14 Jun 2006

MOSIK yang unik dan menarik.

Album : Mosik
Artis: Boni Mosios
Label: Salford Quays Music Production (SQMP)
Edaran: SQMP
Rating: 4/5

Pembaharuan demi pembaharuan cuba ditonjolkan oleh pengkarya-pengkarya muzik tempatan Sabah dalam usaha mereka meningkatkan mutu karya muzik di negeri ini. Terbaru dalam kelompok ini ialah Boni Mosios seorang lagi penggiat seni yang muncul dengan album pertama beliau baru-baru ini berjodol “MOSIK” (perkataan Kadazandusun yang indah bunyinya bermaksud “bangun”). Menerusi MOSIK, Boni cuba mengenengahkan ciri-ciri elit dalam sebuah album Kadazandusun sejajar dengan usaha dan harapan beliau untuk tampil dengan imej sedemikian justeru mencerminkan seorang individu yang professional dan percaya kepada kualiti dan standard yang tinggi dalam hasil karyanya.


Ciri-ciri kelainan Mosik mula terpapar dari sampul luar serta sleeve album ini lagi. Walaupun ringkas, terserlah sebuah rekabentuk yang halus dengan seni fotografi yang agak berbeza berbanding kebanyakan album-album tempatan yang ada di pasaran.

Menu lagu dimulakan dengan sebuah lagu up tempo, Iso Kadi Tontoiso (Bobohizon Gompizo Tokou) yang dicipta dan di.tulis liriknya oleh Boni sendiri. Gubahan muzik lagu ini, yang dihasilkan oleh Andrew Poninting berkonsepkan universal dan mengingatkan saya kepada salah sebuah lagu instrumental dari pemuzik Jepun, Kitaro. MOSIK, lagu yang diangkat sebagai jodol album, diletak pada trek kedua. Lagu ini merupakan sebuah lagu bertema motivasi dan kesedaran dengan lirik puitis (hasil nukilan saudara Benedict Topin) yang tersimpan maksud mendalam, menyeru kita bangun dari alam mimpi untuk bersiap sedia menempuh cabaran hari esok yang akan terus menjelma. Melodi lagu bersesuaian dengan tema yang cuba diketengahkan dan gubahan muzik (Andrew Poninting) yang komprehensif menyuntikkan lagi elemen dramatik dalam lagu tersebut. Unsur-unsur motivasi dalam lagu Mosik mungkin berkait rapat dengan penyanyi ini sendiri yang begitu mementingkan pembangunan jatidiri. Tidak cukup dengan ijazah dalam bidang Marine Biologist yang diperolehinya dari Aberdeen Univeristy of Scotland beliau teruskan pula usaha menggengagam Ijazah Master in Business Administration dari Salford University, England. Maka sewajarnyalah penyanyi yang berasal dari Nosoob Penampang ini menggunakan MOSIK sebagai alat menyampaikan mesej motivasinya kepada umum untuk melahirkan kelompok individu yang bukan sahaja baik malah agung.

Bermula dari trek kedua (Mosik) pendengar terus dihidangkan dengan lagu-lagu sentimental balada sehinggalah ke trek kesembilan. Namun siri lagu-lagu balada ini berhenti rehat sebentar pada trek kelima, untuk memberi laluan kepada lagu berentak funky “Onu Mangan Nu” (Apa Kau Lakukan). Lagu ini menggunakan khidmat kumpulan Spellbound yang dianggotai oleh Mellinda, Melisa dan Nora sebagai penyanyi latar (kumpulan dari Sabah ini begitu aktif mengadakan persembahan di pub/lounge seluruh Malaysia) dan hasilnya cukup memberangsangkan. Berbalik kepada siri lagu-lagu balada tadi, lagu pada trek keenam berjodol “Migiit Hongon To” (Genggam Tangan Mu) mencuri pendengaran saya. Penampilan vokal Esther Applunius yang mantap, penuh penjiwaan dan penghayatan (brilliant!) berjaya menyuntik emosi yang kuat dalam lagu tersebut. Boni mengakhiri persembahan lagu-lagu dalam album beliau dengan sebuah lagu berbentuk nasihat “Drink Sangalas”! Lagu dwi bahasa ini menggabungkan bahasa Inggeris pada rangkap rap, yang mana dipersembahkan oleh Boni sendiri. Mampukah beliau menandingi mana-mana rappers yang telah bertapak? Miliki lah album ini untuk mendapatkan jawapannya.


Menurut Boni semenjak album ini dilancarkan pada 30 April lepas, sambutannya amat memberangsangkan. Beliau yang bertugas sepenuh masa sebagai perunding perniagaan khusus dalam perkhidmatan “product positioning and branding” di samping pelbagai khidmat lagi termasuk event management and organising, juga merupakan pensyarah di beberapa institusi pengajian tinggi di Kota Kinabalu. Menurutnya lagi jadual hariannya begitu padat sejak lahirnya MOSIK. Beliau dijadualkan untuk tampil dalam sebuah persembahan pentas di Sabah dalam bulan Oktober nanti yang bakal menggabungkan artis-artis ternama dari Filipina, Indonesia dan Malaysia sendiri. Selain mempromosikan MOSIK beliau juga sedang sibuk menguruskan konsert "transborder” di Kuala Lumpur yang bakal mengenengahkan artis-artis dari Sabah (difahamkan konsert ini bakal ditaja oleh sebuah akhbar nasional berbahasa Inggeris). Bukan setakat itu sahaja, malah beliau kini juga sibuk melaksanakan tanggungjawab menyiapkan soundtrack untuk filem tempatan Sabah, Pangazou, selain beberapa soundtrack lagi untuk filem dan telemovie tempatan Sabah. Demikianlah betapa sibuknya personaliti ini yang mana sekali sekala mengingatkan kita kepada pengacara popular Azwan Ali!. Namun dalam kesibukan tadi beliau sempat juga mencuri-curi masa untuk menghasilkan video klip MOSIK yang sedang dalam pembikinan. “I hope that through my song I can deliver a message that communicates about love, hope, courage and self worth to the listeners. I hope that I can make a difference in people’s life as well as in mine”, ujar Boni dengan penuh semangat dan harapan, ketika mengkahiri perbualan.

0 comments: