah bakso dan soto,” ujarnya. Selain beraya, sewaktu di Sabah Azharina juga sibuk dengan persiapan perkahwinan adiknya, Adryana yang akan berlangsung pada 11 November nanti di kampung halamannya itu.

Yazer adakan rumah terbuka di Tawau

BIARPUN banyak menghabiskan masanya di Kuala Lumpur tetapi Yazer tidak pernah mengadakan rumah terbukanya di ibu negara. Ini kerana, sanak saudaranya kebanyakannya menetap di Tawau, Sabah dan ia menyulitkan anak bujang ini untuk menganjurkan rumah terbuka secara sendirian di perantauan.

Sebaliknya finalis Akademi Fantasi 3 ini merancang mengadakan rumah terbuka di rumah keluarganya di Tawau dengan menjemput rakan-rakan, jiran tetangga serta sanak saudara pada majlis tersebut. “Tahun ini saya belum ada rancangan untuk mengadakan rumah terbuka. Ia bergantung kepada keadaan dan masa. Tetapi kalau mengadakan rumah terbuka saya biasanya akan menyediakan hidangan seperti soto, nasi kuning, ikan masak sambal dan rendang ayam.
“Selain itu saya juga suka dengan hidangan kuih jala. Kalau tidak ada rumah terbuka sekali pun saya tetap menerima kunjungan tetamu tidak kira siapa juga. Saya tidak lama di Tawau iaitu dalam seminggu lebih sahaja.

“Saya mula bercuti raya sejak hari raya dan selepas itu saya akan pulang semula ke Kuala Lumpur,” ujarnya. Ketika di ibu negara, Yazer menerima banyak undangan ke majlis rumah terbuka yang dianjurkan rakan-rakan artis termasuklah daripada warga kerja syarikat rakaman Luncai Emas Sdn. Bhd. Menurut Yazer, dia tidak berasa sedih kerana sudah dua tahun berturut-turut tidak dapat meraikan 1 Syawal bersama keluarganya kerana sibuk dengan kariernya sebagai penyanyi.

Baginya itu adalah satu pengorbanan yang harus ditempuhinya sebagai anak seni yang baru hendak mencipta nama dalam bidang seni. “Saya pernah melalui pengalaman yang sama ketika masih menuntut di sebuah kolej di Kota Kinabalu selama tiga tahun. Saya pernah balik lambat beraya di kampung saya di Tawau. “Ini kerana perjalanan antara Tawau ke Kota Kinabalu mengambil masa lapan jam jika melalui jalan darat. Kebetulan sewaktu belajar saya bukannya ada banyak duit, hendak beli tiket bas pun tidak ada duit,” katanya.

0 comments: