Yazer enam bulan tak sentuh nasi
Oleh Ellyna Ali
elly@hmetro.com.my
‘Jiwa saya jiwa rock’ - Yazer
BIMBANG sungguh hati Yazer bila melihat badannya kembali mengembang. Padahal, sebaik keluar dari program realiti Akademi Fantasi Musim Keempat (AF4), Yazer langsung tidak menyentuh nasi selama enam bulan. Semuanya gara-gara kesibukannya menjayakan rakaman album studio pertamanya pada Aidilfitri tahun lepas. Sejak itulah jejaka kelahiran Tawau, Sabah ini mula diet. “Pada peringkat awal, saya hanya makan nasi seminggu sekali. Kemudian seminggu tiga kali. Sekarang ini sudah jadi hari-hari pula. Entahlah, bukan saya tidak fikirkan langsung kesannya.“Namun, bila nampak nasi bersama lauk-pauk yang saya suka, rasanya sukar sungguh untuk menahan selera. “Sungguhpun begitu, saya sedar, saya tidak boleh selama-lamanya begini dan saya harus amalkan semula diet yang tidak menyentuh nasi. Sekurang-kurangnya sebelum saya keluar dengan album studio pertama saya nanti.
“Namun, saya tahu formula untuk menurunkan berat badan secara mendadak tanpa perlu membahayakan diri. Selain tidak menyentuh nasi, saya harus kerap amalkan latihan dan senaman. Ia terbukti berjaya sebelum ini,” katanya.
Menceritakan lebih lanjut mengenai albumnya yang masih lagi dalam proses pembikinan, Yazer berkata, secara keseluruhannya albumnya itu mengetengahkan konsep secara rock & raw yang mana ia mempunyai elemen 70-an yang ketara, tetapi dihasilkan dengan bunyian lebih moden.
“Elemen 70-an menjadi pilihan kerana kita sudah mempunyai banyak band yang masih lagi meneruskan perjuangan muzik rock 80-an. Antaranya ialah Search, Wings, Lefthanded dan May.
“Disebabkan itu, album ini memiliki pengaruh muzik dari band 70-an seperti Deep Purple, Whitesnake dan Led Zeppelin. Pada masa yang sama, pengaruh dari band seperti Creep dan Audioslave turut diselitkan sama.
“Dengan gabungan old school rock bersama bunyian rock baru dari Creep dan Audioslave ini akan tercetuslah muzik dalam bentuk modern rock yang sesuai diterima semua kalangan generasi muda hari ini,” katanya yang turut mencipta lagunya sendiri dalam album ini.
Dalam pada itu, Tam Spider, Tony Spider, Aidit Alfian serta bos di syarikat rakaman Luncai Emas yang dinaunginya, M Nasir turut bertindak sebagai komposer serta penerbit album.
Menurut Yazer lagi, kalau diikutkan, dia mahu sekali menampilkan rock up-beat yang lebih pantas dan ganas.
“Namun bila memikirkan penerimaan masyarakat pendengar tanah air secara keseluruhan, saya rasa saya harus berpijak di bumi yang nyata. Realitinya, tidak semua orang mahu dengar saya tampil dengan rock yang sebegitu. Sebab itu saya muatkan tiga lagu ballad rock dalam album ini.
“Apapun setakat ini saya puas hati dengan pembikinan album ini. Dari segi melodi, lirik dan susunan muzik, semuanya memang memuaskan. Hanya tinggal diri saya saja yang harus membawakan setiap lagu itu dengan sebaiknya.
“Insya-Allah kalau tiada ral melintang, album ini mungkin dijangkakan akan keluar sekitar bulan Julai atau Ogos.
“Sekarang ini pun hanya tinggal dua lagu saja untuk dimuatkan vokal. Mudah kata sebelum munculnya hari raya. Namun, segalanya bergantung juga dengan keadaan. Kalau keadaan tidak sesuai, album itu tidak dapat keluar juga.
“Entahlah, saya tidak mahu janji apa-apa lagi. Takut peminat marah. Sebab dulu saya pernah cakap album ini akan keluar awal tahun ini. Tapi tidak jadi. Namun, saya akui ramai yang asyik tanya bila album saya ini hendak keluar.
“Lebih-lebih lagi selepas lagu tema dalam filem Gong yang saya nyanyikan, Cinta Zaman Berzaman sering dimainkan di radio sejak akhir tahun lalu. Ramai yang fikir ialah adalah salah satu single dalam album baru saya. Padahal, lagu itu dimuatkan dalam album runut bunyi Gong,” katanya.
Yazer juga mengakui dirinya berasa amat selesa dengan penampilan yang agak ranggi bersama fesyen rambut panjang mencecah ke bahu.
“Kalau tak ranggi tidak rocklah. Kalau tak rambut panjang pun tak rock juga. Namun yang penting apa terserlah pada diri saya ini bukan dibuat-buat.
“Sebab jiwa saya memang jiwa rock. Malah sejak kecil lagi saya sudah didedahkan dengan banyak lagu rock. Sebelum menyertai AF4 pula, saya selalu membuat persembahan lagu rock bersama band saya di sekitar Tawau.
“Apapun, jika kita lihat sekarang ini, tidak ramai penyanyi rock yang betul-betul rock dari segi muzik serta penampilan mereka. Kalau ada pun macam Mus (May), Awie (Search) dan Amy (Search).
“Namun begitu, kadangkala penampilan juga harus bersesuaian dengan sesebuah majlis yang dihadiri. Takkanlah saya hendak kemeja-T bersama jeans kalau menjayakan persembahan untuk majlis korporat,” katanya.
Dalam pada itu, Yazer juga mempunyai impian untuk mencipta nama sebagai penyanyi rock yang besar di persada muzik tanah air.
“Kalau boleh saya mahu mencapai status legenda sebagaimana kebanyakan otai kita. Malah, saya juga mahu memiliki band muzik sendiri.
“Sekarang ini pun kalau setiap kali buat persembahan, pasti akan ada band yang menjadi pengiring.
“Bukan itu saja, kadangkala saya turun juga buat gigs. Saja hendak lepas gian. Malah, saya sanggup ‘basking’ di depan pelancong sewaktu berada di Pulau Tioman sekitar dua tiga bulan lepas.
“Kalau tidak buat macam ini, macam mana saya hendak belajar untuk menjadi terbaik sebagai otai kita. Mungkin ada orang akan cakap kenapa saya perlu susahkan diri menyanyi sedangkan ada kerja yang lebih bagus.
“Namun saya tidak boleh tipu dengan diri saya sendiri. Menyanyi adalah minat saya dan kecintaan saya. Apapun saya akan terus berusaha gigih supaya dapat mencapai taraf yang sehebat otai kita,” katanya.
PROFIL
NAMA KOMERSIAL: Yazer
NAMA SEBENAR: Mohd Yazer Yusof
USIA: 25 tahun
TARIKH LAHIR: 11 September 1982
TEMPAT LAHIR: Tawau, Sabah
STATUS: Bujang
PROFESION: Penyanyi
ALBUM: EvO’03 (2006) dan Soundtrack filem Gong (2006), Kompilasi Konsert Mingguan Akademi Fantasia - Yazer Terbaik (2006)
KEJAYAAN: Juara Hits 1 Akhir Lagu Jiwa Lagu Cinta bersama Felix menggantikan tempat Mawi dan M Nasir
Sumber Harian Metro
0 comments:
Post a Comment