2 Jun 2007

Ebi menyesal kurang latihan

Ebi menyesal kurang latihan
01-06-2007 02:44:53 PM
Oleh RADIN SRI GHAZALI


Ebi menyesal tidak lakukan yang terbaik?
(Fail Foto The Star)

TIDAK cukup latihan menjadi punca utama Ebi atau nama sebenarnya Ebi Kornelias @ Firdaus Bin Yaimal gagal memberikan persembahan terbaik di konsert akhir Akademi Fantasia musim ke lima.

Hanya mampu mendapat tempat ke dua, Ebi dikritik ketika menyanyikan lagu barunya - Sinar Cinta yang dihasilkan oleh M.Nasir dan Loloq.

Panel pengkritik yang terdiri daripada Fauziah Latif, Hattan, Ogy Ahmad Daud dan Mamat Khalid berkata Ebi mebuat kurang latihan sehinggakan dia gagal menjiwai lagu yang indah tersebut.

"Bukan saya sengaja berbuat demikian. Ketika saya menerima lagu tersebut, saya mempunyai masalah dengan lagu tersebut kerana merasakan melodi dan liriknya tidak serasi.

"Pihak kami terpaksa menyusun lagu tersebut sehingga saya dapat menyanyikannya. Hanya sehari sebelum pertandingan tersebut baru kami berjaya mengatasi masalah tersebut," ujar jejaka yang berasal dari Sabah.

Apakan dayanya, sehari untuk latihan tidak memadai untuk memikat hati penonton-penonton AF untuk mengangkatnya sebagai juara untuk musim kelima itu.

Setelah tamat pertandingan tersebut, kini Ebi melafazkan perasaan menyesalnya kerana tidak memberikan yang terbaik.

"Sejurus sahaja saya berpeluang menonton konsert-konsert AF serta diarinya, saya terkejut melihat kedudukan saya yang sentiasa berada di kedudukan teratas.

"Setiap kali mana-mana konsert berakhir, saya pasti berada samada di posisi nombor satu ataupun dua. Malah saya terkejut kerana saya memang mempunyai peluang yang agak cerah untuk menang," ujar Ebi dengan nada kecewa.

"Tetapi saya tetap bersyukur kepada peminat-peminat saya yang telah memberi sokongan yang tidak terhingga sehinggakan saya berjaya meraih tempat kedua.

"Walaupun, saya sedikit sebanyak mengecewakan ketika persembahan ketika di konsert akhir, namun mereka tetap meyokong saya," tegas jejaka yang berusia 24 tahun ini lagi.

Untuk meraikan kejayaannya bergelar naib juara, Ebi berhajat untuk pulang ke kampungnya di Padas Baru Menggatal, Sabah pada hari Jumaat ini.

"Saya akan pulang dan membuat kenduri kesyukuran untuk sanak-saudara saya serta kawan-kawan saya yang senantiasa bersama-sama sama ketika susah senang perjuangan saya dalam AF. Kenduri ini turut bertujuan untuk meraikan mereka," ujarnya lagi.

Ironi untuk seorang yang bergelar naib juara rancangan realiti tersohor di Malaysia, Ebi mengakui bahawa dirinya tidak pernah mengikuti mana-mana konsert AF sebelum ini.

"Saya memang tidak tahu menahu mengenai AF. Malah saya tidak pernah menonton konsert AF sebelum ini kecuali beberapa minit ketika konsert akhir AF2. Pada waktu itu, saya sempat melihat Bob menyanyi dan itu sahaja," jelas bekas model itu lagi.

"Saya tidak dapat menafikan bahwa AF mempunyai aura tersendiri dan saya berbangga kerana saya merupakan hasil daripada akademi ini," ujarnya lagi.


Ebi mahu jadi penyanyi, pelakon dan model
(Fail Foto The Star)

Mahu jadi penyanyi, pelakon dan model?

Baru sahaja bergelar artis, Ebi kini mempertimbangkan pelbagai pilihan kerjaya untuk menentukan hala tujuan kerjayanya nanti.

"Buat sementara waktu ini, saya mahu memberi tumpuan kepada bidang nyanian. Maklumlah, AF baru sahaja selesai dan baik saya mengambil peluang ini untuk membina kerjaya saya sebagai seorang penyanyi.

"Saya mahu cuba dan lihat seberapa jauh mankah saya dapat pergi apabila bergelar sebagai seorang penyanyi," ujarnya.

Malah, ketika berada dibawah bumbung akademi, salah sorang gurunya, Adnan Abu Hassan sudahpun menyarankan genre muzik kepada Ebi.

"Cikgu Adnan selalu berkata bahawa irama rock ala Indonesia amat sesuai untuk kebolehan vokal saya.

"Dia selalu berkata bahawa lagu-lagu nyanian kumpulan seperti Dewa 19, Peterpan, Samsons dan Ungu serasi dengan saya termasuk imej saya," ujar Ebi yang seringkali membawa lagu irama rock ketika konsert AF.

"Tetapi saya mahu jadi versatile dan tidak terikat dengan mana-mana genre. Saya mahu cuba rock ala Jinbara serta lagu-lagu balada.

"Ini dapat menguji kemampuan saya sebagai seorang penyanyi," ujar Ebi yang pernah bermain gitar untuk sebuah band ketika berada di Sabah.

Ebi bakal memasuki studio bersama-sama M.Nasir untuk merakamkan lagu Sinar Cinta pada bulan hadapan nanti.

Namun, bekas atlit kebangsaan ini masih tidak dapat menganggar bila dirinya akan mengeluarkan sebuah album.

"Saya harus tunggu dan lihat bagaiman kerana ianya terlalu awal untuk saya membincangkan isu album," ujarnya lagi.

Walau bagaimanapun, Ebi juga kini terbuka hati untuk menceburi bidang lakonan.

"Saya teringin untuk mencuba nasib sebagai seorang pelakon. Siapa-siapa yang hendak menawarkan watak kepada saya, saya berkemungkinan besar tidak akan menolaknya.

"Apa salahnya jika saya ingin mencuba pelbagai cabang seni," ujar Ebi yang turut mahu mengekalkan kerjaya sebelum ini iaitu sebagai seorang model.

"Jika ada sebarang tawaran untuk menjadi model pun, saya akan memberi timbangan yang serius untuk melakukannya," ujarnya lgi.

0 comments: