Showing posts with label Wiwie. Show all posts
Showing posts with label Wiwie. Show all posts

8 Sept 2010

Persiapan Raya Artis Sabah-Wiwie Daunah

Wiwie tabah demi Qasie, Qaisy

Ricardo Unto
riqiriqi@gmail.com

SELALUNYA banyak persiapan yang dilakukan sebelum menyambut lebaran. Ada yang menempah baju baru, kuih-muih dan lain-lain lagi. Bagi Rosdianah Daunah, atau lebih dikenali di kalangan pendengar muzik tempatan sebagai Wiwie Daunah, dia memilih untuk memenangkan puteranya Qaisy, 3, dan puterinya Qasie, 6. "Tahun ini, persiapan agak sederhana. Tapi, Wie akan lebihkan untuk anak-anak kerana mereka merasakan Hari Raya adalah masa bagi mereka untuk bersuka-ria."Biarpun mereka tidak meraikannya bersama dengan Abah mereka, mereka tetap mempunyai Mama mereka untuk menyambut hari mulia itu nanti," kata penyanyi kelahiran Sandakan ini.

Menyentuh mengenai statusnya sebagai ibu tunggal, Wiwie akui bahawa dia harus tabah menghadapi apa sahaja dugaan yang menimpa demi anak-anaknya. "Tahun lalu, Wie beraya dengan suami... tahun ini tanpa suami. Mungkin hati anak-anak tercalit sedikit kesedihan... yalah, mereka tidak dapat beraya dengan Abah mereka. "Sebenarnya, ramai yang tidak tahu bahawa Wie sudah mendirikan rumahtangga selama lapan tahun. Wie bukan sengaja sorokkan perkara ini, cuma Wie tak mahu menghebohkannya. Sedangkan, bila Wie kembali single pun, ramai teman yang terkejut," tuturnya.

Kata Wiwie, artis juga manusia biasa dan perlu memiliki privasi. Tambahnya lagi: "Sekarang ini, Wie beri tumpuan sepenuhnya kepada anak-anak. Wie hanya mahu yang terbaik buat mereka dan dapat menggembirakan mereka. Berbanding tahun-tahun yang sudah, tahun ini, Wie mungkin hanya membuat rumah terbuka untuk rakan terdekat dan rakan media sahaja." Di sebalik pengalaman pahit yang terlakar dalam kisah hidupnya, Wiwie sempat mencuri imbauan ketika zaman kanak-kanaknya.

"Kalau tak silap, Wie baru berumur lapan tahun ketika itu... pergi beraya dengan rakan-rakan dan adik-beradik Wie yang lain. `Sasaran' kami selalunya rumah-rumah VIP, gara-gara mengharap dapat duit Raya lebih. "Kami juga pergi ke rumah-rumah yang kecil. Wah! Memang best! Kami diberi duit Raya 50 sen setiap seorang. Waktu tu, jumlah itu sudah dikira besar bagi kami. Kami juga pernah dikejar anjing... zaman kanak-kanak memang banyak kenangan Raya," katanya. Sebagai seorang ibu, Wiwie tidak ketinggalan dalam menjaga keselamatan anakanaknya terutama di musim perayaan ini.

"Sebut saja Hari Raya, mercun memang tidak dapat dipisahkan. Tapi, mercun ini sangat berbahaya. Tinggal beberapa hari lagi, kita akan menyambut 1 Syawal, bagi adik-adik di luar sana, jangan main mercun. Sayangilah diri anda dan juga ibu bapa kita yang menjaga kita dari kecil. Jangan ingkari nasihat mereka," katanya dengan bersungguh-sungguh. Penyanyi yang membesar di Putatan ini juga bakal mengeluarkan single terbaru. "Insya-Allah, Wiwie akan keluarkan single ketiga dan kali ini, Wie akan berduet dengan seorang artis lelaki dari Semenanjung. Kami akan bekerjasama selepas Raya," ujar penyanyi lagu Memori Abadi ini, yang enggan mendedahkan siapakah artis lelaki itu.

"Wiwie ingin mengambil kesempatan ini untuk menyusun sepuluh jari dan memohon maaf kepada semua pembaca, pendengar dan peminat. Kalau ada kesilapan, harap maafkan.
"Terima kasih kepada semua pihak, terutama ibu bapa, adik-beradik Wie, dan tidak dilupakan juga rakan media yang sentiasa mengambil-tahu mengenai perkembangan karier Wie. Kalau ada yang berhasrat untuk menyampaikan pesanan, layari saja Facebook Wie, insya-Allah Wie akan beri respons," katanya.

11 Feb 2010

'Bilang Hanya Satu' by Wiwie

Wiwie's brand new single, Bilang Hanya Satu composed by Man Pare and lyrics by Sulu Sarawak







Wiwie Tabah Walau Ditipu


MELIHAT kepada perwatakan ceria yang ada pada Rosdianah Daunah, atau lebih dikenali sebagai Wiwie Daunah, tiada siapa pun yang menyangka bahawa dia pernah mengalami peristiwa hitam suatu ketika dahulu.

"Pengurus lama saya sendiri tipu saya. Masa buat lagu, dia minta macam-macam bayaran, tapi duit tu tak pernah sampai ke tangan komposer atau pihak yang sepatutnya menerima bayaran tu. Show pun sama juga, dia janji macam-macam. Dia banyak putar-belit cerita. Tapi nasib baik ada Abang Mus May, dia dengar cerita saya dan tolong saya siapkan single saya. Dialah yang selamatkan saya. Saya berterimakasih kepadanya," jelas penyanyi kelahiran Sandakan ini yang ditemui di Tanjung Aru haru-baru ini.

Walaupun sudah agak lama berkecimpung di dalam bidang nyanyian membuat persembahan dengan kugiran di Sarawak dan juga Sabah, dan akhirnya berjaya menambat hati Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah untuk menjadi artis residen — namun, penyanyi berusia 28 tahun ini mengakui bahawa ketika kejadian itu berlaku, dia masih naif mengenai selok-belok dunia seni komersil yang sebenar. "Saya sebelum ni pernah menyanyi bersama live band di kelab-kelab di Sarawak dan di Sabah. Dan dari sana, pihak kebudayaan nampak bakat yang saya ada dan menawarkan saya untuk menjadi penyanyi bersama mereka. "Tapi mungkin masa saya ditipu tu, saya masih lagi fresh dalam industri muzik mainstream, dan pengetahuan saya mengenai pembikinan lagu pun terbatas. Jadi, ada pihak yang mengambil kesempatan," kata Wiwie.
Namun, berbekalkan semangat cekal dan minat mendalam terhadap muzik, Wiwie tidak goyah untuk meneruskan perjalanan seninya.

"Memang saya rasa sedih dan kecewa, tapi ia juga adalah pengalaman yang baik dan saya banyak belajar dari pengalaman itu. Saya minat menyanyi dan saya tidak akan biarkan pengalaman ditipu itu menghalang saya daripada meneruskan perjuangan saya." Wiwie turut mengakui bahawa situasi itu sedikit banyak mempengaruhi keputusannya untuk bertapak semula di Sabah. Jelasnya: "Keadaan di sana (Kuala Lumpur) lain sikit daripada sini. Di sini, saya rasa lebih relax. Lagipun, memang betullah kata pepatah `hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri'. Syukurlah, Wiwie masih boleh dapat offer buat show di sini. Saya tidak demand kalau pasal show, yang penting saya dibayar dan tidak ditipu," katanya sambil tergelak kecil apabila ditanya mengenai tawaran membuat persembahan di sini.


Setakat ini, penyanyi yang membesar di Putatan ini telah merakam empat buah lagu, Memori Abadi, Aidilfitri Nan Ceria, Bilang Hanya Satu dan Berakhir Janji. Single pertamanya, Memori Abadi juga berjaya meraih kedudukan teratas di dalam Carta Hitz Sabahfm pada minggu ini. Walaupun hanya empat minggu berada di carta, namun, sokongan kukuh daripada pendengar dan peminat mampu untuk menjulang lagu ini. Dia yang kini sedang sibuk mengumpul bahan untuk pembikinan mini albumnya, turut menyimpan hasrat terpendam untuk berkolaborasi dengan artis tempatan.

"Saya minat dengan Ziana Zain, sebab memang dari dulu saya melihat dia sebagai idola saya. Tapi, kalau diberi peluang, saya ingin bekerjasama dengan artis tempatan (Sabah) lain, antaranya Atama. Saya rasa sentuhan rapinya dapat menghasilkan sesuatu yang berlainan di dalam lagu nyanyian saya," katanya. Kepada satu soalan, Wiwie menjawab: "Saya memang berniat untuk membuat promosi dan pelancaran album di Kota Kinabalu. Alhamdulillah, peminat pun sudah semakin banyak di Sabah dan insya-Allah, saya akan menunaikan niat saya itu nanti. Untuk mengenali lebih dekat penyanyi muda ini, anda bolehlah melayari laman Facebooknya di www.facebook.com/wiwiedaunah.

Di akhir temubual itu pada petang itu, Wiwie sempat menyatakan penghargaannya kepada mereka yang menyokongnya selama ini: "Saya berterimakasih kepada semua pihak yang telah banyak memberi dorongan untuk meneruskan impian saya ini, terutama keluarga, rakan dan peminat. Tidak lupa juga kepada pihak media dan semua stesen radio yang sudi memutarkan lagu saya."

Kredit:

Ricardo Unto (Hiburan harian Ekpress)
Wiwi Daunah (MySpace)