9 Jan 2006

En route to.... Anugerah Juara Lagu 20

Sabtu ni, 15 Jan adalah pertandingan akhir Anugerah Juara Lagu (AJL) ke 20, satu pengiktirafan karyawan muzik tanahair yang berprestij anjuran TV3. Ada empat orang karyawan seni kita yang terlibat. Artikel berhubung Azharina dan Adam telah dimuatkan (termasuk lagu-lagu mereka) dan hari ini saya tampilkan artikel berkaitan seorang pengkarya muzik Sabah yang begitu banyak menyumbang dalam mempopularkan (kalau tidakpun mengekalkan populariti) beberapa orang artis tanahair seperti Ziana Zain juga Man Bai. Beliau tak lain tak bukan Asmin Mudin. Ikuti saja artikel berhubung beliau yang dipetik dari ruangan hiburan Daily Express hasil tulisan Boyd PV

Karya anak Sabah ke Final AJL20

Setelah lebih satu dekad sejak lagu/lirik ciptaannya Anggapanmu (dendangan Ziana Zain) dipertandingkan di final Anugerah Juara Lagu (AJL), sekali lagi komposer/penulis lirik kelahiran Sabah, Asmin Mudin, boleh mengharapkan sesuatu apabila lagu Gemilang dendangan juara Malaysian Idol Jac Victor, terpilih untuk bertanding dalam kategori Balada AJL20. Lirik Gemilang adalah ilham Asmin sementara lagunya dicipta oleh Aubrey Suwito. Mengiringi Gemilang ke Final AJL20 untuk kategori Balada ialah Wajah (komposer Othman Mohammad, lirik Habsah Hassan, penyanyi Jaclyn Victor) Awan Yang Terpilu (Lin Li Zhen/Loloq/Ning Baizura) dan Elegi Sepi (Azlan Abu Hassan/Julfekar/Azharina). Bersembang dengan Asmin (di Kuala Lumpur)menerusi MIRC malam Jumaat lalu, penulis seakan dapat menghayati perasaan berbaur yang bersarang di hati mahasiswa tajaan MACP yang mengkhusus dalam bidang Seni Persembahan (Muzik) di Universiti Malays ini. “Gembira, gelisah, harap menang, rasa dihargai,” singkat kata-kata Asmin mengenai kejayaan Gemilang ke final AJL20. Ini, bagaimanapun, bukan kali pertama karya Asmin dipertandingkan di peringkat tertinggi di negara ini kerana sebelum inipun, Anggapanmu pernah ke final AJL94 dan dua tahun kemudian, Kau Ilhamku (nyanyian Man Bai) turut dinilai difinal Anugerah Industri Muzik. Nasib tidak menyebelahi Asmin dalam kedua-dua pertandingan berprsetij itu. Mampukah Gemilang melakar satu lagi kejayaan setelah lagu ini membantu Jac Victor dinobatkan pemenang hadiah utama pertandingan berprsetij Festival Muzik Asia di Shanghai Oktober lalu? “Sekalipun saya mengharapkan kejayaan lewat lagu Gemilang , saya sebenarnya tidak berani meletak harapan tinggi. Bagaimanapun saya melihat ruang yang selesa untuk lagu itu dipilih sebagai lagu popular yang ditentukan menerusi undian SMS”. Asmin mengakui saingan dalam kategori Balada begitu sengit kerana membariskan karya komposer-komposer hebat dan mempunyai pendidikan formal dalam bidang itu. “Tapi saya pasti Jac punya kekuatan dan saya nampak AJL kali ini lebih kepada kekuatan artsi. Pertarungan artis yang dicungkil bakat mereka menerusi kaedah konvensional dan artis yang lahir daripada program realiti mengubah perspektif penilaian,” kata Asmin yang mengakui sedikit kabur dengan format pengadilan untuk AJL20. Asmin menambah: “Jika undian SMS mendominasi keputusan, saya yakin Jac akan tetap menjadi pilihan.”

Kenyataan Asmin bagaimanapun bercanggah dengan laporan sebuah akhbar kebangsaan yang menyebut pengadilan tidak dipengaruhi oleh populariti penyanyi. Diminta memberi ulasan, Asmin berkata undian SMS tertinggi ialah 19 peratus untuk lagu Tangisan Dalam Kerinduan (Farah AF2), Jac 16 peratus manakala lagu lain purata peratusannya ialah 6 peratus. “Tapi agak mengejutkan apabila walaupun dengan peratusan setinggi itu, Tangisan Dalam Kerinduan tidak berjaya ke final. Sebaliknya lagu Wajah (juga dendangan Jac) terpilih.” Adakah ini bermakna Asmin lebih percaya populariti penyanyi memainkan memainkan peranan dalam menentukan keputusan? “Ya, ini soal sentimen. Popular maknanya masyarakt suka dan sanggup membelanjakan wang mereka. Bayangkan apa akan berlaku jika peminat sanggup berbelanja RM6 juta semata-mata mahu melihat Mawi menang. Tiba-tiba juri tidak bagi Mawi menang. Mungkin itu akan mengundang kontroversi berpanjangan.” Bercerita mengenai kejayaan Jac Victor membuat impak di Shanghai lewat lagu Gemilang baru-baru ini, Asmin berkata: “Saya sebenarnya sangat bersyukur kerana menjadi sebahagian daripada kejayaan kita di luar negara. Lirik Gemilang memang sangat serasi dengan Jac. Tiada siapa mampu mempertikaikan kehebatan Jac.” Jac mengulangi kejayaan Ziana Zain di Festival Muzik Asia beberapa tahun lalu ketika membawa lagu ciptaan Asmin – Anggapanmu. Pembaca mungkin ingin mengetahui bagaimana hadirnya idea menghasilkan lirik Gemilang. “Saya ilhammkan Gemilang selepas mendapatkan pembayang daripada pengurusan 8TV ketika saya datang untuk mengambil CD. Saya sekadar mengikut kehendak mereka. Waktu itu saya diminta menulis lirik untuk lagu pilihan juri yang akan dinyanyikan oleh Jac dan Dina di final Malaysian Idol edidi pertama dulu. “Waktu mula menulis itu, saya fikirkan persoalan ini ‘anda diberi 5 minit untuk berada di atas pentas, muzik dimainkan dan anda perlu luahkan apa yang tersemat di hati mengikut alunan melodi dan ekspresi anda...jadi apa yang anda (Jac dan Dina) mahu? Sudah pasti...Gemilang. “Gemilang ialah harapan untuk mencapai realiti kejayaan, perlu berani, kuat, gigih dan setelah berjaya mencapai kegemilangan, jangan cepat berpuas hati kerana banyak lagi kegemilangan lain yang perlu dikejar.” Ramai peminat mungkin tidak sedar bahawa lagu/lirik Lebih Baik ciptaan Asmin diangkat menjadi tajuk album terbaru artis Sony BMG, Amy Mastura. “Memang benar Lebih Baik dipilih menjadi tajuk album Amy Mastura. Saya bangga kerana lagu itu menjadi pilihan mereka untuk dijadikan tajuk album. “Sebenarnya saya adalah komposer eksekutif bersama BMG Publishing. Seperti biasa, kalau ada baru artis baru Sony BMG masuk studio buat album baru, semua komposer syarikat rakaman ini akan dihubungi untuk menghantar material. Sayapun samalah juga...lagu Lebih Baik adalah antara banyak lagu yang dinilai. “Amy Mastura turut terlibat memilih material dan dia suka lagu Lebih Baik. Memang saya tahu lagu saya akan dimuatkan dalam album AmyMastura tetapi apa yang mengejutkan saya ialah lagu saya dipilih sebagai tajuk album, kira satu bonuslah,” kata Asmin yang sudah bersama BMG Publishing sejak 1992.

Bukan mudah laluan yang terpaksa ditempuhi oleh Asmin untuk berada di mana dia berdiri sekarang. “Saya mula serius menghasilkan lagu/lirik sejak 1989. Berbekalkan 100 buah lagu dalam tangan, saya beranikan diri menjejakkan kaki ke Kuala Lumpur kerana saya nampak itulah jalan yang perlu saya lalui untuk mencapai cita-cita bergelar komposer. “Dua tahun kemudian saya masuk Maktab Perguruan Kota Bahru Kelantan. Waktu cuti sekolah saya pergi ke KL dan turun naik pejabat syarikat rakaman menjaja lagu-lagu saya. Sekarang kerja saya mudah sedikit kerana orang sudah mula kenal Asmin Mudin.” Katanya yang setakat ini sudah menyumbang 30 buah lagu untuk penyanyi-penyanyi tanah air termasuk Sheila Majid, Ziana Zain, Search, Ukays, Man Bai, Spring dan Fauziah Latiff, sekadar menyebut beberapa nama. Kerjaya dalam bidang perguruan belum ditinggalkannya. Apabila menamatkan pengajian dalam tempoh lebih kurang setahun lagi, Asmin akan kembali ke Sabah dan meneruskan baktinya kepada anak watan. “Profesion hakiki saya sebenarnya dalam bidang perguruan. Ketika ini saya cuti belajar separuh gaji. Habis belajar nanti, saya akan kembali mengajar di Sabah.” Di Sabah Asmin lebih gemar menggunakan nama Umbut apabila berkarya. Ketika ditanya kenapa, pantas dia menjawab: “Itu nama timangan saya.”

1 comments:

Anonymous said...

okes alnuke plak bercakap...

ni ketama kalinya ni sampai kat blog ni...

sesapa nak download video ajl yang lepas boleh la download kat portal alnuke.com

link download section alnuke yelah kat bawah ni

http://alnuke.com/modules.php?name=Downloads&d_op=viewdownload&cid=12#cat

selamat mendonload kekawan semua...