15 Nov 2006

Senarai pelakon MLBTW masih kekal: Jamil

Oleh BOYD PV
Hiburan Harian Ekspress
12 Nov 2006

SUSULAN artikel yang tersiar Jumaat lepas mengenai perkhabaran yang mendakwa Ivye Alexandra akan digugurkan daripada produksi telemovie My Land Below The Wind (MLBTW), pengarah urusan Del Este Pictures Sdn Bhd ysng menerbitkan telemovie itu, Jamil Majingkin, menghubungi penulis untuk menjelaskan duduk perkara sebenarnya.

“Daripada apa yang saya tahu, senarai pelakon MLBTW masih tidak berubah. Tidak timbul soal menggugurkan mana-mana pelakon, apa lagi Ivye Alexandra dipilih sendiri oleh Datuk (Ayub Aman, rakan kongsi dan pembiaya telemovie itu) untuk menjayakan watak utama dalam MLBTW. Cuma seperti yang dimaklumkan sebelum ini, penggambaran telemovie itu terpaksa ditangguhkan atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan dan barisan pelakon sudahpun maklum mengenainya,” kata Jamil yang turut bertindak sebagai pengurus eksekutif telemovie berkenaan. “Tidak timbul soal menggugurkan mana-mana pelakon dan Ivye akan memegang watak utama dalam telemovie itu,” jelasnya. “Kalau tiada aral melintang, penggambaran MLBTW akan dimulakan Januari ini. Tapi jika ada sebarang perkembangan mengenainya, saya akan maklumkan kepada pihak media kerana ketika inipun perbincangan masih berjalan.”

Awal minggu ini, seorang yang rapat dengan Ivye memberitahu penulis bahawa penyanyi Hiti Oku Poingandad itu khabarnya akan digugurkan daripada produksi berkenaan kerana dia sukar dihubungi oleh penerbit. Khabarnya juga, produksi ini telahpun mendapatkan pengganti watak utama telemovie berkenaan. MLBTW mengisahkan kehidupan seorang gadis bernama Siti Khadijah Abdullah (lakonan Ivye) yang tersepit oleh masalah berhubung dokumen pengenalan dirinya. Elemen percintaan turut diselitkan dalam MLBTW di mana Siti Khadijah terperangkap dalam permainan cinta antara tiga segi antara dia dan dua jejaka iaitu Sam (lakonan Andy Adrian Jongkinoh) dan Imran (Bryan Arthur). Turut membantu menghidupkan jalan cerita dalam telemovie ini ialah Ridah Malanjang, Jasmine Rajah, Ramli Ahmad, Norsahar Ahmad dan Nellysia Ignatius. Penjelasan daripada pengurusan Del Este Production Sdn Bhd sudahpun diperolehi. Kerana itu, Ivye tidak perlu risau lagi mengenai peluangnya untuk terbabit dalam telemovie berkenaan.

0 comments: