10 May 2006

INTRO: Mawar Kg Bambangan.

Bertemu sekali lagi dalam ruangan INTRO. Sebuah ruangan khusus memperkenalkan tunas harapan baru, bakat seni tempatan. INTRO kali ini menampilkan seorang gadis manis bertudung yang berasal dari Kampung Bambangan, Tambunan (bukan Bambangan yang di Inanam tu). Beliau yang dimaksudkan ialah Cik Rosmawati Bte Majana atau lebih mesra dengan panggilan Atie. Mungkin ada yang tertanya macam mana pula gadis yang datang dari jauh dengan imej yang agak jarang ditampilkan oleh penyanyi pop wanita Sabah boleh mengisi ruangan INTRO kali ini? Sebenarnya Cik Rosmawati ni, merupakan salah seorang peserta pertandingan Pedalaman Idol 2006. Mungkin rezeki tidak menyebelahi Atie dalam pertandingan tersebut, tapi yang menariknya bakat Atie berjaya menambat hati salah seorang juri pertandingan.


Dengan imej bertudung, adakah genre lagu irama padang pasir (ala-ala Waheeda atau Bienda) bakal disajikan oleh Atie? "Sebenarnya saya meminati lagu-lagu sentimental, malah semasa bertanding dalam Pedalaman Idol saya membawa lagu "Adaa" dendangan Clarice, penyanyi yang saya cukup minati pula ialah Siti Nurhalizah" jelas Atie semasa sesi suai kenal di Tg Aru kelmarin. Selain Pedalaman Idol beliau juga sering mengambil bahagian dalam beberapa pertandingan nyanyian, termasuklah juga Akademi Fantasia 3. Setakat pertandingan anjuran sekolah, Atie pernah beberapa kali menjadi juara. Gadis manis berusia 20 tahun ini, baru sahaja tamat persekolahan peringkat STPM di SMK Gunsanad Keningau. Atie merupakan bakat kedua dengan imej bertudung yang pernah diketengahkan di persada seni hiburan Sabah. Sebelum ini Nabilla, menerusi pertandingan KDM Idol 2005, juga pernah ditampilkan (beliau adalah antara 31 peserta Sabah yang bakal berentap dalam One In A Million). Kalau segala yang dirancang berjalan lancar, Atie juga akan tampil dalam album artis variasi yang bakal diterbitkan oleh Fantasia Music Production (FMP) tidak lama lagi. Sama-samalah kita nantikan album yang bakal menampilkan bakat Atie kepada umum, pasti hebat!

1 comments:

ciaoflocy said...

oooh... sia pikir Kg. Bambangan yg Inanam.. hehehe...