9 Dec 2005

Filem dari Sabah bakal ke pasaran luar negara

Filem Anak Yang Hilang papar kisah masyarakat

Dalam kita masih ternanti-nanti kisah lagenda Pangazou diangkat ke layer perak, penggemar filem khususnya di Sabah, dikejutkan dengan pelancaran sebuah filem berwajah Sabah sepenuhnya, Anak Yang Hilang di Kota Belud, sekitar dua minggu lepas. Filem terbitan Advent Unic Production itu digarap oleh Maslan Maginda, satu nama yang secara relatifnya masih hijau dalam industri perfileman di negara ini. Hiburan Harian Ekspress berbesar hati apabila dalam kesibukannya mengarahkan filem itu, anak watan Kota Marudu itu sempat mencuri sedikit waktu untuk ditemuramah. Dalam perbualan hampir satu jam di Tanjung Aru Plaza baru-baru ini, Maslan rancak bercerita mengenai filem pertama arahannya itu. “Idea untuk menghasilkan ini timbul setelah saya mengikuti beberapa kursus dan bengkel perfileman di Ibu Negeri,” kata Maslan yang sebelum ini turut menimba pengalaman dalam bidang lakonan apabila membintangi telemovie berjudul Cinta Gadis Tamapruli. Banyak bergaul dengan mereka yang berpengalaman dalam bidang ini mendorong Maslan memberanikan diri mengangkat skrip Anak Yang Hilang ke layer perak. “Tempoh penggambaran untuk filem ini tidak lama, Cuma 10 hari sahaja dan 99 peratus penggambaran pula dibuat di Kota Belud. Selebihnya kami buat di Kota Kinabalu,” jelas Maslan mengenai filem itu yang kini memasuki fasa akhir penggambaran. Selaku penerbit dan pengarah, Maslan tentu mempunyai sebab kenapa lokasi penggambaran filem ini lebih tertumpu di Kota Belud. “Ia sebenarnya lebih kepada soal lojistik dan untuk menjimatkan kos. Lagipun, banyak sudut menarik di Kota Belud. Kerana itu, saya tidak nampak apa perlunya saya pergi jauh sedangkan latar yang saya perlukan untuk filem saya ada di Kota Belud,” kata Maslan yang kini menetap di Pekan Koboi itu.

Tidak lengkap catatan mengenai sesebuah filem kalau tidak bercerita mengenai barisan pelakon yang membintanginya. Dan memandangkan perbualan kami tertumpu kepada sebuah produksi yang diwajibkan memasuki panggung seluruh Malaysia, penulis cukup teruja untuk mencari nama-nama besar dalam senarai pelakonnya. Namun keseronokan itu bagaikan tidak kesampaian apabila senarai nama yang diserahkan tidak membariskan nama-nama pelakon terkenal dan Maslan sendiri mengakui perkara itu. “Saya tidak nafikan, pelakon-pelakon yang saya ambil untuk filem ini semuanya anak tempatan dan muka baru. Sebahagian besar daripada mereka memang anak kelahiran Kota Belud sendiri. “Tapi saya tidak nampak perkara itu akan menjejaskan nilai komersil filem saya kerana saya sudah menilai kemampuan mereka ketika sesi uji bakat dahulu. Saya percaya dengan bakat yang mereka miliki dan kepercayaan itulah yang saya pegang ketika menawarkan watak kepada pelakon-pelakon dalam filem ini. “Sebenarnya, kita di Sabah tidak ketandusan pelakon berbakat Cuma mereka tidak berpeluang untuk mengetengahkan bakat yang ada. Anak Yang Hilang juga adalah salah satu usaha saya untuk mencungkil bakat-bakat lakonan Sabah.” Filem ini menyaksikan gandingan pelakon baru Peter Ginsu dan Masriah Kamsim sebagai pendokong watak utama. Ia turut menyaksikan komposisi pelakon daripada etnik seperti Dusun, Melayu, Iranun dan sebagainya.

Dalam filem ini, Maslan cuba mengupas sebuah kisah yang lazim dalam masyarakat. Ia memaparkan pergolakan yang berlaku dalam keluarga Saman dan Wanti apabila anak bongsu mereka, Banji (lakonan Peter) berhijrah ke Bandar dengan sokongan kewangan darpada keluarganya. Di Bandar, Banji bertemu dengan Sunita (lakonan Masriah). Konflik bermula apabila Banji mula hanyut dengan arus kehidupan kota dan tersasar daripada matlamat asalnya. Lama tinggal di bandar, Banji mula dihimpit masalah kewangan dan terpaksa merempat apabila dia dihalau oleh tuan rumah tempat dia menyewa. Kesudahan filem ini menyaksikan Banji kembali ke pangkuan keluarganya. Setelah menghabiskan harta keluarga, masihkah Banji diterima keluarganya? Persoalan ini akan terjawab apabila filem ini menemui penonton tahun depan. Melihat kepada sinopsis filem ini, ia adalah cebisan kisah masyarakat yang berlaku di sekeliling kita dan temanya pula bukan sesuatu yang segar. Namun bagi Maslan selaku penulis skrip/lakon layar filem ini, meskipun isu seperti ini sudah acapkali diketengahkan, ia masih relevan dengan kehidupan masyarakat hari ini. “Anak Yang Hilang sarat dengan mesej yang wajar kita renungkan sedalam-dalamnya terutama sekali apabila kita memikirkan mengenai kepincangan-kepincangan yang berlaku dalam masyarakat hari ini. Filem ini melontarkan persoalan berhubung unsur kerohanian dalam diri kita baik sebagai anak, ibu bapa, anggota masyarakat dan sebagainya. Jika nilai-nilai kerohanian tidak hadir dalam diri kita maka kita akan sentiasa tunduk kepada tuntutan nafsu. Apabila ada di antara anak-anak kita yang tersilap langkah dan akhirnya insaf, bersediakah kita untuk menerima mereka kembali?” soalnya.

Persoalan seperti ini sering menjadi satu stigma dalam masyarakat kita dan filem ini membuka minda penonton untuk berfikir ke arah itu. Dijadual menemui peminat di Malaysia pada pertengahan tahun depan, Anak Yang Hilang khabarnya akan turut meneroka pasaran luar negara. “Mengikut perancangan, kami akan berusaha memulakan tayangan filem ini di luar negara. Itu adalah strategi kami dan saya yakin ia akan terlaksana.” Kenapa filem ini tidak menemui penonton di Malaysia terlebih dahulu? “Ini strategi kami. Memasarkan filem ini di Malaysia memerlukan kos yang tinggi kerana adanya Syarat Wajib Tayang yang diperkenalkan oleh Finas. Tayangan serentak di seluruh Negara memerlukan kami membuat beberapa salinan filem itu dan ini sudah tentu memerlukan kos yang tinggi.” Ditanya mengenai kos pembikinan filem ini, Maslan memberitahu kos keseluruhan akan mencecah angka juta. “Bagaimanapun, kos untuk penggambaran dan suntingan ialah RM120,000.” Katanya. Sebuah produksi yang jatuh dalam kategori filem Indie, Anak Yang Hilang diharap mampu menjadi pemangkin kepada industri perfileman di negeri ini setelah penghasilan telemovie tempatan tidak lagi serancak dulu.

Oleh Boyd PV & Gindanau Sakat (Hiburan Harian Ekspress)

dBOS-fm: Sekali imbas, kenyataan dari pengarah filem ini cukup “ambitious”. Kurang pasti negara luar mana yang dahulu bakal menyaksikan filem ini di panggung mereka.. Berdasarkan tahap keyakinan Encik Maslan wajarlah saya ucapkan syabas! Kepada beliau. Sayapun tidak sabar menonton filem ini, harap-harap ianya menjangkaui jangkaan yang ada dalam imaginasi saya! Sebab selama ini banyak telemovie-telemovie produksi Sabah mengecewakan dari segi kualiti juga jalan cerita. Rata-rata belum ada yang mampu menandingi drama-drama juga cerekarama yang di siarkan di stesen tv kita. Itu belum lagi dibandingkan dengan filem-filem (untuk siaran layar perak) yang dihasilkan di negara kita. Jadi saya haraplah Anak Yang Hilang bakal membuat kejutan atau boleh pecah tradisi, walaupun tajuk/tema serta penglibatan pelakon-pelakon baru dalam filem ini membuatkan saya terbayang rancangan Kisah Benar yang disiarkan di TV3.

2 comments:

Anonymous said...

Hmmm...wait and see sajalah! BTW apa cerita itu pangazou? masih ada harapan kah tu?

Anonymous said...

Yupp...sya dengar cerita dia ala2 cerita telenovela tagalog..:))