20 Dec 2005

Marsha vs Siti...dan isu "reject song".

Tentu ada yang tertanya-tanya kenapa saya memutarkan lagu Untuk Terakhir Kali (UTK) versi Siti Nurhaliza di sini. Alkisah lagu ini pada awalnya diberi kepada Siti untuk dimuatkan dalam salah satu album beliau yang akan datang tapi konon-kononnya Siti tak mengambil lagu ini atau dalam istilah yang popular beliau REJECT lagu ini. Pada mula mendengar gosip ini saya ambil masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri, sama seperti gosip-gosip lain yang tidak berasas, amat sukar saya mempercayainya. Tambahan lagi apabila mendengar Marsha menyanyi lagu ini saya langsung tidak terbayangkan Cik Siti kita membawa lagu tersebut (imaginasi saya lebih berpihak kepada suara penyanyi Indonesia Hetty Koes Endang yang mendendangkan lagu ini). Penafian saya terhadap gosip ini berkahir setelah saya sendiri mendapat atau menjumpai bukti khabar angin ini dalam bentuk versi rakaman Siti, lantas saya putarkan versi tersebut di sini.

Persoalannya, entah berapa lagu yang pernah di reject oleh penyanyi-penyanyi popular tanah air seperti Siti yang jatuh ke tangan penyanyi-penyanyi lain. Ini kerana lazimnya syarikat rakaman atau label di mana Siti bernaung mempunyai simpanan atau himpunan lagu-lagu baru dalam “bank lagu” mereka hasil sumbangan dari para pencipta samada yang bernaung secara eksekutif di bawah syarikat rakaman tersebut ataupun pencipta freelance. Sebagai penyanyi tersohor negara, saya percaya Siti berpeluang besar mencuba atau melakukan “fitting” dari himpunan lagu-lagu tersebut dan sebagai penyanyi tersohor juga Siti mungkin diberi keutamaan melakukan fitting terlebih dahulu sebelum penyanyi-penyanyi lain (pencipta manalah yang tak mahu lagu beliau didendangkan oleh Cik Siti). Atas alasan ini saya percayai bukan hanya lagu UTK sahaja yang di reject malah tidak mustahil ada antara lagu yang dihasilkan oleh pencipta seperti LY atau Pak Ngah, yang dinyanyikan oleh beberapa penyanyi-penyanyi wanita yang heboh dikatakan sebagai “klon" Siti suatu masa dulu, pernah juga dilakukan “fitting” oleh Siti. Bagaimana pula dengan lagu-lagu “single" pertama artis-artis AF yang lain? Malah ini bukanlah pertama kali isu reject song sebegini ditimbulkan. Sebelum ini juga saya pernah terserempak artikel yang mengatakan lagu jazz popular Akhirnya Kini Pasti dendangan diva Anita Sarawak konon-kononnya adalah lagu reject Sheila Majid (?) Begitu juga dengan lagu popular Di Bawah Pohon Asmara dendangan Jaclyn Victor kononnya juga lagu reject Siti (?). Tidak kurang juga lagu Felix Warkah Berlagu Pilu kononnya adalah antara himpunan lagu yang dilakukan “fitting” oleh Naser Wahab sebelum ini.

Istilah reject agak angkuh bunyinya dan boleh memberi impak psychology negatif kepada pihak-pihak tertentu termasuk peminat lagu berkenaan Dalam memperkatakan isu ini juga, persoalan seterusnya bagaimana pula hak Sharon Paul pencipta lagu tersebut? Tidakkah beliau juga berhak menarik balik lagu ini daripada penyanyi tertentu sekiranya beliau telah terjumpa penyanyi yang betul-betul layak menyanyikan lagu ciptaan beliau? Mungkin ada cerita lain yang lebih menarik di sebalik situsai/kejadian ini. Namun yang menariknya walaupun UTK dikaitkan dengan reject song lagu tersebut telah sampai ke tahap atau peringkat di mana Siti telah merakam lagu tersebut. Menyebabkan saya bertanya, betulkah di reject? Kerana inilah buat pertama kalinya saya terjumpa sebuah lagu yang digembar-gembur sebagai lagu reject boleh dibuktikan atau didapati dalam bentuk versi rakaman oleh penyanyi “fisrt choice” lagu tersebut. Justeru istilah reject sewajarnya dipertikaikan. Malah berdasarkan bukti ini, sebaliknya saya melihat UTK dari sudut yang sama saya melihat lagu-lagu seperti Gadis Melayu, Seroja (versi Jamal Abdillah), Antara Anyir Dan Jakarta dan Dia (versi Sheila Majid), I Will Always Love You (versi Whitney Houstan), I’ll Be There (versi Mariah Carey) dan beberapa lagi lagu popular yang diistilahkan sebagai cover version.

Walau apa pun alasan isu ini ditimbulkan, samada atas dasar motif positif (memberi publisiti besar-besaran kepada lagu) atau negatif (cuba menjatuhkan maruah pihak-pihak tertentu) minat saya terhadap lagu ini tidak berubah. Saya tetap kagum dengan cara persembahan atau versi Marsha. Penghayatan, penjiwaan serta curahan emosi beliau begitu meresap dalam lagu ini. Vocal arrangement beliau agak teknikal dan begitu kreatif. Beliau memulakan lagu dengan nada suara yang sayu dan sayup. Kemudian diikuti dengan sentuhan falsetto untuk first round chrous. Untuk second round chorus beliau meningkatkan “gear” lagu dengan menaikkan sedikit volume suara sebelum shift to full blast pada akhir-akhir lagu dengan menampilkan her rich, deep and thick resonant voice (mirip susunan vokal Whitney Houstan dalam lagu “I Will Always Love You” dan juga Celine Dione untuk lagu “My Heart Will Go On”). "Ketebalan" suara Marsha seakan-akan kedengaran berperingkat....from thin to thick! Satu penampilan vokal yang saya agak kurang nikmati dalam versi Siti. Namun dari segi sebutan anda tahu siapa pemenangnya. Sebutan Marsha untuk perkataan "menjelma" seakan kedengaran seperti "mencelma", "tinggal" seakan "tingal" dan "t" seakan "ch", "biar" - "biaOr", "andai" - "andaOi". Sebaliknya sebutan Siti tidak dinafikan amat jelas.

dbos-fm:
Hairan juga bagaimana lagu Saiful "Ku Juga Mencintai Dirimu" boleh dimainkan di corong-corong radio termasuk stesen radio milik RTM sedangkan lagu ini adalah lagu saduran Mandarin dari sebuah kumpulan yang popular dari negara Taiwan? Sebab kalau tak silap, kan dah ada peraturan yang tidak menggalakakan lagu saduran. Ini bertujuan meningkatkan karya asli dan kreativiti pengkarya tanah air.

5 comments:

markiekadus said...

Atukk.... whatever it is maybe mimang rezeki Marsha untuk menyanyikan lagu tu. Sia admit yang Siti bawa lagu itu dengan baik... but whatever it is, kita akan dengar urang cakap Untuk Terakhir Kali lagu Marsha dan bukan Lagu Siti...

Anonymous said...

saya mengenali lagu ni melalui marsha bagi saya beliaulah penyanyi asal lagu ini mana-mana penyanyi lain yg nyanyi lagu ini termasuk siti sya anggap penyanyi cover version..:))

Anonymous said...

pelajar2 af kalau dapat lagu reject tak boleh dipersalahkan sebab mereka graduan yang tak sepatutnya memilih. sya tak hairan kalau mereka dijadikan medan longgokan lagu rejek mereka kena buktikan kemampuan serta kreativiti mereka menyampaikan lagu2 tersebut pada pendapat sya marsha telah melakukan sesuatu yg ajaib trhadap lgu tersebut syabas kpd beliau

Anonymous said...

i still prefer marsha

Anonymous said...

markie n nora

yupp..agree with u walau apapun lagu ni milik marsha..:))

hi zul..ya n mereka yg kurang meminati mana2 bintang af tu jgnlah kutuk atau merendah2 kan mereka kerana dapat lagu rejek...yg penting lgu dnyanyi dgn baik n brjaya popular @ msuk carta..))

hi fan...ya me too...siti version is a bit like funeral..err..mourning song..marsha's one is DRAMATIC..:))