15 Nov 2006

Sabah Syurga PTI sarat komedi sinis

Oleh BOYD PV
boyd_pv@yahoo.com
Hiburan Harian Ekspress
12 Nov 2006

SEBUAH telemovie berjudul Sabah Syurga PTI akan dipertontonkan kepada umum pada pukul 2.30 petang. 17 November (Jumaat) di Bangunan Majlis Daerah Penampang. Sabah Syurga PTI adalah sebuah telemovie yang dihasilkan oleh peserta-peserta kursus intensif pengarahan anjuran KaryawanWS dengan kerjasama Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) yang diadakan dari 8 – 12 Julai lalu.

Menurut jurucakap KaryawaWS, Tony Francis Gitom, telemovie itu dihasilkan sendiri oleh peserta-peserta kursus. “Selain terbabit sebagai orang belakang tabir, kesemua 10 peserta kursus itu turut berlakon dalam telemovie ini. Ia adalah satu telemovie yang menjadi wadah untuk mengaplikasikan kefahaman mereka dalam penerbitan sesebuah telemovie. Sepanjang penggambaran berlangsung, saya dan rakan-rakan KaryawanWS (Jamil Majingkin dan Ramli Ahmad) sekadar menjadi pemerhati dan tidak banyak campur tangan. Kami bertindak lebih sebagai penyelia dan membantu di mana yang perlu untuk mencantikkan idea yang mereka cuba ketengahkan,” katanya Khamis lepas.

Menurut Tony, beliau bangga dengan hasil kerja dan idea yang cuba diketengahkan oleh peserta-peserta kursus itu yang terdiri daripada Kinatu Anggidau (Tamparuli), Vitus Dani (Tambunan), Laman Masiri (Ranau), Jusry Jaafar (Ranau), Sumarli Loli (Keningau), Fadzlie Jutamin (Ranau), Flora Juanis Salemuda (Kota Kinabalu), Awang Rablah Salil (Kota Belud), Raymond Chin (Kota Belud) dan Andrew Piuk (Penampang). “Sabah Syurga PTI adalah sebuah telemovie ‘record of time’ yang sarat dengan mesej serius tetapi dipersembahkan dalam bentuk komedi sinis,” katanya. Pelakon utama telemovie ini ialah Kinatu, Sumarli dan Jusry yang memegang watak PTI. Mereka dibantu oleh Fadzlie, Vitus, Awang Rablah, Raymond, Laman, Flora dan Andrew. Sehubungan itu KaryawanWS menjemput semua peminat dan penggiat seni ke pra-tonton telemovie itu. “Saya mengharapkan kehadiran sesiapa sahaja yang berminat untuk menonton telemovie itu. Ia akan diadakan Pada 17 November jam 2.30 petang di Bangunan Majlis Daerah Penampang,” katanya.

Pada majlis yang sama, KaryawanWS akan melancar telemovie terbaru bertajuk Sabah Menjerit. Telemovie itu adalah projek kedua yang akan dijayakan oleh semua peserta bengkel senilakon dan kursus pengarahan secara usahasama. Dalam pada itu, semua peminat dan penggiat seni yang berminat untuk menyertai bengkel senilakon atau kursus pengarahan, mereka berpeluang untuk menyertai bengkel berkenaan yang merupakan sesi terakhir untuk tahun ini. “Bengkel Seni lakon akan diadakan pada 18 dan 19 November sementara Kursus Pengarahan akan diadakan dari 18 – 22 November ini. Maklumat lanjut mengenainya boleh diperolehi ketika pra-tonton telemovie Sabah Syurga PTI,” katanya

0 comments: