Pesona pasangan MyHeart
Oleh NORHAYATI NORDINAKSI
Aksi romantis di antara Norsyarmilla Jirin atau Mila dan Ebi Kornelis @ Firdaus Yimal (Ebi) ketika mendendangkan lagu My Heart pasti masih lagi diingati ramai. Apa tidaknya, mereka umpama pasangan merpati dua sejoli yang hangat bercinta.
Biarpun adegan itu dijadikan sandaran untuk mendapatkan ‘air lagu’ dan ‘mood’ pada persembahan duet mereka, ternyata ia berjaya dan meninggalkan kesan mendalam kepada penonton. Alangkah indahnya bertukar mikrofon berdua ketika menyanyikan lagu cinta.
Hingga pada saat pertemuan Metro Ahad bersama dua pendatang baru itu, disangkakan mereka ‘bercinta’. Aura keserasian di antara Mila dan Ebi jelas terpancar sekalipun Akademi Fantasia 5 (AF5) berakhir seminggu lalu. Mereka sememangnya secocok.
Apapun, masih terlalu awal untuk mereka ‘bercinta’ kerana misi sebenar dua anak muda ini terlalu jauh. Selain baru menjejakkan kaki ke dunia realiti hidup sebagai insan seni, soal hati dan perasaan lebih senang ditolak jauh-jauh terlebih dulu.
Buat masa ini, misi besar menanti, terutama bagi Mila sebagai juara wanita pertama AF. Anak jati Pulau Pinang itu mahu bangkit ‘membuktikan’ dirinya benar-benar berbakat serta gelaran juara diraih adalah kerana bakat dan bukan simpati.
“Terus-terang saya sedih kerana kemenangan ini mencetuskan kontroversi dan ‘dipertikaikan’ segelintir pihak. Saya kecewa kerana tidak pernah terlintas di hati ini mahu menang secara simpati. Selama ini saya berusaha bersungguh-sungguh.
“Ingin dijelaskan, yang anda tonton mengenai saya di dalam akademi dulu, itulah Mila yang sebenar. Saya bukan saja suka bercakap, tetapi ramah. Malah, tindakan saya yang sering berinteraksi dengan kamera disebabkan rasa bosan.
“Sesiapa yang masuk ke akademi tahu apa yang ada di sana, tiada apa di akademi untuk menggembirakan hati kami selain dua kamera disediakan. Jadi, untuk mengisi rasa sepi dan rindu di hati, saya bercakaplah dengan kamera,” katanya.
Menurut gadis berusia 19 tahun itu, baru dia faham mengapa Farah (AF2) dulu bersikap demikian. Sebenarnya, bukan hendak meraih simpati tapi itu saja yang ada (kamera). Biarpun televisyen juga ada, mereka tidak boleh menontonnya.
“Kalau menonton sekalipun, hanya konsert yang pelajar lakukan setiap minggu. Itupun, kemudian kami dikritik tenaga pengajar supaya pada konsert seterusnya, pelajar yang tinggal akan melakukan persembahan lebih baik lagi.
“Apapun, sepanjang 10 minggu di akademi, pelajar tidak pernah tahu apa diperkatakan orang ramai mengenai kami, termasuk kedudukan dalam carta. Saya juga tidak pernah menyangka setiap minggu saya di kedudukan rapuh.
“Malah, setiap kali selepas konsert, saya berasakan bakal tersingkir. Namun, semuanya ketentuan dan rezeki Tuhan. Oleh itu, saya sangat bersyukur dengan kemenangan ini dan berharap tiada lagi spekulasi mengenainya,” katanya.
Ditanya apakah dia terguris dengan spekulasi kemenangannya, Mila berkata sedikit sebanyak rasa sakitnya tetap ada. Kerja keras dilakukan selama ini dipertikaikan. Namun, Mila bersedia menghadapinya kerana sedar itu asam garam sebagai anak seni.
“Oleh itu, saya memohon diberikan peluang untuk menonjolkan bakat seni sebenar. Usah mengadili saya lebih awal tanpa membenarkan saya membuktikan keupayaan diri. Saya juga akui masih memerlukan masa untuk memantapkan vokal.
“Kini, saya masih dalam sesi menyesuaikan diri sebagai artis. Biarpun kekok kerana beberapa jadual berubah iaitu waktu tidur dan bersama keluarga, saya akur. Ini jalan yang saya pilih dan seharusnya saya tahu apa perlu dilakukan,” katanya.
Bagi Ebi pula, tidak dinafikan dia sedih dan kecewa kerana tumpas di tangan Mila sebagai juara AF5. Katanya, sesiapa saja di tempatnya pasti sedih selepas mengetahui setiap minggu namanya di tangga teratas. Justeru, pada saat akhir penguasaannya berjaya disingkirkan.
“Bagaimanapun, saya bersyukur dengan tempat kedua. Malah, sepanjang di AF5, saya juga seperti berasakan wanita akan menjadi juaranya. Lebih-lebih lagi bila melihatkan persembahan Mila yang konsisten selepas konsert minggu kelima.
“Sejak itu, saya percaya dia akan menjadi juara dan memecah tradisi monopoli lelaki sebagai juara AF. Bukan itu saja, pada konsert minggu pertama, saya pernah mensasarkan juara AF5 adalah Heliza.
“Ketika itu, saya dapati Heliza mendapat komen memberangsangkan daripada tiga pengkritik tetap iaitu Kak Jee (Fauziah Latiff), abang Hattan dan Kak Ogy (Fauziah Datuk Ahmad Daud). Tak sangka, akhirnya Mila yang berjaya mengubah ramalan saya,” katanya.
Jelas pemuda berusia 23 tahun dari Sabah itu, dia setuju Mila menjadi juara AF5.
“Kalau dilihat persembahan Mila, memang patut dia menang. Boleh dikatakan setiap minggu persembahannya ‘menjadi’ dan berjaya menghiburkan penonton.
“Pada konsert akhir AF5, persembahan Mila berjaya membuatkan suasana di Stadium Putra Bukit Jalil menjadi riuh-rendah dengan sokongan penonton. Bukan itu saja, Mila satu-satunya peserta berjaya mendapat lapan butang biru daripada pengkritik.
“Oleh itu, apa yang hendak dipertikaikan lagi. Semuanya jelas. Selain itu, saya juga tidak pernah merasakan ada ‘pilih kasih’ dalam akademi kononnya pelajar ‘kegemaran’ diberikan lagu popular. Setakat ini, pada saya semuanya adil,” katanya.
Kata Ebi, dia juga tidak tahu bagaimana dia tiba-tiba menjadi mangsa ‘gosip’ dengan Heliza. Terangnya, di antara dia dan Heliza memang tiada perasaan, apatah lagi bercinta. Pada Ebi, dia hanya menganggap Heliza sebagai teman seperjuangan.
“Saya tidak pernah rapat dengan Heliza. Malah, dia (Heliza) juga suka membuat hal sendiri dalam akademi. Justeru, macam mana boleh mengatakan saya jatuh cinta dengannya. Bagi saya, cinta masih jauh lagi kerana saya mahu menumpukan pada kerjaya ini,” katanya.
Mengulas mengenai wang tunai RM10,000 dimenanginya selaku naib juara AF5, Ebi berkata, dia mahu membina rumah baru yang lebih selesa untuk orang tuanya. Selain itu, dia bercadang membuat kenduri kesyukuran atas kejayaannya.
0 comments:
Post a Comment