30 Nov 2006

Persembahan artis di Buhavan Square-30 Nov

Beberapa video footage persembahan artis-artis Skyline yang sempat dirakam semasa mereka mengadakan persembahan pentas bersempena Promosi Jabatan Air Sabah di Buhavan Square Donggongon Penampang pada 30 Nov 2006. Antara artis-artis yang mengambil bahagian terdiri daripada Clarice, Lydia, Reno dan Amat Asir.

Clarice mendendangkan single dari album terbaru beliau yang akan berada di pasaran bulan depan

(The image was very unstable and shaky at the beginning, gara-gara kelam kabut mencari lokasi terbaik untuk shooting maklumlah sampai saja di sana intro lagu sudahpun start, tajuk lagupun tidak sempat dengar)

Lydia Kalidin mendendangkan Asaladan yang dipetik dari album terbaru beliau

Lydia Kalidin mendendangkan sebuah lagu dari album Mega Skyline

Lydia dan Ampal bergurau dengan salah seorang jejaka bertuah

29 Nov 2006

Pesta Tangunggu Paitan


Kepada anda yang gemar mengembara, berkunjung ke Paitan merupakan satu pengalaman yang menarik. Kawasan ini memang terpencil, tapi sekarang sudah boleh dikunjungi dengan mudah melalui jalan bertar yang baru siap dibina menghubungkan Paitan dengan Pitas/Kota Marudu dan juga Paitan - Terusan Sapi (dan terus ke Sandakan). Bermakna sekarang ini sudah ada alternatif dari Barat atau Utara untuk ke Timur Sabah melalui jalan baru Kota Marudu-Paitan-(Sandakan/Lahad Datu/Tawau). Kepada mereka yang selalu pening-pening, mual-mual bila menyusuri jalan berliku-liku KK - Ranau, Ranau - Telupid mungkin ini satu berita yang menggembirakan.

Dan....pssttt....ehemm....yang lagi malatup senang dapat tu daging payau...dan... err...bakas!...tapak kaki dua haiwan ni saja kenampakan dalam hutan....jangan takajut masa kamu driving tiba-tiba kelihatan payau sama bakas berkejar-kejaran menyeberangi jalan....ooops...off topic...terlebih info pula...hehe!

Bili Bili Do


Juara Pertandingan Gema Warisan

Klik gambar untuk versi besar.

28 Nov 2006

Album Krismas keluaran tempatan

Dalam mencari-cari album khas Krismas produksi tempatan Sabah, maka terjumpalah dua buah album yang tertera di bawah ini.

Tajuk: Album Sinding Sinding Do Tadau Christmas
Edaran: Skyline
Artis: Variasi

Album ini sebenarnya diterbitkan pada tahun lalu (2005). Album yang diedarkan oleh Skyline ini memuatkan sembilan trek lagu kesemuanya. Antara pencipta lagu yang menyumbangkan ciptaan mereka termasuklah Ray, Ading dan EMP. Artis yang terlibat pula terdiri daripada peserta-peserta akhir KDM Idol (Reno, Fredo, Leena dan Fran) dan tidak ketinggalan beberapa artis yang bernaung di bawah label Skyline seperti Lydia Kalidin, Jeply Miroh dan Apiang Sausan. Antara lagu-lagu yang menarik termasuklah Merry Christmas (Ray/Artis KDM Idol), Loyou Do Krismas (Ray/Lydia kalidin), Munsikou Tadau Krismas (EMP/Fredo) dan Tadau Krismas Rumikot (Ading/Jeply Miroh)


Tajuk: Pujian dan Penyembahan...Merry Christmas
Edaran: Sabah Music
Artis: Variasi

Semasa membelek-belek kaset ini tertera tahun 1987 pada sampulnya!. Bila diajukan pertanyaan kepada pemilik kedai kaset, beliau memberitahu kaset berkenaan baru saja diedarkan ke kedainya dalam tiga, empat hari lepas. Hmm...stok lama atau tidak, yang penting lagu-lagu dalam album ini boleh tahanlah juga. Terdapat sepuluh trek lagu yang kebanyakannya diilhamkan oleh John dan Jai Samud. Antara artis-artis terlibat ialah John, Jai dan Tommie Samud tidak ketinggalan Dedralyn dan Angel Yudea.


(Note: Memandangkan kuota bandwith radioblog bulan ini hampir mencecah maksimum, lagu-lagu dari album-album di atas akan hanya dapat diupload pada 1 Disember...sabar ya!)

Velvet-Marsha seakrab Erra-Umie

Sementara itu nikmatilah artikel terbaru perkembangan VELVET malatopss...yang nampak semakin ranum sekarang ni.

27 Nov 2006

Penyanyi cilik sensasi Murut

Kelantangan dan kenyaringan suara beliau lewat lagu Butitin ketika diputarkan di tamu-tamu seolah-olah menenggelamkan bunyi hiruk pikuk aktiviti tamu. Saat ini juga lazimnya kelihatan pengunjung-pengunjung tamu, yang mungkin tertanya-tanya siapakah gerangan penyanyi tersebut, bergerak ke arah gerai menjual kaset untuk mendapatkan jawapan. Tuan empunya suara tersebut tak lain tak bukan, seorang penyanyi cilik dari suku kaum Murut, Joshua Marais. Walaupun tiada statistik yang jelas terhadap jumlah jualan album yang memuatkan lagu Butitin, saya dapat bayangkan betapa hebatnya sambutan untuk lagu tersebut terutama di kalangan penggemar-penggemar muzik dari suku kaum Murut. Tersenarainya lagu ini selama berminggu-minggu dalam Carta Rimbai Murut di Sabah VFM di samping beberapa kali menduduki tahta juara carta tersebut, juga membuktikan satu sambutan hangat untuk lagu ini. Mungkin atas sebab ini juga pihak terbabit berpendapat sudah tiba masanya untuk penyanyi cilik ini tampil bersendirian tanpa kelibat kedua ibubapanya. Justeru maka lahirlah album solo pertama beliau Joshua@ Ebot Marais, Sumingkot Taka yang sedang berada di pasaran sekarang. Album yang diterbitkan oleh Dusiah Ropotoh ini mengandungi sepuluh trek lagu yang kebanyakannya dihasilkan oleh seorang pengkarya yang menamakan diri beliau sebagai Sinsingon Power! (tidak pasti pula samada ini nama sebenar, tapi saya merasakan ini hanyalah sekadar nama samaran). Selain beliau nama-nama lain yang disebut termasuklah Suman L, Ahsu, Sangkar Sikin, Nordin Palanok dan Landius. Album yang dirakam sepenuhnya di Bamboo Sound Studio Tambunan ini, selain daripada memuatkan lagu-lagu dari genre etnik pop, tidak ketinggalan memuatkan lagu dari genre lain termasuk genre rap. Malangnya dari senarai sepuluh buah lagu, lagu hits beliau Butitin tidak dimuatkan sekali dalam album ini. Pada pendapat saya elok juga sekiranya lagu tersebut dimuatkan sekali mungkin dalam versi yang berbeza dari versi asal.

Walau apapun nikmatilah saja tiga buah lagu dari album ini di radioblog "Joshua Special"

Fiq mara ke pusingan akhir

Syabas buat Fiq yang berjaya mara ke pusingan akhir dalam rancangan realiti TV pencarian bakat Mentor. Beliau memperolehi markah keseluruhan sebanyak 118.5 mata iaitu hanya satu mata melebihi peserta lawannya Nieyl. Perbezaan mata yang begitu kecil menyebabkan pengadil/penganjur rancangan membuat keputusan untuk melayakkan Nieyl sekali ke peringkat akhir, justeru mengubah jumlah peserta di peringkat akhir dari dua peserta ke tiga peserta. Yang menariknya dalam rancangan khas pengumuman keputusan semalam, yang disiarkan secara langsung oleh TV3, Fiq dan Nieyl memperolehi markah juri yang sama iaitu 64 mata mengatasi Kat yang hanya memperolehi 58 mata. Namun begitu kedudukan peratusan peserta berubah setelah dimasukkan peratusan undian SMS yang lebih memihak kepada Kat (Datuk S dan Datuk K berhabisan mengundi kot!). Kalau mengikut peratusan markah yang diumumkan semalam, Kat berkedudukan teratas (129.6 mata) diikuti dengan Fiq (118.5) dan Nieyl (117.5). Walau apapun semoga kedudukan ini akan berubah pada peringkat akhir nanti yang akan berlangsung pada 3 Disember 2006.

Ikuti laporan seterusnya di mSTAR online

Untuk mengundi FIQ (atau mana-mana protege kegemaran anda sila KLIK SINI)

24 Nov 2006

Estranged tumpang populariti Rich?

Rich menganggotai kumpulan Estranged yang bakal menggegarkan pesada muzik tempatan(Foto The Star Oleh Kevin Tan)

Satu kategori dengan Pop Shuvit dan J.Lo

Setelah mengalahkan nama-nama popular seperti Pop Shuvit dan Jaclyn Victor di Anugerah Era 2006 menerusi kategori Artis Inggeris Tempatan Pilihan, Estranged kini sekali lagi mendapat nominasi bersama-sama 'otai' industri aliran bahasa Inggeris seperti Pop Pshuvit, Love Me Butch serta Jason Lo menerusi Motorola MET 10 Awards. (kisah selanjutnya..)

Fiq juara Mentor?


Keputusan siapakah yang layak ke peringkat akhir program ini akan diumumkan pada minggu hadapan, di mana peserta yang menerima undian sms dan pemarkahan juri profesional tertinggi bagi setiap kumpulan akan berjaya mara ke peringkat tersebut. Banyak pihak bagaimanapun sudah mengandaikan bahawa Kat akan berjaya mengalahkan Ayu untuk ke peringkat akhir. Begitu juga dengan Fiq yang dikatakan bakal menyaingi Nieyl dengan mudah memandangkan sejak bermulanya program Mentor, Fiq sentiasa mendapat peratusan undian yang tertinggi.

23 Nov 2006

Omar Gurisan


22 Nov 2006

Artis beramal


21 Nov 2006

Stage musical


20 Nov 2006

Felix dan Marsha bercakap tentang fesyen


18 Nov 2006

Lagi artis jadi usahawan


Tamu Besar Kota Belud







17 Nov 2006

Lotter dihambat kesibukan

Oleh Boyd PV
boyd_pv@yahoo.com
Hiburan Harian Ekpres
17 Nov 2006


Lotter Petrus Edwin nampaknya semakin ligat mengatur langkah. Sejak muncul naib juara Akademi Fantasia 4, dia tidak menoleh ke belakang. Namanya semakin memuncak dan buktinya, jadual Lotter penuh hingga Mei tahun depan. Dihubungi di pejabat Maestro Talent di Ibu Negara kelmarin, Lotter mengakui adakalanya dia dihambat kesibukan sehingga tidak ada masa untuk diri sendiri.

“Dalam seminggu, saya hanya free dua hari. Selebihnya saya bekerja,” kata anak kelahiran Membakut ini yang sudahpun menjelajah ke seluruh negara menghiburkan peminatnya. Dan minggu depan Lotter mempunyai jadual yang padat di Sabah. “20 November ini saya berada di Kota Kinabalu untuk memenuhi undangan menyanyi dalam satu dinner show. Saya juga akan bertemu peminat di Kota Kinabalu pada 22 November sempena majlis perasmian sebuah premis dan pada 23 November pula saya berada di Lahad Datu.” Dalam sibuk berkejar memenuhi undangan menyanyi di seluruh negara, Lotter khabarnya akan masuk studio untuk rakaman album krismas bersama-sama dengan Velvet, Rich, Marsha, Felix dan Burn. “Perancangannya begitulah. Kami akan muncul dengan sebuah album krismas. Rakaman belum bermula tapi saya fikir semuanya akan dibuat dalam masa terdekat kerana album itu harus berada di pasaran sebelum krismas ini.”

Terlanjur bercakap mengenai album, Lotter turut ditanya mengenai perancangan untuk album solonya sendiri. “Apa-apa hal pun, tentulah Faizal (juara AF4) akan siapkan albumnya dahulu sebelum saya menyusul. Faizal sedang sibuk di studio sekarang ini. Bagi saya sendiri, saya fikir rakaman akan bermula awal tahun depan, mungkin Januari atau Februari, selepas Faizal. Tapi sekarang inipun saya sudah mula merasa kesibukannya kerana selain berkejar memenuhi undangan menyanyi, saya perlu datang ke studio berlatih menyanyikan lagu-lagu untuk album saya,” kata Lotter mengenai albumnya yang berkonsepkan alternatif dan mendapat sentuhan Nerves, Pretty Ugly, “Saya juga sudah menyiapkan dua buah lagu untuk album saya, termasuk sebuah lagu Dusun.” Kerana dihambat kesibukan jugalah maka sehingga kini Lotter belum dapat mencari masa yang sesuai untuk mengikuti kelas memandu. Gelaran Naib Juara AF4, hadir bersama hadiah mewah – sebuah kereta elegen Toyota Vios 1.5G berwarna hitam.

Tapi menurut Lotter sekalipun majlis penyerahan kunci sudah dibuat, dia hanya mampu memandang kereta itu kerana belum memiliki lesen memandu. “Saya dengan Faizal sama sahaja. Ada kereta tapi masih tumpang kereta orang lain atau naik teksi untuk ke mana-mana kerana belum ada lesen memandu. Kalau ada lesenpun, saya bukannya tahu sangat jalan di Kuala Lumpur ini,” kata Lotter yang menyewa rumah di Jalan Kelang Lama bersama Amirul dan Haziq, rakan seangkatannya di AF. “Mungkin saya perlu paksa diri saya mencari masa yang sesuai untuk menghadiri kelas memandu. Saya harap itu akan berlaku dalam masa terdekat,” katanya yang berkali-kali memohon maaf kerana tidak dapat berbual lama gara-gara perlu bersiap untuk kemunculan di pentas, di sebelah petangnya. Semoga perjalanan karier seni yang baru bermula buat anak teruna Petrus Edwin Edin dan Justina Loimin Kalaka ini terus mendapat sokongan dan restu peminat, lebih-lebih lagi di negeri kelahirannya sendiri.

16 Nov 2006

Lydia akur tuntutan hidup

Oleh BOYD PV
Hiburan Harian Ekspress
15 Nov 2006
boyd_pv@yahoo.com

Hampir setahun dahulu, artis Skyline ini pernah mengambil keputusan nekad meninggalkan terus kerjaya nyanyian di lounge kerana ingin memberi tumpuan kepada albumnya. Tidak sampai setahun kemudian, dia mengakui sudaj kembali mengikat kontrak menghiburkan pengunjung di tempat eksklusif. Ironinya, ketika ini album keduanya baru mula menapak di pasaran. Apa sebenarnya yang terjadi? Bersama BOYD PV, kita dekati Lydia Kalidin.

BERSEMBANG dengan artis KDM yang seorang ini tidak terasa masa berlalu. Daripada satu topik ke satu topik dibualkan termasuklah album terbarunya yang mengekalkan namanya sebagai tajuk. Dalam rancak berbual, keluarlah cerita bahawa dia sudah kembali menyanyi di lounge. Ia mengundang pertanyaan kerana satu ketika dahulu sewaktu mempromosikan telemovie lakonannya, Kenapa Dengan Mereka, Lydia Kalidin pernah membuat pengakuan eksklusif bahawa dia sudah serik menjadi penyanyi lounge dan akan meninggalkan kerjaya itu untuk memberi tumpuan kepada kerjaya sebagai artis rakaman. Tambahan pula ketika itu kesihantannya tidak mengizinkan.

Tidak sampai setahun kemudian, hari ini, Lydia kembali menyanyi di lounge. Tentu ada sebab disebalik perkembangan terbaru ini. “Memang dulu saya pernah nekad untuk meninggalkan kerjaya sebagai penyanyi lounge. Ketika itu saya sangat kecewa kerana album pertama saya, Lihuai Oku, gagal menempatkan nama saya sebaris dengan penyanyi KDM yang lain. Menyanyi di lounge menuntut banyak pengorbanan dari segi masa kerana terikat dengan terma kontrak yang ketat dan itu menyukarkan saya untuk mempromosikan album. Tapi daripada pengalaman saya setakat ini, title ‘artis rakaman (album KDM)’ tidak menjanjikan pendapatan lumayan. Sekalipun nama dikenali, undangan untuk menjayakan persembahan pentas sangat terhad,” kata artis yang bernaung di bawah syarikat rakaman Skyline ini ketika berkunjung ke pejabat Daily Express di Tanjung Aru, Ahad lalu.

Menurut Lydia, yang pernah mencari rezeki dengan mengikat kontrak dari satu lounge ke satu lounge yang lain di Sabah dan WP Labuan, dia akhirnya terpaksa akur dengan tuntutan semasa kerana perlu menyara kehidupan sendiri selain membantu keluarganya di Kg Maukab, Ranau. “Lama juga saya berehat dari menyanyi di lounge. Hasrat hati ketika itu memang untuk menumpukan perhatian kepada rakaman album kedua. Tapi dalam pada itu, hidup perlu diteruskan. Saya menggalas tanggungjawab membantu keluarga saya di kampung. Kerana itu, saya umpama menelan kata-kata sendiri apabila terpaksa kembali menyanyi di lounge.” Tidakkah keputusan kembali menghiburkan pengunjung lounge akan menjejaskan urusan promosi album kedua? “Album saya sepatutnya diedarkan selepas album Clarice (John Matha). Saya tidak pasti pula sebabnya, tetapi album saya diedarkan dahulu. Ketika saya diberitahu mengenai perkara ini, saya sudahpun kembali menyanyi (sekitar Oktober lalu). Tapi saya tidak fikir ia akan mengganggu urusan promosi, cuma saya mungkin terkejar ke sana sini,” kata artis berumur 26 tahun ini. “Tidak ada jadual khusus untuk mempromosi album saya dan saya boleh dipanggil bila-bila masa. Tapi saya tidak fikir itu jadi satu masalah.”

Kembali menyanyi di lounge memberi Lydia peluang untuk mempromosikan lagu-lagu KDM kepada pengunjung. “Tempat kerja baru saya, syaratnya tidak begitu ketat. Kami dibolehkan menyanyi sebarang jenis lagu tidak seperti di tempat lain sebelum ini di mana kami tidak boleh menyanyikan lagu rock dan muziknya pula tidak boleh terlalu bising. Kerana itu di tempat kerja saya sekarang, saya berpeluang untuk mempromosikan lagu-lagu baru saya kepada pengunjung. Malah ramai juga pengunjung Mat Salleh yang meminta saya menyanyikan lagu-lagu KDM,” Lydia memberitahu Hiburan Ekspress. Keseluruhan album kedua Lydia jauh berbeza dengan album solo pertamanya, Lihuai Oku.

Mendengar satu persatu lagu dalam album kedua ini, anda pantas menyedari bahawa anda sedang dihidangkan dengan sebuah produk berkualiti. Ini bukan album tangkap muat. Bermula dari trek pertama, anda pasti terhibur lewat lagu Tewas Kotoh, sebuah lagu Melayu citarasa tempatan, hasil kolaborasi Lydia dengan, siapa lagi kalau bukan komposer terkenal, Asmin Mudin. Selain bertindak sebagai penerbit album ini, Asmin turut terpanggil untuk menyumbangkan vokalnya. Ternyata Asmin bukan sekadar mahir mencipta lagu dan menulis lirik, sebaliknya dia turut memiliki vokal yang komersil. Berbeza dengan album album pertama yang lebih menonjolkan sisi vokal Lydia lewat lagu genre balada, album ini meneroka kepelbagaian vokalnya menerusi genre easy hip hop. Trek Yoho Okon Nodi Sanganu Nu, Tupus Ku, Sunudai Noh Oku, Nababasan Oku Noh kedengaran begitu urban lebih-lebih lagi trek Tupus Ku yang diperkemas dengan kehadiran rapper Decipher. Melihat kepada senarai komposer yang terbabit sudah cukup meyakinkan pendengar untuk mendapatkan album ini. Siapa boleh menafikan kualiti sentuhan kreatif Asmin, Rayner Kilik dan Ramli Ahmad.

Lagu lain yang terdapat dalam album ini ialah Sogigisom, Mamaramai Tambalut, Asaladan, Otumbayaan Oku dan sebuah trek Melayu, Sayang. “Satakat ini, maklumbalas yang saya terima untuk lagu Sayang sangat baik,” kata Lydia yang mengharapkan lagu ini akan mendapat ruang dalam program Carta Artis Tempatan Sabah (CATS), di Sabah FM. Mendengar lagu Sayang persis menikmati alunan sebuah lagu pop Indon. Bukan pada muziknya tetapi lontaran vokal, diction serta lenggok suara halus penyanyi ini. Cukup menghiburkan. Cuma untuk lagu Melayu, Lydia perlu menyuntik identiti sendiri untuk vokalnya. Album ini juga memberi peluang kepada Lydia mencuba bakatnya dalam penulisan lirik. “Lirik lagi Sogisisom saya hasilkan dalam masa yang singkat. Ia adalah luahan rasa kasih seorang isteri kepada suaminya.” Ditanya kenapa tidak meneroka industri hiburan di pentas nasional, Lydia secara spontan memberitahu:”Saya lebih selesa berkarya di Sabah dan ingin berkongsi muzik saya dengan penduduk di negeri ini, khususnya KDM.”

15 Nov 2006

Sabah Syurga PTI sarat komedi sinis

Oleh BOYD PV
boyd_pv@yahoo.com
Hiburan Harian Ekspress
12 Nov 2006

SEBUAH telemovie berjudul Sabah Syurga PTI akan dipertontonkan kepada umum pada pukul 2.30 petang. 17 November (Jumaat) di Bangunan Majlis Daerah Penampang. Sabah Syurga PTI adalah sebuah telemovie yang dihasilkan oleh peserta-peserta kursus intensif pengarahan anjuran KaryawanWS dengan kerjasama Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) yang diadakan dari 8 – 12 Julai lalu.

Menurut jurucakap KaryawaWS, Tony Francis Gitom, telemovie itu dihasilkan sendiri oleh peserta-peserta kursus. “Selain terbabit sebagai orang belakang tabir, kesemua 10 peserta kursus itu turut berlakon dalam telemovie ini. Ia adalah satu telemovie yang menjadi wadah untuk mengaplikasikan kefahaman mereka dalam penerbitan sesebuah telemovie. Sepanjang penggambaran berlangsung, saya dan rakan-rakan KaryawanWS (Jamil Majingkin dan Ramli Ahmad) sekadar menjadi pemerhati dan tidak banyak campur tangan. Kami bertindak lebih sebagai penyelia dan membantu di mana yang perlu untuk mencantikkan idea yang mereka cuba ketengahkan,” katanya Khamis lepas.

Menurut Tony, beliau bangga dengan hasil kerja dan idea yang cuba diketengahkan oleh peserta-peserta kursus itu yang terdiri daripada Kinatu Anggidau (Tamparuli), Vitus Dani (Tambunan), Laman Masiri (Ranau), Jusry Jaafar (Ranau), Sumarli Loli (Keningau), Fadzlie Jutamin (Ranau), Flora Juanis Salemuda (Kota Kinabalu), Awang Rablah Salil (Kota Belud), Raymond Chin (Kota Belud) dan Andrew Piuk (Penampang). “Sabah Syurga PTI adalah sebuah telemovie ‘record of time’ yang sarat dengan mesej serius tetapi dipersembahkan dalam bentuk komedi sinis,” katanya. Pelakon utama telemovie ini ialah Kinatu, Sumarli dan Jusry yang memegang watak PTI. Mereka dibantu oleh Fadzlie, Vitus, Awang Rablah, Raymond, Laman, Flora dan Andrew. Sehubungan itu KaryawanWS menjemput semua peminat dan penggiat seni ke pra-tonton telemovie itu. “Saya mengharapkan kehadiran sesiapa sahaja yang berminat untuk menonton telemovie itu. Ia akan diadakan Pada 17 November jam 2.30 petang di Bangunan Majlis Daerah Penampang,” katanya.

Pada majlis yang sama, KaryawanWS akan melancar telemovie terbaru bertajuk Sabah Menjerit. Telemovie itu adalah projek kedua yang akan dijayakan oleh semua peserta bengkel senilakon dan kursus pengarahan secara usahasama. Dalam pada itu, semua peminat dan penggiat seni yang berminat untuk menyertai bengkel senilakon atau kursus pengarahan, mereka berpeluang untuk menyertai bengkel berkenaan yang merupakan sesi terakhir untuk tahun ini. “Bengkel Seni lakon akan diadakan pada 18 dan 19 November sementara Kursus Pengarahan akan diadakan dari 18 – 22 November ini. Maklumat lanjut mengenainya boleh diperolehi ketika pra-tonton telemovie Sabah Syurga PTI,” katanya

Senarai pelakon MLBTW masih kekal: Jamil

Oleh BOYD PV
Hiburan Harian Ekspress
12 Nov 2006

SUSULAN artikel yang tersiar Jumaat lepas mengenai perkhabaran yang mendakwa Ivye Alexandra akan digugurkan daripada produksi telemovie My Land Below The Wind (MLBTW), pengarah urusan Del Este Pictures Sdn Bhd ysng menerbitkan telemovie itu, Jamil Majingkin, menghubungi penulis untuk menjelaskan duduk perkara sebenarnya.

“Daripada apa yang saya tahu, senarai pelakon MLBTW masih tidak berubah. Tidak timbul soal menggugurkan mana-mana pelakon, apa lagi Ivye Alexandra dipilih sendiri oleh Datuk (Ayub Aman, rakan kongsi dan pembiaya telemovie itu) untuk menjayakan watak utama dalam MLBTW. Cuma seperti yang dimaklumkan sebelum ini, penggambaran telemovie itu terpaksa ditangguhkan atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan dan barisan pelakon sudahpun maklum mengenainya,” kata Jamil yang turut bertindak sebagai pengurus eksekutif telemovie berkenaan. “Tidak timbul soal menggugurkan mana-mana pelakon dan Ivye akan memegang watak utama dalam telemovie itu,” jelasnya. “Kalau tiada aral melintang, penggambaran MLBTW akan dimulakan Januari ini. Tapi jika ada sebarang perkembangan mengenainya, saya akan maklumkan kepada pihak media kerana ketika inipun perbincangan masih berjalan.”

Awal minggu ini, seorang yang rapat dengan Ivye memberitahu penulis bahawa penyanyi Hiti Oku Poingandad itu khabarnya akan digugurkan daripada produksi berkenaan kerana dia sukar dihubungi oleh penerbit. Khabarnya juga, produksi ini telahpun mendapatkan pengganti watak utama telemovie berkenaan. MLBTW mengisahkan kehidupan seorang gadis bernama Siti Khadijah Abdullah (lakonan Ivye) yang tersepit oleh masalah berhubung dokumen pengenalan dirinya. Elemen percintaan turut diselitkan dalam MLBTW di mana Siti Khadijah terperangkap dalam permainan cinta antara tiga segi antara dia dan dua jejaka iaitu Sam (lakonan Andy Adrian Jongkinoh) dan Imran (Bryan Arthur). Turut membantu menghidupkan jalan cerita dalam telemovie ini ialah Ridah Malanjang, Jasmine Rajah, Ramli Ahmad, Norsahar Ahmad dan Nellysia Ignatius. Penjelasan daripada pengurusan Del Este Production Sdn Bhd sudahpun diperolehi. Kerana itu, Ivye tidak perlu risau lagi mengenai peluangnya untuk terbabit dalam telemovie berkenaan.

14 Nov 2006

Pesta Jagung

Looks like another fest will take place this weekend. This time it's the Maize Festival in Kota Marudu, a district abundance with maize. I never miss stopping by the roadside, everytime I pass by the row of stalls selling jagung bakar along the Kota Belud - Kota Marudu highway...mmm!


Kids Talentime 2006

Hmm...macam mana juga Angelbonn tidak berjaya menjuarai tiga teratas (sekadar finalis)

13 Nov 2006

Felix lancar album solo bulan depan

Oleh Boyd PV

Hiburan Harian Ekspres
12 Nov 2006
(boyd_pv@yahoo.com)

Ketika artikel ini ditulis pagi kelmarin, penulis masih gagal bercakap dengan bintang AF3, Felix Agus, yang semakin diminati gara-gara penangan single terbarunya, Aku Pencintamu. Ada beberapa peminat di Sabah bertanya bila album sulung naib juara AF3 itu akan dilancarkan kerana sebelum ini mereka pernah diberitahu bahawa album solo Felix bakal menjengah pasaran hujung tahun ini. Penulis beberapa kali menghubungi telefon bimbit penyanyi ini, tapi tidak dijawab. Dan penulis mengandaikan Felix sibuk dengan kerjaya seninya. Tidak mahu berputus asa, penulis menghantar beberapa pesanan teks ke telefon bimbitnya bertanyakan perkembangan terbaru albumnya itu. Berdasarkan jawapan teks yang diterima, Felix memberitahu album solonya akan “dilancarkan bulan ini”. Itu sahaja maklumat ringkas yang penulis perolehi daripada penyanyi Warkah Berlagu Pilu yang semakin sibuk ini.

Enggan membiarkan banyak soalan lain terbiar tanpa jawapan, penulis terus menghubungi Ketua Pengurusan Artis Maestro Talent, Aman Ali. “Sebenarnya, album solo Felix masih di peringkat akhir rakaman. Ada sebuah lagu lagi yang belum dirakam tetapi ia masih mengikut perancangan dan akan dilancarkan bulan depan (Disember). Bagaimanapun tarikhnya belum ditetapkan. Dalam tempoh itu apapun boleh berlaku. Kerana itu kami lebih selesa untuk tidak menetapkan sebarang tarikh untuk pelancaran album berkenaan, sekurang-kurangnya buat masa ini. Apa yang pasti, ia akan menemui peminat bulan depan. Sekarang ini kami menunggu rakaman trek terakhir. Kita faham kesibukan M. Nasir yang terbabit dalam pembikinan album ini sebagai penerbit eksekutif, komposer dan juga penulis lagu.” Katanya ketika dihubungi tengahari Jumaat lalu.

Ditanya mengenai konsep album berkenaan. Aman berkata ia berkonsepkan pop rock sesuai dengan vokal dan imej penyanyi kelahiran Kg Purak Ogis, Kota Belud itu. “Ketika ini, jadual Felix sangat padat kerana selain menerima undangan membuat persembahan pentas, dia juga terbabit menjayakan tujuh konsert Gegak Gemilang Astro sempena ulang tahun ke-10 stesyen penyiaran itu. Apapun saya akan minta dia supaya menghubungi Boyd,” katanya. Menjelang hujung tahun ini, kata Aman, Felix mempunyai beberapa jadual nyanyian di Sabah. "Waktu itu nanti, kami mungkin ada kesempatan untuk melancarkan album solonya di Sabah.”


dbosfm: Saya pernah juga bertanya Felix mengenai perkembangan album beliau semasa beliau rehearsal untuk konsert Live Band bulan Ogos lalu, menurut beliau ianya bakal berada di pasaran pada pertengahan September. Hmm...diharapkan apa yang dilaporkan di atas, kali ini, bakal menjadi kenyataan.

11 Nov 2006

Yazer intim hos RTM?

Soseh-Soseh: Yazer intim hos RTM

DALAM sibuk orang membicarakan artis kita yang kahwin cerai sekarang ni, tidak kurang juga artis kita yang sedang hangat bercinta tetapi cuba menafikan.

Semalam, SS ada menerima panggilan daripada seorang pembaca Harian Metro, katanya dia ternampak Yazer AF3 begitu intim dengan seorang pengacara jelita di RTM. Pemanggil ini sebenarnya peminat Yazer yang tinggal berdekatan dengan kediamannya. Jadi secara tidak langsung, pastinya mereka boleh nampak siapa yang sering bertandang ke rumahnya.Ketika sambutan Aidilfitri baru-baru ini, pengacara ini bertandang ke rumah Yazer. Bagi SS, kalau setakat beraya tu, perkara biasalah. Tetapi lain pula nampaknya apabila Yazer begitu mesra dengan pengacara jelita ini, sampai tolong angkat beg besar lagi tu. Hai nak pergi mana pula ni?Apapun peminat ini tidak kisah jika Yazer bercinta dengan sesiapa pun. Cuma mereka terkilan apabila ada yang main tarik tali dan menafikan, sedangkan buktinya ada depan mata mereka.Dalam pada itu, timbul tanda tanya, bagaimana pula hubungan Yazer dengan artis wanita cun yang popular sekarang ini. Mana nak letak? SS nasihatkan Yazer, pandai-pandailah bawa diri dan jaga hati pasangan. Bagi SS teman tapi mesra ini boleh memberikan pelbagai makna, parah nanti kalau semua orang nak mesra sangat. Siapa nak jawab?

Dipetik dari ruangan Gosip Harian Metro

10 Nov 2006

Maize Feztival


Deddy M.Borhan dipilih Tokoh Perfileman FINAS 2006?

Oleh: ABD. AZIZ ITAR

PERBADANAN Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) ditubuhkan pada 1981 dengan tujuan untuk menggalak, memelihara dan memudahkan kemajuan perusahaan berkaitan perfileman di negara ini.

Selain itu, badan di bawah Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia (KeKKWa) itu juga tidak lupa memberi penghargaan menerusi Anugerah Perfileman FINAS kepada individu-individu yang telah banyak memberi sumbangan kepada perkembangan dunia perfileman tempatan.

Tahun ini FINAS sekali lagi memberi pengiktirafan dan fokus tentunya tertumpu kepada anugerah utamanya iaitu Tokoh Perfileman FINAS 2006.Anugerah yang akan disampaikan oleh Menteri KeKKWa, Datuk Seri Dr. Rais Yatim itu akan diadakan pada malam esok (10 November) di Hotel J.W. Marriot, Kuala Lumpur.

Mega difahamkan beberapa persatuan penggiat filem telah mencalonkan beberapa tokoh perfileman bagi merebut anugerah yang menawarkan hadiah wang tunai RM30,000 dan sijil.Antara tokoh yang khabarnya dicalonkan untuk menerima anugerah kali ini ialah Menteri KeKKWa, Dr. Rais Yatim, Pengerusi FINAS, Senator Datuk Jins Shamsudin, Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Datuk Mustapha Maarof, Presiden Persatuan Pekerja Filem Malaysia (PPFM), Syed Mohamed Benyahya serta penerbit dan pengarah filem, Deddy M. Borhan.

Bagaimanapun khabarnya pencalonan Dr. Rais Yatim dan Jins Shamsuddin digugurkan oleh panel juri dengan alasan kedua-duanya merupakan individu yang terlibat secara langsung dengan FINAS.Daripada senarai itu, Deddy M. Borhan merupakan satu-satunya nama tokoh yang disebut-sebut bakal menerima anugerah berprestij itu. Deddy dikatakan mampu memberi saingan yang sengit berdasarkan pengalaman luas, pembabitan serta sumbangannya dalam perkembangan industri perfileman di Malaysia. Sumbangan Deddy itu dapat dilihat apabila beliau menubuhkan syarikat perfileman Sabah Film Productions di Kuala Lumpur pada 1975.

Menerusi syarikat tersebut, beliau muncul sebagai penyelamat dalam industri perfileman tempatan yang ketika itu sedang merudum.Pada waktu itu, dunia perfileman Melayu dianggap sebagai sudah berkubur apabila filem-filem Indonesia lebih banyak menguasai pawagam-pawagam tempatan.Deddy dan Sabah Film Productions dikatakan amat sinonim dengan kebangkitan semula dunia filem Melayu tahun 1970-an dan 1980-an selepas pasca kegemilangan Studio Malay Film Production dan Cathay Keris Film yang berpusat di Singapura.Malah, Deddy juga banyak memberi semangat kepada dunia filem Melayu yang hampir berkubur ketika itu apabila Studio Merdeka di Hulu Klang, Selangor menghentikan operasinya.

Beliau muncul menerusi filem pertama terbitan Sabah Film Production berjudul Keluarga Comat pada 1975 yang diarahkan oleh Aziz Sattar.Selepas itu, Deddy menerbitkan filem Hapuslah Air Matamu pada 1976 yang dibintangi oleh Broery Marantika, Sharifah Aini dan Latif Ibrahim.

Namun, penerbit dan pengarah filem ini membuat kejutan besar apabila filem Azura yang diarahkannya pada 1984 memecahkan rekod sebagai filem Melayu pertama mencatat kutipan tiket box-office melebihi RM1 juta.Filem Azura yang dilakonkan oleh Jamal Abdillah, Fauziah Ahmad Daud, A. Galak dan Maria Arshad itu mengutip kutipan tiket hampir RM2 juta. Selama beroperasi, Sabah Film Productions telah menerbitkan 17 buah filem antaranya berjudul Si Badul, Kisah Seorang Biduan, Talak, Toyol, Di Ambang Kasih dan Gila-Gila.

Dalam pada gigih menghidupkan semula dunia perfileman Melayu, Deddy juga aktif memperjuangkan nasib penyanyi, pemuzik dan pencipta lagu di negara ini melalui jawatan yang disandangnya ketika itu sebagai presiden pertama Persatuan Penyanyi, Pemuzik dan Pencipta Lagu Tanah Air (PAPITA) yang ditubuhkan pada 1977. Anak seni yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah ini memimpin persatuan artis yang berpengaruh itu sehinggalah tahun 1982.

Selain Anugerah Tokoh Perfileman, Anugerah Perfileman FINAS turut menyediakan anugerah lain termasuk Anugerah Khidmat Setia untuk para kakitangannya, Hadiah Penulisan Skrip dan Trofi Samad Idris pula khusus untuk wartawan hiburan. Pada 2003, Tokoh Perfileman FINAS dirangkul oleh Tan Sri Samad Idris, sementara Datuk Jamil Sulung pula mengunggulinya pada 2004, tetapi sayangnya tahun lalu tiada pencalonan untuk anugerah tersebut. Biarpun sudah hampir 22 tahun tidak mengarah filem cereka, tetapi itu tidak bermakna Deddy M. Borhan sudah melupakan bidang pengarahan.

Sebaliknya, bapa kepada lapan anak dan enam cucu yang kini sudah menjangkau usia 60-an ini masih aktif menerbit dan mengarah filem menerusi syarikatnya, Mbrizt Production selepas Sabah Film Productions dibubarkan pada akhir tahun 1980-an. Deddy atau nama sebenarnya Maddin Borhan kini sedang dalam proses mengarah dan menerbitkan sebuah filem dokumentari khas untuk Kerajaan Negeri Sabah. Menurut Deddy, filem dokumentari yang belum diberi judul itu akan memaparkan tentang keunikan sebuah kawasan pedalaman yang terletak antara Tawau dan Sandakan. “Tempat itu belum tercemar dengan pembangunan, malah tempat itu juga dikatakan tidak pernah diterokai oleh mana-mana suku kaum sejak ribuan tahun yang lalu,” katanya sewaktu dihubungi dari Kota Kinabalu, Sabah baru-baru ini.Jelas Deddy, meskipun sudah lama menyepi tetapi itu tidak bermakna dia tidak mengikuti perkembangan industri perfileman tanah air.

Beliau turut menganggap pembabitannya dalam dunia perfileman tempatan sebagai suatu kenangan manis yang sukar dilupakannya.“Selain mengarah dan menerbit, saya juga pernah mencuba nasib sebagai pelakon. Antara filem lakonan saya berjudul Keluarga Comat, Pendekar dan Sumpah Semerah Padi.“Saya tidak dapat melupakan kenangan bekerjasama dengan mendiang Broery Marantika ketika penggambaran filem Hapuslah Air Matamu di Jakarta, Indonesia pada 1976.“Malah, Broery adalah orang yang memberi nama Deddy M. Borhan yang saya gunakan sebagai nama komersial sehinggalah ke hari ini,” ujarnya lagi.

dbosfm: Kalau adapun individu yang mampu mengangkat atau menaik taraf mutu perfileman di Sabah dan Malaysia sudah tentulah beliau ini. Malang sekali beliau memilih untuk tidak aktif dan hidup secara low profile tanpa sebab yang munasabah....hmm!

9 Nov 2006

Curiosities






8 Nov 2006

MTV Karaoke Meeda


7 Nov 2006


6 Nov 2006

Jedeh Mustapha



5 Nov 2006

KDCA to organize a theatre..


It's not clearly mentioned in the report, but if i'm not mistaken the show will be performed by a popular theatre group from Australia.

Artis dan album: Lydia Kalidin


4 Nov 2006

Gong festival beauties..





3 Nov 2006

Pet curahkan segalanya dalam album solo

Oleh Boyd PV
Hiburan Harian Ekspress
03 Nov 2006

PETRONELLA Suan Orow aka Pet pernah menghiasi persada seni suara tempatan melalui kemunculannya bersama kumpulan pop BY'U beberapa tahun lalu. Sejak kumpulan itu tidak lagi aktif, nama Pet seolah-olah tenggelam. Lama menghilang, Pet kembali menggumpul kekuatan dan muncul dengan album solo yang menggunakan namanya sebagai judul - Petronella. Tetapi kenapa Pet mengambil masa terlalu lama untuk muncul dengan album solo? Dan bagaimana pula gosip yang mengaitkan namanya dengan anggota lelaki kumpulan BY'U, Yuriz? BOYD PV ada jawapannya...

Lebih dua tahun tidak bertemu, Pet kini nyata lebih matang bukan sahaja daripada segi penampilan tetapi juga butir bicaranya. Kali pertama menemubual artis wanita dari Tuaran ini ialah ketika dia masih bersama BY’U yang turut dianggotai Yuriz, Adam, Christine dan Linda. Ketika itu mereka mencipta nama yang gah menerusi album Segalanya. Malangnya seperti kebanyakan band yang lain BY’U hanya mampu bertahan lebih kurang tiga tahun. Semuanya berakhir selepas salah seorang anggota mereka, Christine, mengundur diri untuk menumpukan perhatian kepada rumahtangganya. Menyusuri pengunduran Christine, BY’U mengambil keputusan untuk berehat dan itu memberi ruang kepada anggota-anggotanya merintis laluan sendiri untuk membina kerjaya sebagai penyanyi solo. Pet merasa dirinya cukup bertuah kerana syarikat rakaman yang menaungi kumpulan itu, Synchrosound Music Sdn Bhd, pantas menawarkan kontrak untuk Pet menghasilkan album solo. Tetapi kontrak itu dimeterai lebih dua tahun yang lalu dan peminat terpaksa menunggu cukup lama sebelum Pet muncul dengan album solo. Kenapa?

“Saya akui tempoh dua tahun itu cukup lama. Tapi sepanjang tempoh itu saya bekerja keras untuk memastikan hasrat saya untuk tampil dengan album solo tercapai. Dalam tempoh itu juga, nama saya tenggelam timbul. Untuk memastikan nama saya dapat bertahan dalam menongkah arus perdana industri hiburan tanahair, saya keluarkan single Hujan Jadi Saksi. Tapi itu tidak memadai untuk memastikan saya diterima peminat sebagai penyanyi solo wanita kerana sebelum ini mereka lebih mengenal saya sebagai anggota BY’U. Tambahan lagi, dengan kehadiran penyanyi-penyanyi baru khususnya yang lahir dari program realiti TV, persaingan semakin sengit namun saya percaya ada rezeki untuk setiap orang. Bercakap dari pengalaman bagi saya, menghasilkan sebuah album penuh tidak semudah yang disangka. Saya terpaksa menyusuri laluan yang sukar untuk merealisasikan impian memiliki album solo,” kata Pet yang hadir ke pejabat percetakan akhbar ini di Tanjung Aru, tengahari Rabu lalu. Banyak halangan yang terpaksa ditempuhi dalam menyiapkan album itu, katanya yang kini berusia 23 tahun.

“Cabaran paling ketara ialah mendapatkan material yang sesuai. Saya mahu lagu-lagu yang saya muatkan dalam album benar-benar memenuhi citarasa muzik saya iaitu pop/urban. Tetapi saya tidak mahu statik dengan pilihan muzik tertentu. Kerana itu, pemilihan lagu-lagu dalam album ini pelbagai. Saya cukup berbesar hati kerana pihak syarikat rakaman memberi kebebasan kepada saya untuk mencorakkan album ini,” katanya yang berkolaborasi dengan Yuriz dalam menyumbangkan beberapa buah lagu dalam album ini yang diterbitkan oleh Johari Teh, salah satu nama besar dalam industri. “Kebanyakan lagu dan lirik yang saya muatkan dalam album Petronella adalah karya saya bersama Yuriz,” katanya. Album Petronella memuatkan 10 trek lagu iaitu Hujan Jadi Saksi, Melukai, Gila-Gila, Tinggallah, Suatu Masa Bertemu Lagi, Laguku, Engkau Yang Ku Tunggu, Jangan Kau Rayu, dan sebuah lagu tempatan berjudul Insan Tadau Kopiruba Wagu. Menariknya, Pet turut berkolaborasi dengan penyanyi lain dalam dua buah lagunya – Melukai (bersama Yuriz) dan Laguku (menampilkan penyanyi hip hop KDM, Atama).

Insan Tadau Kopiruba Wagu satu lagu penghargaan khusus untuk peminat-peminat di Sabah yang banyak menyokong perjuangan saya dalam bidang ini, kata bekas pelajar SMK Bading Tuaran ini. “Saya anggap album ini terlalu personal. Terbabit hampir sepenuhnya dalam pembikinan album ini membuatkan saya rasa begitu dekat dengan peminat. Album ini umpama jiwa raga saya. Di mana saya berada selepas ini bergantung kepada sambutan yang diterima untuk album ini.” Pet masih bercuti di Sabah selepas berhempas pulas menghasilkan album solonya. Tapi dalam pada itu, dia tidak mensia-siakan ruang waktu yang ada untuk mempromosikan album sulungnya itu di Wawasan Plaza, Kota Kinabalu, 21 Oktober lalu. “Itu pelancaran untuk Sabah sahaja. Saya pilih untuk melancarkan dahulu album ini di Sabah kerana saya anak watan negeri ini. Pelancaran di Semenanjung belum dibuat. Itu bermakna, secara rasmi, album ini belum berada di pasaran seluruh negara. Mengikut perancangan, album ini akan dipromosi secara besar-besaran selama enam bulan. Jadi, buat masa ini, saya masih ada ruang untuk diri sendiri. Program promosi akan dibuat dalam masa terdekat yang akan membawa saya menjelajah ke seluruh negara,” katanya. Ditanya akakah Pet berpuashati dengan penghasilan album ini, dia pantas berkata:"kalau kita cepat berpuashati kita tidak akan ke mana, tapi ingin saya katakan, saya berkongsi rasa dengan peminat menerusi album ini. Saya sudah curahkan segalanya dan terpulanglah kepada peminat untuk membuat penilaian. Dengan lagu yang pelbagai, saya pasti akan ada sekurang-kurangnya sebuah lagu yang mudah melekat di hati peminat,” kata Pet yang khabarnya akan muncul menghiburkan pengunjung Karnival Budaya Sabah di padang Tuaran, malam esok (Sabtu).

'Saya Akui Sayang Yuriz'

PEMBIKINAN album ini banyak menyaksikan Pet berkolaborasi dengan Yuriz sehingga memberi ruang untuk orang bergosip mengenai mereka. “Tolonglah jangan buat cerita...,”kata Pet sambil ketawa. “Yuriz adalah seorang kawan yang baik, yang memahami citarasa muzik saya. Saya memang sayang Yuriz dan selesa berkawan dengannya sejak kami masih bersama BY’U lagi. Dalam BY’U kami berdua adalah anggota kumpulan dari Sabah, yang tiga lagi dari Semenanjung. Kerana itu, kami lebih mudah relate to each other. Tapi jangan salah sangka...kami hanya berkawan.”

Dalam bidang pencipta lagu, Pet mengakui serasi dengan Yuriz. "Yuriz mempunyai latar belakang dibesarkan di luar negara, saya pula budak kampung. Apabila kami gabungkan dua latar belakang yang berbeza, ia menghasilkan sesuatu yang segar dan sesuai dengan saya,” Jelas penyanyi bersuara gemersik ini

2 Nov 2006

Azharina jadi usahawan

Azharina kini bergelar 'interior designer'
31-10-2006 11:27:25 AM
oleh WAHIDA ASRANI

Di dalam usianya yang baru mencecah 21 tahun, Azharina bukan saja berjaya mengukir nama di persada seni, tetapi sudah mengorak setapak lagi dengan menceburkan diri di dalam bidang hiasan dalaman.

Dewi Azharina Design (DA Design) yang baru ditubuhkan kira-kira tujuh bulan lepas bersama rakannya dari Indonesia, Dewi, merupakan impian Azharina yang telah lama terpendam sejak dulu lagi.(selanjutnya...)



dbos-fm: Syabas diucapkan atas perkembangan terbaru Azharina. Mungkin boleh menjadi contoh artis-artis Sabah lain yang kini sedang bergelumang dengan nasib di KL. Setakat ini Adam juga dikhabarkan telah memulakan business beliau. Oh ya, dalam perkembangan lain Marsha dilaporkan bakal merakamkan sebuah lagu ciptaan Ajai berjodol "Memang Benar".

Matunggong Gong Festival












1 Nov 2006

Terbaru dari Lydia Kalidin


Penyanyi tempatan Sabah yang tidak kurang hebatnya, Lydia Kalidin, kini muncul dengan album baru yang menampilkan lagu-lagu menarik lagi kreatif. Antara lagu yang istimewa penuh keunikan ialah sebuah lagu ciptaan Umbut "Tiwas Kotoh" dinyanyikan secara duet dengan Asmin Mudin. Lagu ini hampir keseluruhannya dipersembahkan dalam dialek Sabah (hmm..kalau diputarkan di radio Sabah alangkah bestnya!). Versi 2 minit lagu ini boleh didengari di radioblog Lydia Special. Album ini juga menampilkan sebuah lagu dalam bahasa Melayu berjodol "Sayang" ciptaan Asmin Mudin. Lain-lain lagu dalam album ini diilhamkan oleh pencipta-pencipta tempatan yang tak asing lagi seperti Ray Kilik, Ading dan Ramli Ahmad. Yang pasti album ini merupakan sebuah lagi produksi tempatan yang menampilkan ciri-ciri berkualiti (above average). Dapatkan segera di kedai-kedai muzik (dan juga tamu) yang berdekatan anda