Boyd PV
boyd_pv@yahoo.com
SETELAH 10 minggu bersiaran, tirai Akademi Fantasia musim kelapan (AF8) akan dilabuhkan malam ini. Di penghujung siaran nanti, akan kita ketahui siapa juaranya. Daripada lima finalis yang bakal beraksi di Stadium Putra, Bukit Jalil malam ini, terselit nama seorang peserta wanita dari Sabah, Adira. Empat yang lain adalah peserta lelaki - Daus, Maulana, Shahir dan Iwan.
Bertahan sehingga ke pentas akhir AF8 setelah melepasi pelbagai ujian getir yang diberikan fakulti, pemilik nama penuh Siti Adira Suhaimi ini tentunya mengharapkan sesuatu yang indah di penghujung konsert malam ini. Adira dilaporkan sebagai berkata bahawa dia ingin mengulangi pencapaian Mila dan Stacy, merujuk kepada kejayaan hanya dua pelajar wanita, setakat ini, yang pernah menggenggam trofi juara sejak tujuh musim AF diterbitkan. "Kalau boleh saya ingin menjadi seperti Stacy dan Mila tetapi berdepan dengan peserta lelaki, saya hanya meletakkan nasib saya kepada takdir," katanya dalam temu bual itu.
Itulah harapannya dan itulah juga harapan penyokong-penyokongnya. Namun bukan sedikit tekanan yang terpaksa dihadapi pelajar berbangsa Kadazandusun beragama Islam ini. Perjalanannya di akademi tidak seringkas yang penonton saksikan di kaca tv. Malah perkara-perkara tersirat juga cukup berat untuk ditanggungnya. Bahu kecilnya itu tidak mampu memikul harapan besar penyokong-penyokong yang sanggup mengeluarkan duit semata-mata untuk memastikan Adira menjejakkan kaki di pentas akhir. Dan pada minggu terakhir ini, penyokongnya sudah tentu ingin melihat Adira menjadi juara. Namun, apalah daya anak kelahiran Ranau yang baru berumur 19 tahun itu untuk menentukan di mana kedudukannya apabila keputusan diumumkan kelak kerana itu di luar kemampuannya.
Apa yang terdaya oleh kudratnya hanyalah melunaskan tugasannya dengan baik. Sebaik yang dia mampu. Mempamerkan bakat besar yang dimilikinya dan mempraktikkan semua ilmu yang diserapnya sepanjang berada di akademi dalam tempoh hanya beberapa minit ketika membuat persembahan nanti. Itu sahaja yang mampu dilakukannya. Selebihnya, terpulanglah kepada penyokong-penyokongnya. Itulah permainan dalam pertandingan ini yang menjadikan populariti sebagai taruhan. Pengikut setia rancangan itu sudah cukup arif mengenainya. Jari menjadi juri.
Kerana itu, Presiden Kelab Penyokong Adira, Japiril Suhaimin, menyeru semua penyokong Adira agar terus menghantarkan undian kepada peserta itu dengan menaip AFUNDI10 ADIRA dan hantar ke 32999. "Atas bakat besar yang ada pada Adira, saya yakin dia wajar diberi sokongan. Jika seluruh penduduk Sabah mengundi Adira, pasti dia mampu mengulangi sejarah yang pernah dicipta oleh Stacy," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurut Japiril, sebelum Shahir kembali ke akademi, Adira sentiasa berada di kedudukan teratas. "Melihat persembahannya setiap minggu, Adira sentiasa konsisten. Dia juga kerap menerima komen positif daripada pengkritik. Tapi semua itu tidak bermakna jika kita sebagai penyokong tidak melaksanakan tang- kgung jawab kita," katanya Sepertimana lazimnya, di pentas akhir pelajar-pelajar akan membawakan sebuah lagu versi cover dan sebuah lagu baru. Menariknya, kesemua lagu baru yang akan dinyanyikan pelajar-pelajar malam ini adalah hasil sentuhan komposer terkenal yang juga anggota Kumpulan KRU, Edry Abdul Halim.
Siapakah di antara mereka - Adira, Daus, Maulana, Shahir dan Iwan -- yang akan dijulang sebagai juara dan berada sebaris dengan Vince, Zahid, Mawi, Faizal, Mila, Stacy dan Hafiz? Semuanya terpulang kepada anda selaku juri.Konsert akhir AF8 akan disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria (saluran 104, Astro) bermula jam 9 malam.Sejarah juga bakal tercipta apabila buat pertama kalinya AF8 akan disiarkan dalam visual definisi tinggi (HD) bagi pelanggan-pelanggan Astro B.yond menerusi saluran 124.
Kredit : Hiburan Harian Ekspress