21 Oct 2006

Pelakon kecewa penggambaran MLBTW ditangguh

Oleh Boyd PV
Hiburan harian Ekspress
boyd_pv@yahoo.com


Barisan pelakon MLBTW (berdiri dari kiri) Ivye dan Ridah, (duduk dari kiri) Azmi, Rosdee, Andy dan Bryan

Terkejut juga apabila mendapat tahu penggambaran telemovie My Land Below The Wind (MLBTW) terbitan Del Este Pictures Sdn Bhd ditangguhkan hingga awal tahun depan. Mengikut jadual asal, telemovie yang menampilkan lakonan sulung penyanyi Ivye Alexandra sebagai pendokong watak utama itu memulakan penggambaran 1 Oktober yang lalu dan sepatutnya berakhir 21 Oktober ini. Tetapi belum sempat penggambaran berlangsung, pengurus eksekutif produksi itu, Jamil Majingkin, dikatakan telah membuat pengumuman kepada para pelakon behawa penggambaran telemovie itu ditangguhkan hingga ke tahun depan atas nasihat penerbitnya, Datuk Ayub Aman. Sekalipun menerima perkembangan mengejut itu dengan hati terbuka, pelakon-pelakon telemovie itu dikatakan agak kecewa kerana mereka telah membuat banyak persediaan termasuk beberapa pelakonnya dikatakan telah memohon cuti tanpa gaji untuk memberi tumpuan kepada projek itu.

Jamil, atas kepasitinya sebagai Pengarah Urusan Del Este Pictures Sdn Bhd. Mengesahkan kesahihan berita itu ketika dihubungi kelmarin. “Memang benar penggambaran telemovie My Land Below The Wind ditangguhkan atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Salah satu sebab yang mendesak ialah keadaan cuaca yang tidak memihak kepada kami. Ketika penggambaran hendak dimulakan pada 1 Oktober yang lalu dengan pelakon-pelakon kami sudahpun bersedia di lokasi, keadaan cuaca pula tidak mengizinkan. Selain cuaca yang tidak menentu, keadaan persekitaran yang berjerebu menjadikan pemandangan di lokasi tidak menarik,” kata Jamil. Jamil memberitahu, menerusi telemovie itu, mereka berhasrat untuk mengeksploitasi keindahan tempat-tempat pelancongan yang ada di negeri ini. Tapi kalau dengan keadaan persekitaran yang berjerebu, cuaca pula tidak menentu, hasilnya nanti pasti tidak menarik. Pada hari pertama (1 Oktober), penggambaran tidak dapat dilakukan (kerana hujan). Dan pada hari kedua, saya mendapat nasihat daripada penerbit saya (Datuk Ayub), supaya menangguhkan dahulu penggambaran telemovie itu,” katanya yang bekerjasama dengan Datuk Ayub untuk menubuhkan Del Este Pictures Sdn Bhd.

Sebagai penerbit eksekutif bagi projek itu, Jamil tidak dapat lari daripada merasa bersalah kerana terpaksa mengambil keputusan itu sedangkan komitmen yang diberi oleh pelakon-pelakonnya sangat baik. “Rasa bersalah itu memang ada kerana orang bekerja dengan kita untuk mencari rezeki. Tambahan lagi, melihat kepada komitmen mereka yang sangat baik, saya sendiri rasa sangat terkilan apabila terpaksa menangguh penggambaran telemovie itu. Saya sudahpun jelaskan kepada mereka perkara ini dan nampaknya mereka memahaminya. Apapun, saya sekali lagi mewakili Del Este Pictures Sdn Bhd, ingin memohon maaf kepada semua pelakon yang terbabit khususbya mereka yang telah bercuti tanpa gaji untuk terlibat dalam projek ini terutamanya Andy(Adrian Jongkinoh), Ivye Alexandra, Rosdee (Yusoff), Bryan (Arthur), Azmi (Sukimi) dan Ramli Ahmad.” Jamil turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak Universiti Malaysia Sabah, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Imegresen, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu dan Jabatan Ketua Menteri serta krew produksi di atas kerjasama yang diberikan.

Dalam pada itu pengarah telemovie itu Tony Francis Gitom, yang ditemui petang Jumaat lepas, menasihati para pelakon dan krew produksi tidak patah semangat dan kecewa kerana menurutnya, “perjuangan belum selesai”. “Keadaan seperti ini adakalanya tidak dapat dielakkan. Sebagai orang yang telah berpuluh tahun terbabit dalam industri ini, saya tahu perkara sebegini ada ketikanya berlaku kerana keadaan cuaca bukan di bawah kawalan kita. Jika diteruskan juga, dikhuatiri kita akan berdepan dengan penambahan kos kerana kebanyakan peralatan kita sewa,” katanya yang turut berharap pelakon-pelakon telemovue MLBTW akan dapat bersabar menunggu penggambaran dimulakan awal tahun depan. MLBTW mengisahkan kehidupan seorang gadis bernama Siti Khadijah Abdullah (lakonan Ivye) yang tersepit oleh masalah berhubung dokumen pengenalan dirinya. Elemen percintaan turut diselitkan dalam MLBTW di mana Siti Khadijah terperangkap dalam permainan cinta tiga segi antara dia dan dua jejaka iaitu Sam (lakonan Andy) dan Imran (Bryan). Turut membantu menghidupkan cerita dalam telemovie ini ialah Ridah Malanjang, Jasmine Rajah, Ramli Ahmad, Norsahar Ahmad dan Nellysia Ignatius.

1 comments:

Anonymous said...

no comment