8 Apr 2010

Alvin MY Bakal Bergelar Suami?

BAKAL menginjak usia 29 tahun pada 26 November ini, mungkin Alvin MY (gambar) sudah bersedia untuk mengakhiri zaman bujangnya. Baru-baru ini, ada khabar angin yang mengatakan bahawa dia sudah bertunang dan akan berkahwin tidak lama lagi. Tambahan pula, dia memuatkan sebuah lagu berjudul Cincin di dalam EP terbarunya. "Sebenarnya, lagu Cincin bukanlah pembayang bahawa saya akan berkahwin. Ya, saya akui ia memang sebuah lagu perkahwinan. Saya mendapat inspirasi daripada lagu nyanyian mendiang John Gaisah berjudul Miniagal do Sinsing. Lagipun, saya banyak menerima undangan untuk membuat persembahan untuk majlis perkahwinan. Jadi, saya rasa saya patut mempunyai lagu perkahwinan saya sendiri," kata Alvin sambil tersenyum ketika majlis pelancaran albumnya di Vino Lounge, Venetian di Lido baru-baru ini.

Album EP berjudul Learning You itu sepatutnya dikeluarkan pada Disember tahun lepas, namun, ia dikeluarkan pada Mac tahun ini. Jelasnya: "Kelewatan ini disebabkan oleh masa studio...kerana saya perlu bekerja dengan seorang sound engineer yang sangat sibuk. Saya juga perlu melalui proses pemilihan lagu yang ingin dimuatkan dalam EP ini. Saya amat berhati-hati dalam pemilihan lagu. Dan proses pencetakan dan pra-produksi juga menyebabkan kelewatan ini," tambahnya lagi. Alvin MY atau nama sebenarnya, Alvin Mahathir Yunus bukanlah nama baru dalam arena seni tempatan. Pada 2004, dia mulai menyanyi dengan sebuah kumpulan vokal yang diberi nama Fourvoices, dan dia mulai menulis lagu secara serius pada 2006 - antara single hitnya ialah Ada Masa. Menjelang penghujung 2006, dia menganggotai Infinatez dan bertanding dalam Gangstarz musim pertama pada 2007. Menerusi siri realiti TV inilah, nama Alvin mulai dikenali ramai.

Kepada satu soalan, penyanyi kelahiran Devon, England ini menjawab: "Sebagai seorang penyanyi dan penulis lagu yang tidak mempunyai pendidikan formal dalam bidang muzik, ia sedikit banyak menghalang saya untuk menjadi seorang pemuzik yang lebih dinamik. Jadi, saya sekarang belajar teori muzik dengan Andrew Peninting (Apai), dalam aspek yang lebih meluas dalam penulisan lagu yang lebih baik. Disebabkan saya bekerja dengan pemuzik profesional, kami semua bercakap dalam bahasa yang sama, dan bila saya ingin membut lagu, saya kena menulisnya dalam cara yang difahami oleh semua pemuzik." Alvin, pernah bekerja dengan beberapa nama besar dalam pe rsada seni tanahair, antaranya, Datuk Siti Nurhaliza, Siti Hajar, Helen Yap, Azmeer, Cat Farish, Atilia, dan penyanyi dari Singapura, Imran Ajmain, dan juga beberapa artis Sabah –Atama, Richado dan Jonathan Tse.

Sebagai seorang penghibur, dia banyak membuat persembahan dalam pelbagai majlis seperti majlis korporat, perkahwinan dan juga di kelab-kelab sekitar Kuala Lumpur dan Ibu Negeri. Antara pencapaian utama penyanyi berperwatakan ceria ini ialah apabila dia diberi peluang untuk turut sama menjayakan pementasan teater muzikal P Ramlee. Album EP solo pertamanya ini memuatkan lima buah lagu, Learning You, I'm Back, Sing a Song, Cincin, Raya di Kinabalu, dan dua teaser – Intro dan Outro – untuk album penuh Kadazan Dusun yang akan diterbitkan tidak lama lagi.

"Kesemua lagu dalam album ini ditulis, dicipta dan diterbitkan oleh saya sendiri. Ia merupakan satu personal statement, bahawa saya ingin tonjolkan diri saya sebagai seorang penyanyi, pencipta lagu dan juga penerbit untuk album pertama. Tetapi untuk album yang akan datang, saya akan bekerjasama dengan artis, penerbit atau pencipta lagu yang lain," kata pengasas komuniti sosial dan rekaan baju BBKK (Bulih Bah Kalau Kau) ini. Majlis pelancaran album Learning You pada malam itu disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Masidi Manjun yang sempat memberi kata-kata nasihat dan semangat, bukan sahaja kepada Alvin tetapi juga kepada artis-artis Sabah yang lain. Kehadiran beberapa artis Sabah lain, antaranya, Richado, Atama, Dayang Noraini, Jonathan Tse, dan lain-lain, yang memberi sokongan kepada Alvin turut memeriahkan lagi malam itu.

Penyanyi yang mengidolakan Boyz II Men dan Babyface ini tidak menghampakan pengunjung pada malam itu dengan persembahan lapan buah lagu – dua buah lagu dari albumnya dan enam lagu lain adalah cover version – yang cukup bertenaga. Keligatan Alvin di atas pentas dimantapkan lagi oleh kugiran pengiring yang terdiri daripada graduan muda IPTA tempatan yang cukup berbakat. Dia turut mengundang dua orang pemuzik Indie, Hezron G Koro dan Clinton Liew, untuk membuat persembahan pada malam itu.

"Bagi saya, album ini adalah satu permulaan kepada perjalanan saya dalam penerokaan muzik dan mengekspresikan diri saya menerusi muzik. Pelancaran dan penampilan album solo pertama saya ini juga adalah satu usaha simbolik saya untuk bekerja dengan muzik live pada masa akan datang," kata Alvin. Maklumat lanjut mengenai Alvin MY boleh diperolehi melalui laman web www.alvinmy.com atau laman Facebook, di bawah nama Alvin MY

Kredit: Ricardo Unto (Hiburan Harian Ekspres)

0 comments: