4 Jun 2006

Nora pergi dengan perwiranya sekali


Maka berakhirlah episod pertama drama mengheret bagasi dalam Konsert AF4. Mangsa malang kali ini merupakan peserta dari Sandakan Sabah, Nordawati Daud atau Nora. Walaupaun sejarah AF, belum pernah menyaksikan peserta dari Sabah menjadi mangsa pertama terkeluar dari akademi namun ini bukanlah sesuatu yang mustahil. Nampak gaya tuah Mas AF2 yang mampu bertahan hingga ke konsert kelapan tidak dapat dikecapi sama oleh Nora. Zaman Mas dahulu menyaksikan julung-julung kalinya peserta-peserta Sabah beraksi di AF membuatkan penduduk Sabah (terutama dari Tawau) begitu teruja dan begitu ghairah menyokong. Namun kali ini suasana agak berlainan yakni tidak seghairah dulu dan sambutan serta sokongan agak dingin sedikit. Mungkin Suasana sebegini ujud bilamana ada sesetengah pihak berpendapat “samada saya undi atau tidak, tidak ada bezanya”. Pada pendapat saya nasib 12 pelajar, selepas tamat akademi lebih kurang serupa. Mereka sepasukan akan menjelajah negara untuk konsert bergerak. Layanan serta publisiti selepas akademi bolehlah dianggap sama rata dan seimbang (mungkin Mawi boleh dikecualikan dalam hal ini).Tidak penting siapa yang terkeluar dahulu dan siapa terkeluar kemudian. Malah untuk musim-musim sudah, ada pula beberapa pelajar yang terkeluar dahulu lebih menyerlah daripada pelajar yang terkeluar kemudian. Justeru, tiada apa yang perlu dirisau atau disedihkan terutama kepada peminat/penyokong Nora.

Berbalik kepada konsert malam tadi, kecuali pentas yang direka agak berlainan sedikit ( penampilan dinding belakang yang boleh bergerak terbuka secara putaran dan kemunculan bagasi dari belakang) yang lainnya tiada beza dengan konsert-konsert AF musim sudah. Pemilihan semula Dewan Sivik MPPJ, yang kelihatan agak sempit sedikit berbanding Stadium Malawati, mengimbas kembali Konsert AF1. Nampak gaya AF kali ini agak scale down sedikit dan seolah-olah menoleh semula ke AF1 sebagai ukuran standard majlis secara kecil-kecilan. Penyingkiran yang dilakukan seawal konsert pertama tidak mengejutkan, barangkali ada kaitan dengan ura-ura yang dinyatakan tahun lepas bahawa AF4 bakal tidak diadakan dan daripada ditiadakan langsung wajar ditamatkan secepat mungkin. Pemilihan Adlin sebagai pengkritik tetap, walaupun tidak disenangi beberapa pihak, tidak menjadi masalah bagi saya. Kebanyakan komen beliau semalam hampir-hampir menyamai pendapat saya terutama sekali bab berhubung gesture, body language, mimik muka (facial expression) dan pergerakan atas pentas. Saya amat bersetuju dengan komen beliau “sekiranya kombinasi-kombinasi ini tiada dalam persembahan pentas, lebih baik penonton balik rumah dengar radio”. Sebagai penggiat teater serta pelakon sudah semestinya beliau mentikberatkan soal ini. Bagi saya pula ianya amat penting untuk melahirkan persembahan pentas yang dramatik.

Kedudukan AFUNDI setelah undi ditutup

1. Faizal 11%
2. Lotter 10%
3. Amirul 10%
4. Salima 10%
5. Farhan 9%
6. Karen 9%
7. Haziq 8%
8. Diddy 8%
9. Rich 7%
10. Zila 7%
11. Velvet 6%
12. Nora 5%

0 comments: