Cintai Mila satu kesilapan
Oleh HARYATI KARIM
JIKA Rabu lalu Kosmo! membongkar kisah sensasi sugar daddy Mila dan juga cinta malangnya dengan Ebi, kali ini VAZZ! mendapat jawapan daripada mulut Ebi pula. Sebelum ini, Mila seperti mengatakan Ebi yang beria-ria ingin menawan hatinya sedangkan dia langsung tidak mempunyai perasaan yang sama.
Nyata Ebi tidak mahu mendiamkan diri lagi. "Saya sangat terkejut membaca artikel itu. Ia seolah-olah mahu menjatuhkan maruah saya," kata Ebi kesal. Ebi yang kini sibuk di set penggambaran Sayang U Can Dance, menjelaskan dia tidak mahu apa yang berlaku menjejaskan fokusnya. Sebaliknya dia cuba untuk memberikan yang terbaik ketika bekerja.
Kosmo!: Mila ada menyatakan yang kamu berdua dalam proses hendak berkenalan saja, belum sampai tahap bercinta? Betul ke?
EBI: Sebenarnya kami rapat sejak tahun lepas. Saya akui memang kami bercinta selama ini, cuma kami merahsiakannya kerana masih terlalu baru dalam industri seni. Nanti takut orang kata kami hilang fokus dan lebih mementingkan cinta daripada kerjaya. Sebenarnya dia yang terlebih dahulu mengambil berat tentang saya. Mila juga mengaku dia sayangkan saya. Sebelum ini dia ada merancang untuk umumkan hubungan kami semasa Anugerah Bintang Popular nanti (hari ini), tapi kami dah putus, nak buat macam mana. Apa yang berlaku antara saya dengan Mila asalnya tiada siapa yang tahu. Bagi saya tak eloklah hebohkan perkara peribadi kepada orang ramai. Banyak lagi benda lain yang dia boleh cakap, kenapa nak beritahu hal peribadi.
Masalahnya, cerita itu tidak benar sama sekali. Janganlah kata saya saja yang nak bercinta dengan dia kerana percintaan itu atas kerelaan kami berdua. Saya serius kalau bercinta, kenapa perlu sakitkan hati orang yang kita sayang? Saya baca artikel itu (Kosmo!) tapi saya tak tahu apa niat dia.
Timbul juga kisah lelaki Cina yang telah berusia yang dikatakan Mila sebagai rakan kongsi di syarikat yang baru dibuka Mila. Siapa sebenarnya lelaki itu? Terus terang, kami berpisah pada 14 Februari lalu, semuanya kerana lelaki itu. Tapi saya tidak mahu ulas lebih-lebih kerana banyak hati yang perlu saya jaga.
Apa yang boleh saya katakan, bercinta dan terlibat dalam hidup Mila adalah kesilapan terbesar yang pernah saya lakukan.
Jadi lelaki Cina itu yang menyebabkan kalian putus kasih?
Memang dialah punca kami berpisah. Ini kerana Mila yang minta saya lepaskan dia. Waktu itu saya terkejut tetapi apabila difikirkan kembali, saya sudah malas dan nekad untuk tinggalkan dia. Jadi kami pun berpisah.
Kamu berdua baru sahaja menapak dalam dunia seni malah mempunyai pihak pengurusan yang sama. Bagaimana hubungan kalian selepas ini?
Sebagai artis, menyanyi itu kerjaya saya. Sejak berpisah, saya hanya jumpa dia jika kebetulan kami ada show yang sama. Saya kena bersikap profesional. Tetapi untuk menghubunginya seperti dulu tidak lagi. Sejak berpisah saya tidak pernah menelefonnya lagi. Memanglah semua ini sedikit sebanyak mengganggu saya, tetapi saya juga ada kerja. Apa saja masalah yang datang saya akan tolak ke tepi dahulu. Mungkin selepas ini ada lagi kenyataan daripada Mila.
Jika begitu, apa yang ingin kamu lakukan untuk membela diri?
Saya manusia biasa yang ada tahap kesabaran. Jangan sampai saya ceritakan semua kisah saya dan dia. Saya kalau boleh tak mahu malukan sesiapa. Walau apa pun yang berlaku saya berpegang pada prinsip, nanti suatu hari Allah akan tunjukkan kebenarannya, jika bukan esok, lusa nanti di akhirat. Kita sesama Islam harus menjaga lidah supaya jangan berbohong dan menyakitkan hati orang lain
0 comments:
Post a Comment