29 Aug 2006

Mentor TV3: Fiq terus mengungguli carta


Kepada anda yang mengikuti perkembangan program pencarian bakat realiti TV, Mentor di TV3, mungkin sedia maklum peserta dari Sandakan Sabah, Fiq sedang menduduki carta teratas rancangan tersebut. Setakat program Mentor Ahad lepas Fiq telah menggumpul sebanyak 280 mata iaitu gabungan mata yang diperolehi menerusi penilaian juri professional dan juga undian SMS. Fiq bukan saja meraih markah yang banyak dan mengatasi protege-protege yang lain melalui undian SMS, tetapi markah yang diberikan oleh juri juga seringkali melebihi protege-protege yang lain. Pesaing terdekat Fiq ialah Kat protege kepada Siti Nurhaliza yang setakat ini meraih markah sebanyak 240 mata.

Adakah penglibatan penyanyi rock sensasi Amy Search, selaku Mentor Fiq, mempengaruhi kedudukan beliau? Bagi saya Fiq memang mempunyai keistimewaannya tersendiri. Selain daripada ketrampilan dan personaliti yang menarik, kekuatan vokal beliau juga begitu menyerlah melalui lagu-lagu yang dipersembahkan dalam rancangan tersebut seperti lagu "Seruan" yang dipopularkan oleh Nash.

Yang menarik dan melucukan dalam episod Battle Kedua Kumpulan B 20 Ogos lalu, ada di kalangan penonton yang begitu riuh memenuhi dewan Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, mengibarkan bendera Negeri Sabah (saiz besar) lalu disambut dengan laungan "aramai tii!" dari Amy Search! Kehadiran penyokong-penyokong Sabah tidak menghairankan terutama kalangan penuntut-penuntut UiTM, memandangkan jarak Plaza Alam Sentral yang berhampiran dengan kampus induk UiTM Shah Alam. Namun begitu saya percaya Fiq bukan setakat meraih sokongan dari negeri ini tetapi juga dari segenap pelusuk Malaysia yang meminati rancangan Mentor.

Adakah pilihan juri dan juga pilihan jari (SMS) terus memihak kepada Fiq justeru membolehkan beliau kekal di atas carta dan akhirnya menjuarai Mentor musim ini? Semuanya bergantung kepada mutu persembahan Fiq dalam rancangan Mentor. Diharapkan Fiq akan terus memberikan persembahan yang konsisten dalam episod-episod Mentor yang akan datang dan besar harapan untuk melihat beliau dinobatkan sebagai juara Mentor musim ini.


P/s: Ingin melihat Fiq jadi juara Mentor? Taip MENTORFIQ dan hantar ke 39003 atau melalui talian tetap : Dail 13712

0 comments: