11 Oct 2006

Artiste update: Ivye Alexandra terjun ke dunia lakonan



Oleh Boyd PV (Hiburan Harian Ekspress)


Sudah menjadi satu trend penyanyi terjun ke bidang lakonan. Di peringkat nasional, peminat menerima baik kehadiran Erra Fazira, Ziana Zain, Amy Mastura, Anuar Zain, Awie, sekadar menyebut beberapa nama, ke dunia lakonan. Terbaru di Sabah, Ivye Alexandra, penyanyi lagu Hiti Oku Poingandad yang bernaung di bawah syarikat rakaman Moe’s Music Production, bakal mengikut jejak Clarice John Matha, Lydia Kalidin, Reno, Den Bisa dan ramai lagi.

Sekitar sembilan bulan yang lalu, penulis menemubual Ivye yang ketika itu giat mempromosikan album pertamanya. Kali ini, penulis terpanggil sekali lagi untuk mendekati penyanyi berumur 26 tahun yang semakin jelita ini, untuk diajak bercerita mengenai pembabitannya sebagai pendokong watak utama dalam telemovie terbaru arahan Tony Francis Gitom, My Land Below The Wind (MLBTW).”Saya bersyukur dengan peluang yang diberikan kepada saya untuk terbabit dalam telemovie My Land Below The Wind. Sebenarnya, tawaran itu telahpun diusulkan kepada saya oleh penerbit telemovie itu beberapa bulan lepas tetapi memandangkan ketika itu belum ada sebarang hitam putih, saya tidak fikirkan sangat tawaran itu,” Ivye memulakan bicara. “Selepas beberapa bulan, mereka menghubungi saya sekali lagi untuk membuat tawaran yang lebih konkrit. Memandangkan saya ketika ini ada kelapangan, saya bersetuju menerima tawaran untuk terbabit dalam telemovie itu.”

Ivye menerima pelawaan penulis untuk bertandang ke pejabat Daily Express di Tanjung Aru, Khamis lalu. Dia ditemani pengurus produksi telemovie MLBTW, Jamil Majingkin dan Mohd Noor Makbul. Ivye dilihat mempunyai pakej yang lengkap untuk bergelar artis. Namun bolehkah Ivye berlakon? “Saya yakin saya ada bakat tetapi belum pernah ada peluang utnuk menggilapnya,” kata Ivye dengan yakin. Keyakinan itu jugalah yang membuatkan dia tidak teragak-agak menerima tawaran untuk memberi jiwa kepada watak Siti Khadijah Abdullah dalam telemovie MLBTW. MLBTW mengisahkan kehidupan seorang gadis bernama Siti Khadijah Abdullah (lakonan Ivye) yang tersepit oleh masalah kerana tidak memiliki dokumen pengenalan. Siti Khadijah lahir daripada perkahwinan campur antara warga tempatan dengan wanita yang berasal dari Filipina. Konflik kekeluargaan menyebabkan Siti Khadijah menjadi mangsa keadaan. Watak Siti Khadijah digambarkan sebagai seorang yang berwawasan jauh dan cemerlang dalam bidang akademik tetapi terpaksa berdepan dengan pelbagai rintangan dalam melayari kehidupannya sebagai seorang mahasiswi di sebuah universiti tempatan. Menyedari latar belakang keluarganya yang daif, dia terpaksa bekerja sambilan untuk menampung kehidupannya di kampus.

Elemen percintaan turut diselitkan dalam MLBTW di mana Siti Khadijah terperangkap dalam permainan cinta tiga segi antara dia dan dua jejaka iaitu Sam (lakonan Andy Adrian Jongkinoh) dan Imran (Bryan Arthur). Terdesak oleh keadaan, Siti Khadijah terpaksa berkorban dengan melupakan keseronokan hidup sebagai seorang remaja dan menumpukan perhatiannya untuk berusaha membantu keluarganya keluar daripada masalah. Turut membantu menghidupkan cerita dalam telemovie ini ialah Ridah Malanjang, Jasmine Rajah, Ramli Ahmad, Norsahar Ahmad dan Nellysia Ignatius. Watak Siti Khadijah dalam telemovie MLBTW cukup berat dan memerlukan pelakonnya bermain dengan emosi. Mampukah Ivye menghidupkan watak berat seperti ini sedangkan ini adalah pembabitan pertamanya dalam bidang lakonan? “Kalau tidak mencuba, saya tidak akan tahu sejauh mana bakat saya boleh dikembangkan dan digilap. Saya akui ini adalah pembabitan pertama saya dalam bidang lakonan, tapi saya yakin mampu melakukannya kerana saya dikelilingi oleh mereka yang arif dalam bidang ini.” Kata artis berbintang virgo ini.


Sebelum ini Ivye pernah ditawarkan satu watak pembantu dalam drama Membara untuk siaran di stesen televisyen. “Malangnya, tawaran itu hadir ketika saya sedang sibuk menyiapkan penggambaran untukVCD karaoke album pertama saya,” jelas Ivye yang pernah menghiburkan pengunjung di beberapa buah lounge sebelum bergelar artis ralaman. “Saya kecewa juga waktu itu tapi saya yakin itu bukan rezeki saya. Apabila saya diberi tawaran untuk mendokong watak utama dalam MLBTW, saya cukup teruja kerana inilah peluang untuk saya mengembangkan bakat ke dunia lakonan pula,” ramah artis kelahiran Tambunan dan dibesarkan di Sandakan ini mengatur bicara. MLBTW akan memulakan penggambarannya 1 Oktober ini dan memilih tempat-tempat pelancongan di Sabah sebagai latar kepada telemovie yang dikatakan menelan kos melebihi RM100,000 itu.

Diajak bercerita mengenai kerjaya nyanyiannya, Ivye berkata ketika ini syarikat rakamannya sedang menggumpul material yang sesuai untuk penghasilan album keduanya. “Belum ada yang konkrit mengenai album kedua tapi apa yang saya dapat tahu album pertama saya, Hiti Oku Poingandad, masih boleh jual. Saya fikir saya tidak akan muncul dengan album kedua begitu cepat kerana tidak ingin mengganggu penjualan album pertama,” kata Ivye yang lagunya Tusak-Tusak Piginawaan turut mendapat tempat di hati peminat lagu-lagu tempatan. Diasak dengan pertanyaan mengenai gosip cintanya dengan artis Skyline, Reno Rodney Fabianus, Ivye dengan tenang cuba meleraikan kekusutan: “Beginilah..apa yang boleh saya katakan saya dan Reno sekadar teman rapat. Orang cakap macam mana pun, itulah hakikatnya. Kami lebih tahu apa yang berlaku di antara kami. Sebagai artis, saya sudah bersedia berdepan dengan gosip,” tenang Ivye menyusun kata-katanya.

0 comments: