26 Aug 2006

Pengait, pontianak, masuk pasaran

Oleh Mohd Nasif Badruddin
Harian Metro (online)

KEBELAKANGAN ini semakin kurang telemovie tempatan yang berada di pasaran berbanding awal 2000 yang menyaksikan kebanjirannya mendapat sambutan begitu menggalakkan daripada masyarakat.

Menyedari potensi dan peluang yang ada, FMC Music Sdn Bhd tampil mengambil langkah ke depan dengan memasarkan telemovie terbaru yang mana penggambaran dan lokasi dilakukan sepenuhnya di Sabah.

Telemovie berjudul Pengait Dan Pontianak-Khabar Angin Dari Borneo mengisahkan dua cerita khabar angin iaitu Pengait dan Pontianak. Kononnya ia masih lagi berlaku dan menjadi igauan buruk penduduk tempatan.

Lokasi penggambaran pula dilakukan di Penampang dan Menggatal, Sabah kerana amat sesuai dengan suasana dan budaya masyarakatnya. Ia mengenengahkan kombinasi pelakon baru dan lama dari Sabah. Beberapa pelakon popular yang membintanginya ialah Stella James, Jamil Majingkin dan Thailon Makuzan.Menurut pengarahnya, Tony Francis Gitom, telemovie ini hanya mengambil masa 15 hari penggambaran kerana menggunakan krew dan pelakon tempatan Sabah.

“Walaupun pasaran telemovie tempatan yang dijual menerusi cakera padat video (VCD) agak berkurangan sekarang ini, saya yakin ia akan mendapat sambutan dan dapat memenuhi permintaan masyarakat yang inginkan cerita sebegini.“Tambahan pula, ia ditampilkan dalam bentuk cerita misteri dan seram yang kini mendapat sambutan ramai di kalangan masyarakat,” katanya pada sidang media pra-pelancaran telemovie ini di Restoran Seri Melayu, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pengait (pemotong kepala) mengisahkan kejadian potong kepala yang berlaku di Sabah awal 70-an hingga hari ini. Ia diadaptasi daripada cerita masyarakat Sabah yang dikatakan benar-benar berlaku tetapi tidak dapat dilaporkan dan kebanyakan mangsa terdiri daripada kanak-kanak di pedalaman.Setiap kali ada pembinaan jambatan baru pasti terdapat khabar angin dengan kehadiran pengait yang diupah mendapatkan kepala manusia bagi ditanam di tapak pembinaan jambatan baru membuatkannya lebih tahan lama dan tidak roboh.

Pontianak pula mengisahkan seorang perempuan Dusun, Surindai yang dibunuh dengan kejam dan mayat bayinya diambil Janggi, seorang bomoh. Bomoh tersebut adalah orang kepercayaan teman lelaki Surindai iaitu Ham Logor.Akibat roh yang tidak tenteram, Surindai menjadi pontianak lalu menghuni hutan tempat dia dibunuh. Untuk membalas dendam, Surindai mengganggu melalui beberapa pelajar yang kebetulan berada di tempatnya dibunuh beberapa tahun lalu.

0 comments: