21 Oct 2006

Kini saya lebih tenang : Max @ Irwanshah

Oleh Boyd PV
Hiburan Harian Ekspress
boyd_pv@yahoo.com

Bagai sudah menduga apa yang bakal penulis tanyakan, Max hadir di Plaza Tanjung Aru awal minggu ini dengan berbaju Melayu berwarna perang kebiruan tetapi masih menebal imej hip-hop. Dengan wajah ceria, Max memberi salam dan mempelawa penulis ke satu sudut menarik di Tingkat 2, plaza itu. Membuka bicara, Max memberitahu dia memilih nama Mohd Irwanshah Teo Abdullah sebagai nama Islamnya. “Tetapi saya tidak kisah jika orang masih memanggil saya dengan nama Max. Saya fikir perubahan nama itu akan mengambil sedikit masa tetapi sama ada orang panggil saya Max atau Irwan atau Shah, saya tidak kisah.” Mengakui lebih tenang dalam melayari kehidupannya, Max berkata:”Syukur Alhamdulillah kerana pintu hati saya akhirnya terbuka untuk menerima agama Islam. Hasrat untuk memeluk agama Islam sebenarnya sudah lama terpendam tetapi ketika itu saya belum cukup yakin dengan keputusan penting itu kerana dikekang oleh situasi yang mengikat diri saya. Banyak perkara yang saya kena fikirkan termasuk soal-soal membabitkan keluarga dan sebagainya.

Tapi menyedari bahawa ini adalah berkaitan saya dan keluarga pula tidak menghalang, saya bulatkan tekad untuk mengambil keputusan itu. Saya harap orang lain dapat menghormati keputusan saya ini,” pintanya. Apa sebenarnya yang mendorong Max untuk memilih agama Islam? “Soalan itu saya fikir terlalu peribadi untuk dibicarakan secara terbuka dan biarlah ia kekal antara saya dengan Allah, bukan untuk dikongsi dengan pembaca. Apa yang pasti, saya ikhlas dengan keputusan ini, tidak ada paksaan daripada mana-mana pihak.” Mungkinkah ia persediaan awal untuk Max memasuki gerbang perkahwinan seperti yang pernah disampaikan ke telinga penulis sebelum ini? “Tidak baik membuat spekulasi seperti itu...tapi saya tidak nafikan, apabila saya sudah beragama Islam, saya akan memilih wanita Islam untuk menjadi pasangan hidup saya,” katanya enggan mengesahkan khabar yang mendakwa Max bakal menghantar rombongan meminang seorang gadis dari Tawau tahun depan. Tanpa menyebut tarikh tepat, Max memberitahu dia memeluk agama Islam di pejabat Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah di Tingkat 10, Bangunan Muis Kota Kinabalu, kira-kira sebulan yang lalu. “Saya hadir di sana dengan ditemani bapa saudara dan beberapa rakan rapat. Saya cukup terharu kerana ada yang menghadiahkan buku-buku agama untuk rujukan saya. Sebagai saudara baru, pengetahuan saya kepada perkara asas mengenai Islam sangat kurang tetapi itu bukan halangan untuk saya terus mendalami agama Islam,” kata Max yang turut berharap untuk menghadiri kursus Fardu Ain dalam masa terdekat.

Ramadan tahun ini adalah yang pertama buat Max sebagai seorang muslim. Pasti banyak yang boleh dikongsi dengan pembaca bagaimana Max melalui pengalaman mengharungi Ramadan buat kali pertama. “Letih tetapi memang menyeronokkan. Saya masih dalam proses membiasakan diri tetapi kawan-kawan banyak memberi sokongan. Bangun sahur, menahan lapar dan dahaga serta berbuka puasa, detik-detik itu cukup mrmbuatkan saya rasa sayu. Saya sepatutnya sudah lama melakukan semua ini namun saya bersyukur kerana mendapat hidayahNya. Persediaan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelma dalam masa terdekat? “Biasanya kalau Hari Raya apa yang perlu disediakan?” spontan dia melontar soalan naif kepada penulis. “Saya sebenarnya tidak tahu lagi apa yang perlu saya sediakan kerana inilah kali pertama saya menyambut Hari Raya. Apa yang terlintas di fikiran saya ketika ini ialah saya akan membeli sepasang baju Melayu kerana sekarang saya hanya ada sepasang. Persediaan dari segi material rasanya tidak benyak kerana bagi saya yang masih bujang ini, biarlah saya hayati dulu kehidupan baru saya sebagai seorang muslim. Kalau ada kawan-kawan yang sudi menjemput saya berhari raya di rumah mereka, insya’Allah saya akan datang.” Semoga Max akan menemui apa yang dicarinya dalam kehidupan ini dan semoga setiap langkahnya diberkati. Tabah mengharungi dugaan berpuasa dan memanfaatkan masa yang dikurniakan Allah untuk mendekatkan diri kepadaNya. Amin.

Diajak berbual mengenai kerjaya seninya yang agak statik ketika ini setelah terjerumus ke dalam kontroversi berpindah syarikat rakaman, Max terdiam seketika seolah memikirkan sesuatu. “Entahlah, ketika ini belum ada yang pasti mengenai album kedua saya. Kali terakhir berbual dengan Asmin Mudin (rakan kongsi syarikat rakaman bebas, EMP, yang bersedia untuk menerbitkan album kedua Max), saya diberitahu bahawa rakaman album kedua saya akan ditangguhkan sehingga tahun depan. “Saya faham saya perlu bersabar kerana dalam hal ini, saya kena tunggu giliran.” Sementara menunggu rakaman album keduanya diteruskan, Max tidak duduk diam kerana rezeki masih berpihak kepadanya. Terbaru dalam rentetan kerjaya artis kelahiran Penampang ini, dia khabarnya menyertai program promosi syarikat telekomunikasi, Digi di seluruh Sabah khususnya di kawasan Pedalaman Atas dan Pantai Timur. “Hujung minggu lepas, saya berada di Lahad Datu untuk program promosi Digi. Saya bersama kumpulan U.E.F yang mengendalikan program promosi itu. Pada 19 Oktober ini pula, kami akan berkunjung ke Tawau untuk program promosi di sana. Program promosi itu akan berlangsung di premis pasaraya Servey di Tawau pada 20 dan 21 Oktober. Penduduk-penduduk Tawau, kita jumpa di sana.”

0 comments: