7 Sept 2010

Persiapan Raya Artis Sabah -Sabhi Saddi


Rezeki Terpijak

Boyd PV



PERJALANAN seni Sabhi Saddi tampak selesa dan mendadak gara-gara penangan lagu hitsnya. Nadiku. Berbekalkan lagu itu, kehadirannya di persada seni tanah air sebagai artis solo diterima baik oleh peminat dan media dalam masa yang boleh dikatakan agak singkat berbanding sesetengah artis baru yang lain. Hari demi hari, profail seninya semakin mengukuh seiring dengan kebangkitan namanya.

Dan baru-baru ini, Sabhi membuat kejutan dalam industri apabila dia dilaporkan terbang ke Jakarta untuk merakam sebuah jingle untuk iklan Hari Kemerdekaan bagi syarikat pengeluar barangan jenama Adabi. Semua itu hadir begitu mudah buat bekas anggota kumpulan Esdeco ini. Enggan mendabik dada dengan kejayaan yang dikecapi, Sabhi memanjatkan kesyukuran kepada Allah di atas perjalanan seninya yang dipermudahkan. "Saya sangat bersyukur kerana usaha dan bakat saya diterima oleh peminat," kata Sabhi ketika dihubungi di Ibu Negara baru-baru ini. Perjalanan saya masih jauh, InsyaAllah... dan saya terus mengharapkan sokongan peminat untuk memperkukuh nama dalam bidang ini," katanya.

Bercerita mengenai pembabitannya sebagai penyanyi latar untuk iklan Hari Kemerdekaan yang dihasilkan di Indonesia itu, Sabhi berkata peluang itu hadir secara tiba-tiba. Menurut Sabhi, Adabi menggunakan khidmat syarikat dari Indonesia itu untuk menghasilkan iklan tersebut."Kami (pengurusannya) dihubungi oleh penerbit iklan itu yang mahukan saya menyanyikan jingle mereka. Saya difahamkan, pada asalnya mereka memburu khidmat Anuar Zain tapi memandangkan Anuar ada komitmen lain, mereka terpaksa mencari pengganti. Saya difahamkan juga, dalam banyak-banyak CD penyanyi Malaysia yang dihantar kepada mereka, mereka akhirnya memilih saya. Terkejut juga... tapi saya bersyukur kerana orang di sana nampak bakat saya," jelasnya.

Sekalipun hanya menyanyikan jingle untuk iklan itu, ia memberikan Sabhi satu peluang keemasan untuk menimba pengalaman bekerja dengan orang luar. Mana tahu, itu adalah langkah awal untuk Sabhi dikenali di negara jiran itu yang sukar ditembusi penyanyi dari Malaysia. "Ketika berada di Indonesia, ada beberapa label di sana menyatakan minat mereka untuk memasarkan bakat saya di negara jiran itu. Saya memang teruja dengan perkembangan ini tapi saya akan terus berpijak di bumi nyata. Saya bersyukur kerana Allah terus membukakan pintu rezeki untuk saya" kata Sabhi.

Sebelum ini, heboh sedikit industri hiburan kita gara-gara gosip yang mendakwa kononnya Sabhi akan menggantikan tempat Kozae dalam kumpulan vokal One Nation Emcee. Ramai peminat beranggapan langkah itu kurang tepat kerana "Sabhi Saddi" kini adalah satu jenama yang semakin kuat dan menganggotai kumpulan One Nation Emcee pasti akan menenggelamkan namanya yang baru hendak mekar. Ditanya mengenai perkara itu, Sabhi hanya tergelak. "Abang rasa ok tak kalau saya sertai One Nation Emcee?" Sabhi pula bertanya sebelum berterima kasih kepada semua yang memberikan maklum balas terhadap gosip itu. "Untuk pengetahuan peminat, saya tidak akan menganggotai kumpulan One Nation Emcee.Itu hanyalah salah faham. Peminat mungkin keliru kerana kebelakangan ini saya sering dilihat bersama One Nation Emcee. Apa yang berlaku ialah kami sebenarnya berkolaborasi untuk projek filem 3GP keluaran Grand Brilliance Sdn Bhd." Menurut Sabhi, dia dan One Nation Emcee terbabit bukan sahaja sebagai pelakon dalam filem arahan Aidil Fitri itu tetapi juga menghasilkan runut bunyi untuk filem berkenaan. "Di situlah kolaborasi antara saya dan One Nation Emcee bermula dan dari sana jugalah kami ada kalanya berkongsi pentas dan sebagainya. Agaknya dari situlah timbulnya gosip saya akan menggantikan Kozae," jelas Sabhi.

Bagi Sabhi, dia mengagumi bakat dan muzik yang diperjuangkan oleh One Nation Emcee.
"Tapi saya perlu teruskan perjuangan saya sebagai artis solo walaupun saya akui lebih selesa bergerak secara berkumpulan," katanya. Mengenai persiapan rayanya tahun ini, anak kelahiran Sandakan ini berkata semuanya dibuat ala kadar sahaja. "Tahun ini tahun pertama saya beraya sebagai artis solo... tapi rasanya tak ada apa beza pun... semuanya sama sahaja kecuali semakin ramai orang kenal saya...," katanya yang sejak dari awal Ramadan sudah menempah sehelai jubah untuk dipakai pada pagi Raya kelak. Selain itu, menurut Sabhi, dia ada juga menyediakan duit raya untuk anak-anak buahnya, "semuanya ada 10 orang. Duit raya untuk mereka sudah saya sediakan...saja mahu gembirakan hati budak-budak ketika menyambut raya...kita pun pernah jai budak-budak..." katanya.

Mengikut perancangannya, Sabhi akan beraya bersama keluarganya di Kota Kinabalu pada Raya pertama dan kedua. "Selepas itu, pada Raya ketiga, besar kemungkinan kami akan beraya di Sandakan pula," katanya yang akan pulang ke Kota Kinabalu pada 5 September ini, sehari selepas hari lahirnya, memandangkan dia tidak terbabit dalam sebarang siaran langsung di televisyen pada malam menjelang Raya.

0 comments: