24 Jul 2008

Stacy - Bakal menggenggam diploma

Stacy harap tawaran biasiswa untuknya tidak dipertikaikan

24-07-2008 11:59:50 AM
Oleh SITI AZIRA ABD AZIZ

BAGAI bulan jatuh ke riba, begitulah yang dirasai oleh juara Akademi Fantasia musim keenam (AF6) Stracie Angie Anam atau Stacy apabila dia ditawarkan melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing (Malaysia) pada bulan Februari tahun depan. Stacy sendiri telah dibawa berjumpa dengan Presiden universiti swasta itu, Tan Sri Lim Kok Wing setelah dimaklumkan oleh pengurusan syarikat rakamannya, Maestro Talent & Management (Maestro) pada awal bulan ini. Kata Stacy, dia bakal menerima biasiswa penuh daripada universiti swasta itu sepanjang tempoh pembelajarannya di sana.

"Saya merasa sangat bersyukur kerana diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran. Setelah pergi ke universiti tersebut, saya diberi pilihan untuk memilih kursus yang ada. Jadi, saya telah memilih untuk mengikuti kursus Diploma Sound and Music kerana saya tidak mempunyai asas dalam kursus-kursus lain," ujar penyanyi lagu Aku Stacy ini.

Di sebalik kegembiraan itu, ada segelintir pihak yang turut mempersoalkan tawaran yang diberikan kepada Stacy apatah lagi dia belum pun menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan mana mungkin seseorang itu menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi tanpa SPM.

"Memang ikutkan saya tak layak namun pihak universiti tersebut membenarkan saya belajar di situ tanpa SPM.

"Saya pun tidak akan melepaskan peluang ini kerana bukan senang untuk mendapat tawaran seperti ini," tutur anak kelahiran Kota Kinabalu, Sabah ini.

Tambah anak kelima daripada enam beradik itu, dia berharap semua orang dapat menerima keputusannya untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang muzik meskipun tanpa berbekalkan SPM.

"Harap-harap orang boleh terima keputusan saya walaupun mungkin ramai yang tidak setuju. Memang dari dulu lagi saya bercita-cita hendak belajar. Jadi, sekarang orang sudah tawarkan saya untuk sambung belajar, takkan saya nak tolak," kata penyanyi berusia 18 tahun itu lagi.

Selepas hampir dua bulan AF6 berlalu, Stacy kini dalam perjalanan merakam lagu untuk album baru.

"Sekarang, saya juga banyak mengikuti show yang diatur oleh Maestro. Selain itu, saya baru selesai menjayakan iklan komersial TV, BOH bersama naib juara AF6, Riz pada minggu lalu.

"Saya turut merakamkan single terbaru, Rasa-Rasa Cinta ciptaan Ajai yang akan keluar dalam masa terdekat ini. Lagu ini akan dijadikan sebagai lagu runut bunyi filem Sayang, You Can Dance.

"Album kompilasi saya juga sudah berada di pasaran sejak beberapa hari lalu. Jadi, para peminat boleh mendapatkan album tersebut sekarang!," akhiri Stacy yang kini berada di Melaka untuk menjayakan rakaman Konsert Reunion AF6 dan Gempak Selebriti Astro pada hujung minggu ini.


dBOS: Tu dia...terus lompat ke Diploma Sound and Music (alamak..terlebih sudah). I think this is by far the best and precious gift ever given to any juara AF. Kalau dapat belajar Performing Arts lagi malatup. So lucky for her! Satu Tuavon lah dia bawa pi Sunway Lagoon ni nanti..hehe!

0 comments: