7 Apr 2007

Felix: Saya bukan bidan terjun Mawi

28-03-2007 01:41:40 PM
Radin Sri Ghazali
(mStar online)

Felix Agus kini tampil dengan album studionya yang pertama Aku Pencintamu
(Foto The Star oleh M Azhar Arif)

Biar lambat asalkan berkualiti... Begitulah falsafah penyanyi berasal dari negeri di bawah bayu ini mengenai album studionya yang pertama 'Aku Pencintamu'

Felix atau nama sebenarnya Felix Agus membuktikan penantiannya selama setahun lebih untuk melancarkan album pertamanya itu ternyata berbaloi.

"Saya tidak mahu membuat sesuatu secara terburu-buru. Biarlah lambat asalkan saya mampu memperoleh kepuasan maksima untuk diri saya sendiri serta peminat-peminat saya," ujarnya di majlis pelancaran album Aku Pecintamu di Karma Bistro baru-baru ini.

"Saya tidak pernah dipinggirkan oleh mana-mana pihak. Saya memahami bahawa pihak Maestro Talent mempunyai ramai lagi artis yang bernaung di bawah mereka.

"Lantas, mereka mempunyai komitmen yang banyak dan mereka bersikap adil agar kami semua dapat merakamkan album," ujar pemuda berusia 24 tahun ini apabila ditanya adakah beliau terkilan kerana diabaikan oleh pihak pengurusannya.

Felix menafikan bahawa dirinya terkilan kerana dirinya dilayan sebagai bidan terjun untuk rakannya, Mawi
(Foto The Star)

Freddie Fernandez selaku Pengurus Besar Maestro Talent Management yang turut menghadiri majlis tersebut berkata kekurangan komposer serta penerbit merupakan punca kepada kelewatan album Felix, graduan kelahiran Akademi Fantasia musim 4.

"Susah untuk mencari komposer pada masa sekarang. Asyik-asyik orang yang sama dan mereka sibuk mengendalikan artis-artis lain.

"Kami belum lagi temui mana-mana komposer baru yang dapat menyumbangkan lagu kepada artis-artis kami," ujar Freddie lagi.

Walaupun puas menunggu setahun lamanya, album solo Felix hanya memuatkan lapan buah lagu seperti Aku Pencintamu, Jiwa Kita Cinta Kita, Padam dan Nyala serta Setia Menanti.

"Dengan jumlah lagu yang sikit, kita dapat membantu mengurangkan harga CD dan kaset yang berada di pasaran.

"Tindakan ini juga dapat membuat pembeli mampu membeli CD yang original dan lama-kelamaan tabiat ini akan membantu industri muzik kita yang kian tenat gara-gara cetak rompak," ujar Freddie lagi mengenai relevan memuatkan sebanyak 8 buah lagu sahaja.

"Malah, pembikinan album yang memuatkan 8 buah album juga diterima oleh pihak AIM untuk melayakkan diri sebagai calon," tegasnya lagi.

Album Felix yang sudahpun berada di pasaran sejak sebulan turut melihat hasil kerja komposer popular seperti M.Nasir, Sham Kamikaze, Tam Spider dan Ajai.

Album Aku Pecintamu turut mendapat sambutan yang menggalakkan daripada golongan peminat Felix yang sudah lama menanti kelahiran album studionya yang pertama.

Kini album tersebut sudahpun terjual sebanyak 8,000 unit dalam masa sebulan sahaja.

Walaupun separuh daripada penjualan album tersebut laris di negeri kelahiran jejaka berketurunan Dusun itu, Freddie tetap percaya bahawa peminat-peminat Felix yang berada di Semenanjung Malaysia turut memberi sokongan kepada pemuda tersebut.

"Peminat dia berada di mana-mana sahaja baik di Sabah mahupun di sini. saya percaya peminat-peminat Felix di Semenanjung akan terus memberi sokongan sepertimana yang ditunjukkan oleh peminat-peminatnya di Sabah," ujar Freddie lagi.

Saya bukan bidan terjun Mawi

Walaupun selesa dengan kehidupan yang agak low profile, Felix akur bahawa dirinya masih tidak dapat larikan diri daripada kontroversi sebagai seorang artis.

Ini termasuk desas-desus yang sering mengatakan Felix bagaikan bidan terjun untuk acara-acara yang membabitkan Mawi.

Semuanya bermula dengan insiden Felix yang menggantikan juara AF tersebut semasa peringkat separih akhir balada pada tahun yang lalu.

"Saya tidak merasakan bahwa saya ini dibuat sebagi bidan terjun. Malah saya rasa berbangga kerana pihak pengurusan dan Mawi sendiri memberi saya kepercayaan untuk menggantikannya untuk pertandingan seperti Muzik-Muzik.

"Mana tahu, pada suatu hari nanti giliran Mawi pula yang akan tolong gantikan tempat saya," ujar Felix yang kelihatan tenang ketika diajukan soalan-soalan panas ketika berlangsungnya sidang akhbar pada petang itu.

Felix bersama Freddie Frenandez semasa majlis pelancaran albumnya
(Foto The Star)

Tidak serik jadi pelakon

Selain daripada isu bidan terjun, kegagalan filem sulung Felix yakni Misi:1511 turut dipersoalkan.

"Saya merupakan orang baru dalam industri ini. Saya harus mencuba sesuatu yang baru untuk menguji kemampuan saya.

"Ini termasuk berlakon menerusi filem tersebut. Saya tidak pernah sekali merasakan kecewa mahupun menyesal untuk berlakon dalam filem itu.

"Asalkan saya tahu saya sudah memberi yang terbaik, itu sudah memadai," ujarnya yang kini sibuk dengan persediaan filem keduanya Aduh Saliha bersama rakannya baiknya Mawi.

0 comments: