Sekiranya anda seorang gadis yang sedang mabuk asmara dilamun cinta dengan jejaka Afrika yang dikenali melalui laman sosial terutamanya Facebook, teruskanlah membaca. Menurut Menteri Luar Negara, Datuk Anifah Aman, sehingga sekarang seramai 149 wanita Malaysia merengkok di penjara luar negara kerana ditangkap akibat mengedar dadah. Mereka telah disabit kesalahan dan dihukum samada seumur hidup atau hukuman mati. Beberapa akhbar baru-baru ini melaporkan sindiket dari Afrika yang gigih 'memikat' gadis-gadis Malaysia untuk dijadikan 'keldai dadah' (pengangkut dadah).
Bagaimanakah sindiket ini beroperasi? Menurut polis, jejaka-jejaka dari Afrika mencari mangsa mereka melalui laman sosial di internet terutamanya Facebook. Setelah berkenalan dengan gadis-gadis tempatan mereka mula menabur ayat-ayat cinta, romantis dalam usaha menawan hati si gadis supaya bersetuju menjadi kekasih mereka. Operasi mereka akan menjadi mudah dan licin apabila hubungan mereka sampai ke tahap sepasang kekasih, lebih-lebih lagi apabila si jejaka sampai ke tahap melamar gadis tadi. Menurut polis, peringkat ini sebenarnya hanyalah sekadar memperdaya gadis tersebut agar tidak mengesyaki apa-apa yang buruk akan berlaku.
Beberapa kes lepas mendapati gadis-gadis tempatan diminta membawa bungkusan misteri ke luar negara untu diserahkan kepada orang-orang tertentu. Dalam kes ini gadis tersebut mengembara berseorangan. Walau bagaimanapun sejak kebelakangan ini si gadis dan pasangannya mengembara bersama, namun setibanya di destinasi yang di tuju jejaka tersebut akan menghilang diri dan meninggalkan gadis tersebut terpinga-pinga di negara orang, bersama-sama dengan beg yang mengandungi dadah. Demikianlah penerangan yang diberi oleh polis berhubung 'keldai dadah'.
Yang sedihnya enam wanita Sabah telah menjadi mangsa setakat ini. Adakah anda mangsa seterusnya? Malah wanita Sabah, Christina Anak Luke Niju, 22 tahun dari Sandakan merupakan mangsa terakhir sindiket "keldai dadah" ini. Beliau terpedaya melalui Facebook dan akhirnya ditangkap di China pada bulan April tahun lepas. Berwaspadalah, terutama sekali bila anda dihampiri oleh jejaka Afrika di Facebook. Difahamkan jejaka-jejaka ini akan menerima pulangan lumayan sekiranya misi mereka tercapai. Apa pula pulangan yang bakal anda dapat? Gunakanlah akal fikiran anda, fikirkan tentang keluarga dan masa depan anda. Biar menyesal hari ini daripada menyesal hari esok. Sebab sekiranya anda telah disabit kesalahan tiada siapa yang dapat membantu anda. Meraung di penjara pun tiada guna...hanya tikus-tikus, semut-semut ja yang mendengar raungan anda. Hukuman tetap hukuman.
Sebarkan juga berita ini kepada keluarga, saudara-mara dan sahabat andai anda yang mempunyai anak-anak gadis.
Sila baca berikta keratan akhbar berikut untuk maklumat lanjut (klik imej untuk paparan lebih besar)
0 comments:
Post a Comment