5 Apr 2006

Nokuro29 Episod ke3 - Usaha untuk menarik minat golongan muda berjiwa rock!

Artis : Nokuro 29
Album : Nokuro Tu?
Edaran : N29
Rating : 3

Kehadiran golongan remaja bermain muzik secara berkumpulan bukanlah sesuatu yang baru. Pergi saja ke pusat-pusat jamming di sekitar Kota Kinabalu, malah di bandar-bandar juga pekan lain di negeri Sabah, sudah pasti kelihatan kelibat mereka lepak menanti giliran memasuki studio jamming. Kreativiti mereka terserlah seawal menamakan kumpulan mereka lagi. Dengan bunyi nama kumpulan yang pelik-pelik, lazimnya muzik rocklah yang menjadi santapan.


Dari kelompok jammers ini tampil sebuah kumpulan trio yang menamakan diri mereka Nokuro 29, yang muncul dengan album sulung mereka, Nokuro Tu (Kenapa Tu?). Menariknya Nokuro 29 ini ialah bahasa Dusun dipertaruhkan sebagai lingua franca curahan emosi menerusi genre muzik yang cuba mereka ketengahkan iaitu "freepop punk ska" .Hasilnya? Bolehlah ditinjau dari dua aspek, aspek seni/karya muzik dan juga aspek teknikal. Untuk aspek pertama, jauh dari mengecewakan, malah tahap kreativiti trio ini dalam bidang penciptaan muzik amat mengkagumkan. Semuanya telah dibuktikan menerusi lagu-lagu ciptaan mereka sendiri seperti "Nokuro Tu", "Aramaiti Ska", "Koupusan Ku", "Ona Ku", "Trust Pada Bulan" (yang ini dijamin membuat pihak Dewan Bahasa pening!) dan selebihnya. Kekuatan vokal ketiga-tiganya tak perlu disangkal, masing-masing dengan keistimewaan tersendiri. Vincent memiliki vokal yang sesuai membawakan lagu "heavy" (dan memang itulah tugas beliau dalam album ini). Sementara Uyu (Trust Pada Bulan) dan Rydu (Ona Ku) pula selesa dengan lagu yang sederhana berat dan ringan masing-masingnya. Dari aspek teknikal pula (kualiti bunyi/adunan), hanya yang mampu saya katakan ialah, masih terdapat beberapa kekurangan yang perlu diperbaiki.

Trio ini mampu melangkah lebih jauh dan andaikata segalanya berjalan dengan baik, mereka mampu menyaingi kumpulan muzik lain. Dari segi penampilan imej, tidak jauh bezanya dengan penampilan imej kumpulan Peterpan, Sheila On 7, Radja dan yang lainnya. Vokal serta mutu komposisi lagu juga agak setanding. Walau apapun, segala kekurangan dalam album pertama ini besar harapan ianya akan dapat diatasi dalam album-album Nokuro 29 yang seterusnya. Semoga Nokuro 29 akan berjaya menarik perhatian lebih ramai kelompok remaja mendekati album tempatan dan seterusnya menjadi perintis serta pendorong kepada golongan jammers remaja yang lain untuk menghasilkan album.

Muzik video 1, Muzik video 2


P/s: Ucapan jutaan terima kasih (tahap gaban)...kerana menyebut sekali dbos-fm dalam kredit (terharu!)

1 comments:

F!oNa said...

Uinaa...lawa cover diurang tau !
Pwitttttt...makin nda sabar memiliki album nie ;) .

Tahniah Nokuro29,seriband dan sesiapa yang bertanggungjawab menjayakan album nie.Dbos,thank's maklumat nie.. ;)

-Beli yang ORIGINAL kio !!