SELEPAS tampil bersama single pertamanya tahun lalu, kini Pollo atau nama sebenarnya Deffny Pearl Tanggar, muncul bersama sebuah album penuh mengandungi 10 lagu.
Istimewa, album solo pertama Pollo ini turut memuatkan singlenya, bertajuk ‘Punah’ ciptaan komposer Benedict Gaidi @ Gidik yang turut berduet dengan Pollo dalam lagu ‘Mongudut ko’.
Selain itu, album Pollo yang diterbitkan dalam bentuk audio CD ini juga terdapat sebuah lagi lagu berbahasa Melayu dengan tajuk ‘Enggan Mengakui Cinta’ hasil ciptaannya sendiri dan dinyanyikan berduet dengan Jekley G.
Lapan lagu lain yang terkandung di dalam album ini adalah dalam bahasa Dusun, Honggo Janji Nu, Sabab Sala’ Ku, Mongudut Ko, Adi Koupusan Ku, Sundu Piginawaan, Sinding-Sinding Kalangadan, Tusak Tusak Piupusan dan Haro Po Kosiwatan.
Komposer dan penulis lirik lain yang terlibat, Jack Beech Malamak dan juga ibu Pollo, Muren Sigoh dan dirakamkan di IT Korner Production milik penyanyi dan pemuzik berpengalaman, Dewin Tumas.
Menurut Pollo album yang diberi judul “Adi Koupusanku” merupakan satu daripada impiannya dan kemuncak kepada penglibatannya dalam bidang seni suara sekian lama.
“Saya memang minat menyanyi sejak kecil, ditambah lagi ibu bapa saya juga aktif dalam bidang nyanyian dan hiburan,” katanya.
“Saya juga banyak belajar dan mendapat dorongan sepenuhnya daripada mereka dan adik beradik saya,” tambah penyanyi berusia 22 tahun ini.
Mengenai pengalamannya dalam bidang nyanyian, Pollo memberitahu dia mulai menyanyi sebagai ‘pemazmur’ di Gereja St. Philip Tamparuli, ketika itu masih bersekolah di sekolah menengah.
Seterusnya Pollo menimba pengalaman menerusi pelbagai pertandingan nyanyian yang disertai antaranya KE Next Top Entertainer (KENTE) 1 sebagai finalis dan juga Sugandoi Kaamatan.
Antara pencapaiannya dalam pertandingan Sugandoi, johan Sugandoi Kaamatan Terbuka Malaysia, johan Sugandoi KKIP, johan Sugandoi Peringkat Negeri USDA serta pernah mewakili daerah Tamparuli dan Inanam ke Sugandoi peringkat negeri.
Selain itu, Pollo juga menduduki tempat ketiga Sugandoi Pertisa Peringkat Negeri anjuran Persatuan Artis Tempatan Sabah (Pertisa) pada tahun 2009.
Berikutan kejayaan menerbitkan album solo sulungnya ini, Pollo berterima kasih kepada semua yang telah menyokongnya serta terutama para komposer yang memberi kepercayaan kepadanya untuk menyanyikan lagu-lgu ciptaan mereka.
Manakala album MTV karaoke pula akan menyusul tidak lama lagi.
“Terima kasih juga kepada IT Korner yang memberi kerjasama penuh semasa proses merealisasikan penerbitan album ini,” kata Pollo yang sekarang sedang menuntut di UNITAR dalam bidagn Sarjana Muda Pendidikan.
Pollo juga menyampaikan penghargaan kepada George Duat yang menghasilkan rekaan kulit untuk albumnya itu.
“Saya berharap juga album ini mendapat sambutan yang baik daripada kalangan pendengar dan peminat lagu-lagu tempatan,” katanya yang berkeyakinan lagu-lagu nyanyiannya itu sesuai untuk semua golongan usia pendengar.
Sementara itu, Gidik sebagai seorang daripada komposer terlibat dalam album Pollo berkeyakinan, penampilan penyanyi muda ini menyerikan lagi persada seni hiburan tempatan.
Gidik juga berharap semua peminat seni hiburan tempatan terus menyokong semua artis termasuk penyanyi-penyanyi baharu supaya mereka dapat pergi lebih jauh dalam bidang ini.
Di samping itu kata Gidik, menerusi lagu juga bahasa ibunda dapat dimartabatkan dengan penggunaan diperluas.
“Tanpa sokongan semua, tentunya menjadi halangan untuk artis-artis tempatan kita maju. Hindarkan daripada membeli produk cetak rompak yang hanya akan memudaratkan industri hiburan serta mereka yang terlibat dalam industri ini,” tegasnya yang juga ahli Pertisa.
Credit: The New Sabah Times
Lagu dia yang mengungguli carta Pop Dusun minggu lalu
Tersangkut juga sikit-sikit tune lagu "First of May" (Bee Gees) :=).
0 comments:
Post a Comment