31 Oct 2006

Fiq mangsa juri Indonesia

Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my

KEHADIRAN peserta Mentor 2, Fiq atau Mohd Firdauz Abd Halim, 24, di Jakarta, Indonesia pada 15 Oktober lalu adalah sebagai artis undangan menjayakan program Bintang Cari Bintang (BCB) yang disiarkan secara langsung menerusi Trans TV.

Bagaimanapun, pemuda dari Sandakan, Sabah yang mendapat bimbingan mentornya, Amy Search, menjadi mangsa juri program itu, Arzetty dan Imaniar, apabila memperlekehkan persembahannya. Jika di tanah air, persembahan Fiq sering meraih markah tertinggi daripada juri dan penonton.Sama ada mereka telus atau tidak, komen mereka terhadap persembahan Fiq yang dikatakan mendatar, nyata ada unsur pilih kasih. Kenyataannya, persembahan peserta BCB, Ima, protege raja dangdut, Inul Daratista, yang perlu diberi suntikan dan kritikan, bukannya Fiq. Tambahan pula dia hanyalah peserta jemputan.

Apakah juri berasa terancam dengan bakat yang dimiliki Fiq? Jika diukur dari segi suara, Fiq lebih baik berbanding Ima walaupun gadis berusia 18 tahun itu sudah punya pengalaman melalui dua album di negaranya. Suaranya biasa saja, namun persembahan dan goyang gerudinya sehebat Inul. Apakah artis klon yang harus kita banggakan kerana suara Ima juga mirip Inul? Apa yang nyata semangat patriotisme yang dipamerkan dua juri itu cukup kuat kerana menyokong peserta negara sendiri. Tidak kira siapa yang akan menjulang trofi juara Mentor 2 sama ada Fiq, Kat, Neiyl mahupun Ayu, kita harus mengundi mereka apabila juara Mentor 2 dipertemukan dengan juara BCB bagi merebut gelaran Juara Antara Juara (JAJ) akhir tahun ini. Ia dijangka berlangsung di Jakarta pada 17 atau 24 Disember.

Sudah tentu pengalaman menjayakan program yang disiarkan secara langsung pada jam 8.30 malam (waktu Indonesia) Ahad lalu akan diingati Fiq sepanjang hayatnya.Fiq berkata, dia menerima kritikan itu secara positif.Katanya, sebagai orang baru dalam industri dia menganggap kritikan pedas itu sebagai pemangkin semangatnya untuk lebih berjaya. “Sebelum ini ada juga juri kita mengkritik persembahan saya tetapi teguran mereka lebih beralas. “Saya akui persembahan saya nampak kaku ketika menyampaikan lagu dangdut. Takkan saya hendak bergelek macam artis dangdut lain kerana itu sudah tersasar dari landasan muzik dan identiti saya sebagai penyanyi rock.

“Begitu juga sewaktu menyanyikan lagu Isabella. Pergerakan saya terbatas kerana ia lagu ‘slow rock’. Yang jelas, saya sudah melakukan yang terbaik dan akan terus berusaha memperbaiki segala kelemahan,” katanya yang mempertaruhkan lagu dangdut, Penasaran dan medley Isabella dan Markas bersama Amy. Arzetty menyifatkan nyanyian Fiq menerusi Isabella sebagai mendatar dan hanya bangkit selepas berduet dengan mentornya.Malah, dia juga mengatakan persembahan Fiq ‘mati’ ketika menyanyikan lagu Penasaran. Sebaliknya, Arzetty memuji Ima lebih baik kerana mampu menyanyikan lagu rock dengan baik. Imaniar pula mengakui suara Fiq satu keajaiban tetapi menganggap jejaka itu tiada karisma sebagaimana penyanyi Indonesia. Seorang lagi juri, Okky Lukman memberi komen bersandarkan bakat. Penasihat Vokal & Persembahan Mentor, Azmeer, turut diberi peluang berkongsi pendapat, melahirkan rasa simpati pada Fiq.Bagaimanapun, Azmeer tidak menggunakan peluang itu untuk mempertikaikan imej klon Ima, sebaliknya mengakui kekurangan Fiq sebagaimana dikatakan dua juri itu.

Ima yang cukup dinanti-nanti peminat setianya mempertaruhkan lagu Halo Dangdut dan lagu modern rock, Karma yang dipopularkan kumpulan Cokelat.Program selama satu jam itu turut menyatukan kembali pasangan duet yang lebih 15 tahun terpisah, Amy Search dan Inka Kristy. Mereka menyampaikan lagu Fantasia Bulan Madu.Protege Yuni Shara, Matthew bersama Mendua (Yovi Kahitna) dan Postu (Glenn Fredly) menutup persembahan dengan lagu Kopi Dangdut. Penerbit Mentor, Muhammad Sufian Isa, mengakui terkejut dengan apa yang berlaku sepanjang siaran langsung itu.“Memang saya ada berbincang dengan Trans TV supaya juri turut memberi komen kepada Fiq tetapi ia lebih kepada komen biasa kerana dia bukan pertandingan akhir, sebaliknya ia lebih kepada proses memperkenalkan protege kita kepada penonton negara itu.“Sepatutnya juri harus bertanya kepada Ima bagaimana persediaannya berhadapan dengan protege Malaysia. Namun, lain pula jadinya kerana persembahan Fiq pula yang banyak disentuh.

Saya sendiri tidak menyangka perkara itu akan berlaku.“Bagi mereka, komen itu kurang pedas tetapi ia cukup berbisa buat kita. Bagaimanapun, kesilapan ini amat dikesali pihak Trans TV dan mereka sudahpun memohon maaf.“Barangkali mereka tidak sempat memberi penerangan terperinci kerana latihan dilakukan pada saat akhir. Memandang suasana menjadi panas, Trans TV cuba meredakan keadaan dengan memberi peluang kepada Azmeer membela Fiq.“Saya mahu Fiq melihatnya dari sudut positif dan sebagai pengalaman memperbaiki kelemahan. Jika dia berjaya ke peringkat grand final, orang akan melihat kelebihannya dari sudut lain,” katanya.Sepanjang tiga hari di Jakarta mulai 14 Oktober lalu, Sufian turut ditemani Penolong Penerbit, Ahmad Shaifullizam (g-bam); Pengarah, Mohd Azlan Abdollah; Jurutera Bunyi, Mohd Zaidi Mohamaed Taib, Eksekutif Komunikasi Korporat, Rohana Ismail dan Jurugambar, Mahzir Mat Isa. Pada 5 November ini, krew Mentor sekali ke Jakarta bersama Hazami dan protegenya, Ayu serta Nurul bersama Neiyl diikuti Datuk Siti Nurhaliza bersama protegenya, Kat pada 19 November. Trans TV membalas kunjungan ini pada 12, 19 dan 26 November.

3 comments:

F!oNa said...

aduinaa kesian c Fiq kan dB?
aratan noh sia.. harap² nanti fiQ yang menang & akan jumpa dengan c Ima..

doi nda sabar nie.. tapi napa tu mentor ndada lai kena kc tayang d tv? kena tunda untuk rancangan raya ka?

Anonymous said...

kekekek...main kah tu kena cakap tiada karisma! (250 juta penonton tengok)..celupar laser jugabah mulut juri Indon ni...mcm mau kena cubit...kalah Simon Cowell American Idol...

F!oNa said...

ya lor dB.. if sia c fiQ, sia kc buktikan yang sia Boleh o <-- atuk semangat tul kenen nie ekekeke...