11 Jun 2007

Auninabilla mampu terbang jauh.

ARTIS: Auninabilla
JUDUL: Auninabilla
GENRE: Pop

Pertama kali mendengar alunan suara beliau menyampaikan single pertama Au Kopikito sudah cukup memikat pendengaran saya. Kelunakan suara beliau begitu terserlah lewat lagu ini yang masih bertahan dalam carta lagu-lagu hits Dusun, Bontugan Sinding. Justeru saya tertanya-tanya bila agaknya album solo penyanyi dengan imej bertudung ini bakal berada di pasaran. Setalah hampir dua tahun menanti akhirnya muncul juga album solo beliau. Album ini sarat dengan lagu-lagu balada yang cukup menarik hasil nukilan pengkarya muzik tempatan Sabah antaranya Jasnie M.Y, Jamil Aziz, Rajiah Abou, Endang Abou dan tidak ketinggalan Asmin Mudin. Memang tidak dinafikan tone suara Auninabilla yang lunak, halus dan lembut amat bersesuaian dengan lagu-lagu jenis balada. Kadangkala lontaran suara beliau mengingatkan saya kepada penyanyi terkemuka Indonesia Hetty Koes Endang. Walaupun lagu-lagu dalam album ini dimonopoli oleh genre balada (enam trek kesemuanya) versatility Auninabilla juga terserlah pada genre musik yang lain antaranya pop sumayau, joget dan pop rock yang turut diselitkan dalam album ini.
Malangnya lagu berirama keroncong tidak disertakan kerana pada pendapat saya suara beliau agak sesuai juga kalau mengalunkan lagu berirama keroncong. Gubahan muzik dalam album ini yang hampir kesemuanya dilakukan oleh Jasnie M.Y layak mendapat komen positif. Walaupun kadangkala bunyi suara Auninabilla pada rangkap korus beberapa buah lagu kedengaran sedikit 'distort' (seolah-olah bunyi dalam paip), secara keseluruhan produksi album ini bolehlah dikatakan baik. Kualiti lagu-lagu (terutama lagu balada) amat tinggi. Lagu Melayu Cinta Untuk Sayang (Jamil Aziz/Jamil Aziz) contohnya hampir setaraf dengan mana-mana lagu popular balada yang sering diputarkan di stesen-stesen radio. Semoga lagu ini mampu membawa Auninabilla lebih jauh. Lain-lain lagu yang memikat pendengaran saya ialah Umbalanku, Katagadan, Kada Oku Pasalao, Kada Kito No Kada dan Rentak Riang Sekampung

Nikmati demo lagu-lagu dalam album ini di radioblog (lagu Au Kopikoto boleh didengari di kotak Carta Lagu Dusun)


0 comments: