8 Sept 2010

Persiapan Raya Artis Sabah-Wiwie Daunah

Wiwie tabah demi Qasie, Qaisy

Ricardo Unto
riqiriqi@gmail.com

SELALUNYA banyak persiapan yang dilakukan sebelum menyambut lebaran. Ada yang menempah baju baru, kuih-muih dan lain-lain lagi. Bagi Rosdianah Daunah, atau lebih dikenali di kalangan pendengar muzik tempatan sebagai Wiwie Daunah, dia memilih untuk memenangkan puteranya Qaisy, 3, dan puterinya Qasie, 6. "Tahun ini, persiapan agak sederhana. Tapi, Wie akan lebihkan untuk anak-anak kerana mereka merasakan Hari Raya adalah masa bagi mereka untuk bersuka-ria."Biarpun mereka tidak meraikannya bersama dengan Abah mereka, mereka tetap mempunyai Mama mereka untuk menyambut hari mulia itu nanti," kata penyanyi kelahiran Sandakan ini.

Menyentuh mengenai statusnya sebagai ibu tunggal, Wiwie akui bahawa dia harus tabah menghadapi apa sahaja dugaan yang menimpa demi anak-anaknya. "Tahun lalu, Wie beraya dengan suami... tahun ini tanpa suami. Mungkin hati anak-anak tercalit sedikit kesedihan... yalah, mereka tidak dapat beraya dengan Abah mereka. "Sebenarnya, ramai yang tidak tahu bahawa Wie sudah mendirikan rumahtangga selama lapan tahun. Wie bukan sengaja sorokkan perkara ini, cuma Wie tak mahu menghebohkannya. Sedangkan, bila Wie kembali single pun, ramai teman yang terkejut," tuturnya.

Kata Wiwie, artis juga manusia biasa dan perlu memiliki privasi. Tambahnya lagi: "Sekarang ini, Wie beri tumpuan sepenuhnya kepada anak-anak. Wie hanya mahu yang terbaik buat mereka dan dapat menggembirakan mereka. Berbanding tahun-tahun yang sudah, tahun ini, Wie mungkin hanya membuat rumah terbuka untuk rakan terdekat dan rakan media sahaja." Di sebalik pengalaman pahit yang terlakar dalam kisah hidupnya, Wiwie sempat mencuri imbauan ketika zaman kanak-kanaknya.

"Kalau tak silap, Wie baru berumur lapan tahun ketika itu... pergi beraya dengan rakan-rakan dan adik-beradik Wie yang lain. `Sasaran' kami selalunya rumah-rumah VIP, gara-gara mengharap dapat duit Raya lebih. "Kami juga pergi ke rumah-rumah yang kecil. Wah! Memang best! Kami diberi duit Raya 50 sen setiap seorang. Waktu tu, jumlah itu sudah dikira besar bagi kami. Kami juga pernah dikejar anjing... zaman kanak-kanak memang banyak kenangan Raya," katanya. Sebagai seorang ibu, Wiwie tidak ketinggalan dalam menjaga keselamatan anakanaknya terutama di musim perayaan ini.

"Sebut saja Hari Raya, mercun memang tidak dapat dipisahkan. Tapi, mercun ini sangat berbahaya. Tinggal beberapa hari lagi, kita akan menyambut 1 Syawal, bagi adik-adik di luar sana, jangan main mercun. Sayangilah diri anda dan juga ibu bapa kita yang menjaga kita dari kecil. Jangan ingkari nasihat mereka," katanya dengan bersungguh-sungguh. Penyanyi yang membesar di Putatan ini juga bakal mengeluarkan single terbaru. "Insya-Allah, Wiwie akan keluarkan single ketiga dan kali ini, Wie akan berduet dengan seorang artis lelaki dari Semenanjung. Kami akan bekerjasama selepas Raya," ujar penyanyi lagu Memori Abadi ini, yang enggan mendedahkan siapakah artis lelaki itu.

"Wiwie ingin mengambil kesempatan ini untuk menyusun sepuluh jari dan memohon maaf kepada semua pembaca, pendengar dan peminat. Kalau ada kesilapan, harap maafkan.
"Terima kasih kepada semua pihak, terutama ibu bapa, adik-beradik Wie, dan tidak dilupakan juga rakan media yang sentiasa mengambil-tahu mengenai perkembangan karier Wie. Kalau ada yang berhasrat untuk menyampaikan pesanan, layari saja Facebook Wie, insya-Allah Wie akan beri respons," katanya.

0 comments: