25 Jun 2007

Lotter terkilan kurang publisiti

Lotter terkilan kurang publisiti enggan salahkan sesiapa

Populariti naib johan AF4 tidak sekencang rakan seperjuangan seperti Farhan, Haziq, Diddy, Rich

TIDAK semua impian tercapai dengan mudah selepas keluar daripada Akademi Fantasia (AF). Hakikat itu dapat dilihat pada Naib Juara AF4, Lotter P Edwin Edin, 25. Berbanding rakan-rakan seperjuangannya seperti Haziq, Farhan, Diddy dan Rich, anak muda dari Keningau, Sabah ini kurang menonjol walaupun lagunya, Yang Berlalu Takkan Berulang, pernah diputarkan di radio.

Lalu timbul desas-desus mengatakan Lotter merajuk lalu mengambil keputusan pulang ke kampungnya selama dua bulan. Selain itu tubuhnya semakin kurus dan dianggap sakit.

“Dulu memang show untuk saya kurang gara-gara terlalu lama duduk di kampung, tapi saya bukan balik kampung kerana merajuk. Saya cuma pulang berehat. Ketika di Sabah, saya pernah menyanyi hasil usaha Fan Club saya yang tidak henti-henti menyokong.

“Cuma saya terkilan kerana kurang mendapat publisiti. Sebab itulah apabila menerima panggilan Bintang Popular, saya memang terkejut. Terus terang, selepas tamat AF4, inilah baru pertama kali saya dipanggil untuk sesi fotografi!

“ Terima kasih sajalah yang mampu saya ucapkan. Apapun saya tidak mahu menyalahkan sesiapa dalam hal ini,” jelasnya.

Mengenai tubuhnya yang agak cengkung, Lotter berkata: “Saya kurus bukanlah sampai ke tahap kronik.

Ia berpunca disebabkan pertukaran cuaca. Ketika berada di Kuala Lumpur, berat badan saya turun kepada 47 kilogram. Tapi apabila balik kampung, berat saya naik semula kepada 51 kilogram. Mungkin saya masih belum dapat menyesuaikan diri dengan cuaca di ibu negara sehingga mengganggu selera makan,” kata Lotter.

Kecintaan Lotter terhadap bidang nyanyian begitu ketara kerana sebelum menyertai AF4, dia pernah menjadi guru sandaran dan seorang jurujual.

Malah ramai tidak tahu Lotter pernah menerima gaji RM5 sehari apabila bekerja sebagai pembersih parit sewaktu bersekolah. Baginya pekerjaan amat penting untuk menyara keluarganya yang bukan dari kalangan orang berada. Lalu apabila mendapat peluang menyertai AF4, dia sanggup merantau dan mengejar impian.

“Saya faham dunia nyanyian banyak cabaran. Mujurlah sekarang undangan persembahan agak banyak diterima.

Dapatlah saya bernafas sedikit,” katanya berterus terang.

Dalam salasilah keluarga, Lotter bukanlah orang pertama yang menjadi penyanyi. Adiknya, Clare Petrus Edwin Edin, lebih awal menyanyi ketika berusia 15 tahun. Malah, Clare pernah merakamkan album kompilasi di Sabah. Ayah mereka, Petrus Edwin, juga aktif menyanyi dan menulis lirik serta berkarya di Sabah.

“Sebelum saya, Clare dan Viola (sepupu) lebih dulu menyanyi.

Saya juga pernah terfikir untuk memuatkan lagu irama asli dalam album solo saya nanti. Mungkin juga saya boleh berduet dengan Haziq.

“Kalau ikutkan hati, saya memang nak sambung belajar, tapi apakan daya.

Saya perlu utamakan pendidikan untuk adik-adik. Saya perlu kerja kuat untuk diri dan keluarga, “ katanya.

Ketika ini, Lotter dalam proses merakamkan album solo.

“Saya minta daripada pihak Maestro Talent untuk memuatkan lagu ciptaan sendiri. Ada juga kawan-kawan AF seperti Keifli, Diddy dan Haziq meminta lagu ciptaan saya,” katanya.

Sumber Berita Harian

*I think Lotter boleh fokus kepada bidang penciptaan lagu dan penerbitan album, lagi lumayan...

0 comments: