04-06-2007 11:48:42 AM
Oleh ZIEMAN
Istilah buta seni memang tidak sesuai diucapkan kepada peminat seni suara di Kota Kinabalu, Sabah. Ini jelas kelihatan ketika sesi ujibakat program realiti terbaru TV3, My Starz yang dijalankan di Kompleks Centrepoint Kota Kinabalu semalam.
Ketika My Starz melabuhkan tirainya dan menutup sesi ujibakat semalam, sambutan yang diberikan oleh warga Sabah cukup membanggakan.
Bukan saja peserta sesi ujibakat tampil hebat dan berkeyakinan dengan corak persembahan mereka, malah orang-orang Sabah sendiri cukup jujur ketika memberikan reaksi spontan apabila melihat peserta mereka beraksi.
"Saya sudah membuat audition di beberapa tempat di Semenanjung tapi saya belum pernah melihat penonton yang sejujur dan sporting begini. Mereka akan memberikan respon yang spontan apabila peserta membuat persembahan sehinggakan kita sudah boleh agak siapa yang sebenarnya boleh menyanyi," ujar penerbit kreatif, Jafni Abu Bakar atau lebih mesra dengan panggilan Mat Jepp yang cukup sinonim dengan penerbitan program berkualiti di TV3.
Ratusan pengunjung dan peminat senisuara di Sabah telah menyaksikan kehebatan peserta kelahiran Sabah di Centrepoint Kota Kinabalu selama dua hari iaitu pada 2 dan 3 Jun.
Malah, peserta ujibakat dari Sabah juga merupakan peserta yang teramai memasuki ujibakat iaitu seramai 344 orang, selama program My Starz membuat sesi ujibakatnya di beberapa lokasi bulan ini.
yang menyerlah dalam bidang nyanyian
(Foto fail The Star)
Melihat dari senario industri hiburan, ramai artis baru yang lahir dari negeri bawah bayu seperti Linda Nanuwil, Adam AF2, Lotter, Felix dan terbaru Ebi dari AF5.
"Tidak mustahil sekiranya Juara My Starz juga akan terbit dari sini melihat bakat yang saya lihat hari ini," jelas Jepp.
Menurut Jepp, penonton di Centrepoint tidak segan silu memberi sorakan dan bertempik sekiranya peserta mereka tidak menurut piawai yang mereka tetapkan.
"Sorakan dan jeritan yang mereka berikan pada peserta mereka bagaikan satu tekanan. Kalau yang bertanding itu bagus, mereka akan memberi semangat tapi kalau sebaliknya, tidak sampai satu rangkap lagu, mereka akan bersorak sampai perserta itu berhenti," jelas Jepp lagi.
Melihat senario yang pelik tapi benar itu, Jepp membuat rumusan bahawa peminat muzik di Sabah mempunyai citarasa yang cukup tinggi.
"Seolah-olah mereka malu kalau bakat yang datang dari negeri mereka tidak bagus. Mereka letak standard yang tinggi dan kesemua peserta terpaksa mencapai standard ini," jelas Jepp lagi mengenai semangat yang ditunjukkan oleh peminat di Sabah.
Sebelum ini krew My Starz telah membuat audition di The Curve, Damansara, Pulau Pinang, Johor Baru, Kuantan, Kuching dan yang terakhir sekali ialah Kota Kinabalu.
Diminta mengulas bakat yang ada di Sabah, Pengetua My Starz Farihin Abdul Fattah melahirkan rasa kagumnya dengan mutu suara yang ditunjukkan.
"Bakat-bakat yang terdapat di sini cukup ramai dan luarbiasa sekali. Kesemua mereka yang hadir ujibakat boleh menyanyi dengan baik dan tahu apa genre muzik yang sesuai untuk mereka. Ini membuat kami kagum," jelas Farihin yang bertindak sebagai salah seorang juri bagi pemilihan pelajar My Starz.
Rata-rata lagu-lagu yang menjadi pilihan peserta di Sabah merangkumi berbagai lagu popular dan evergreen. Lagu Kian, nyanyian Mawi, Biar Bulan Bicara (Broery Marantika) dan beberapa lagu top masa kini nyanyian Samsons, Radja, Sheila On 7 merupakan lagu sandaran 'favourite' peserta dari negeri bawah bayu ini.
Disebabkan bakat yang begitu banyak di negeri Sabah, Farihin dan seorang lagi juri, komposer terkenal Aubrey Suwito menghadapi kesukaran membuat pemilihan the final 50 list bagi pusingan seterusnya.
Seramai 50 orang peserta My Starz akan dipanggil untuk mengikuti bengkel pembelajaran muzik selama 2 hari, iaitu pada 7 dan 8 Jun ini bertempat di Auditorium Dewan Bahasa & Pustaka. Dari situ, hanya 12 orang pelajar sahaja yang akan dipilih untuk mengikuti pembelajaran My Starz di LG House di mana mereka akan dilatih oleh sekumpulan pemuzik.
Tegas Aubrey selaku pengarah muzik
(Fail Foto The Star)
Selain Farihin sebagai Pengetua, Aubrey sendiri akan menjadi Pengarah Muzik untuk musim pertama My Starz yang akan ke udara untuk pertama kalinya di TV3 pada 17 Jun dari jam 6 petang hingga 7 petang.
Bagi Farihin dan Aubrey, mereka sudah sedia ada kriteria tertentu yang mereka kehendakki dan bakat macam mana yang mereka ingin ketengahkan.
"Walaupun bakat yang paling fundamental sekali, pakej juga perlu dilihat dari beberapa sudut," jelas Farihin yang sudah banyak menaikkan nama ramai artis Malaysia.
Menurut Aubrey pula, "Setelah menghadiri kesemua ujibakat yang diadakan barulah saya sedar, rupa-rupanya bukan senang untuk mendapat penyanyi yang ada pakej lengkap seperti Siti Nurhaliza, Sheila Majid, Ning Baizura, Anuar Zain dan sebagainya.
"Perkara macam ini adalah satu perkara yang komposer seperti saya take for granted sehinggalah saya terpaksa membuat pilihan sendiri," jelas Aubrey yang juga merupakan komposer bagi lagu popular Gemilang (nyanyian Jac) dan lagu tema Akademi Fantasia, Menuju Puncak.
Farihin, Aubrey, Jepp dan dua orang lagi team produksi telah pun membuat seleksi 50 peserta My Starz yang akan mara ke saringan seterusnya pada hari Khamis dan Jumaat ini.
Ketiga-tiga mereka terpaksa bersengkang mata sehingga jam 3 pagi untuk memastikan hanya mereka yang betul-betul layak diberi peluang sekali lagi untuk menunjukkan bakat mereka.
"Kami melihat balik the recorded version persembahan kesemua pelajar yang telah diberi 1, 2 dan 3 bintang oleh para juri. Dari sini kita akan melihat dan menilai balik dari berbagai aspek sebelum kami memanggil mereka untuk pusingan seterusnya," jelas Jepp lagi.
Bagi Aubrey, "Agak mengelirukan apabila mereka kedengaran bagus ketika membuat persembahan tetapi apabila dilihat balik pita rakaman, mereka kurang menyerlah. Begitu juga ketrampilan mereka di kaca TV. Ada yang tidak photogenic dan sebagainya. Semua ini perlu diambil kira.
"Kita mencari bintang berbakat, yang akan disayangi ramai sebab itu kami agak cerewet dalam membuat seleksi."
Yang pasti pemilihan 50 pelajar My Starz akan memberi tamparan hebat kepada bakat-bakat yang sedia ada. Malah beberapa nama yang akan muncul pasti akan membuat peminat muzik di Malaysia ternanti-nanti kemunculan My Starz nanti.
"Kami dah jumpa apa yang kami cari. Ada beberapa butir permata yang bakal menyinari industri kita tidak lama lagi," ujar Jepp penuh yakin.
0 comments:
Post a Comment