2 Mar 2006

Kagum dengan album Ivye Alexandra

Artis: Ivye Alexandra
Album: Hiti Oku Poingandad (Di Sini Aku Menanti)
Edaran: Moe’s Music Production
Rating: 4


Raut wajah anggun menawan dengan renungan mata serta lirikan senyuman yang penuh harapan menghiasi kulit depan album pertama Ivye Alexandra, “Hiti Oku Poingandad”. Walaupun tanpa sentuhan digital smoothing pada foto-foto yang dipamerkan, kecantikan semulajadi gadis berusia 26 tahun ini begitu terserlah pada pose-pose menarik beliau dalam sleeve album. Separuh dari pakej artis telah dipenuhi, bagaimana pula dengan yang separuh lagi?

Setelah mendengar kesemua lagu dalam album “Hiti Oku Poingandad”, nyata sekali ianya menonjolkan sedikit kelainan di mana hampir 70% material menampilkan irama yang segar dan rancak atau dalam istilah Juara Lagu TV3, irama dalam kategori Pop Kreatif/Pop rock. Malah beberapa lagu seperti “Sundung Ingaa Kono” (Trek 5 – lagu/lirik: Ivye and Rosly R.T. Jr/ Ivye), walaupun berentak perlahan, masih kedengaran elemen jazz agresif pada susunan muzik juga vokal di penghujung lagu. Mungkin inilah konsep yang cuba ditonjolkan oleh album ini, sebagai mengambil kesempatan vokal Ivye yang penuh bertenaga, lantang dan agak agresif sedikit; yang sememangnya sesuai dan amat berkesan sekali membawa lagu-lagu berirama rancak. Keupayaan vokal amat terserlah menerusi lagu “Tusak Tusak Piginawaan” (Trek 2 – lagu/lirik: Sekar Medusa). Lagu yang berkonsepkan pop dance ini amat memikat sanubari saya, rentak dan irama yang universal mengingatkan saya kepada beberapa lagu dendangan Celine Dion. Walau bagaimanapun memandangkan citarasa pendengar lebih kepada lagu berirama balada, saya jangkakan antara lagu “Hiti Oku Poingandad” (Trek 1) ataupun lagu “Yoku Ie Humarap” (Trek 8) bakal tersenarai dalam rancangan carta radio Sabah VFM Bontugon Sinding Dusun. Menerusi lagu “Kada Kito Ponongkialai” (Trek 6), Ivye berduet dengan pencipta lagu ini sendiri, iaitu saudara Sekar Medusa. Namun rangkap untuk wanita yang agak tinggi nadanya serta perlu diulang-ulang menyebabkan vokal Ivye kedengaran agak terseksa sedikit. Bagi memastikan golongan yang meminati lagu-lagu bercita rasa nostalgia tempatan tidak terasa dipinggirkan, album ini juga tidak ketinggalan menampilkan sebuah lagu berirama joget “Joget Magandad Tadau Do Sumilau” dan sebuah lagu bertemakan perayaan kaamatan “Kaamatan Norikot Kawagu”, sesuai untuk santapan halwa telinga golongan berkenaan.
Secara keseluruhannya, album ini bolehlah saya anggap slightly above average dan terkeluar sedikit dari kelompok album typical tempatan. Melihat kepada konsep lagu dan muzik, secara kasar, ianya lebih mensasarkan pendengar-pendengar muda dan seterusnya golongan berjiwa muda. Satu produksi yang berkualiti dan tidak sepatutnya disambut sepi dan dingin oleh kalangan penggemar lagu-lagu tempatan. Nampak gaya setelah mendengar kemantapan suara Ivye, bolehlah dibuat kesimpulan telah lengkap pakej seorang artis. Sudah pasti Ivye akan setia menanti kehadiran anda memberi sokongan yang diharapkan kepada album beliau, bertepatan sekali dengan jodol album “Di Sini Aku Menanti”.

p/s: Lagu-lagu Tusak Tusak Piginawaan dan Yoku Ie Humarap boleh didengari di radioblog.

0 comments: