9 Feb 2006

Artis Idola Sabah semakin matang mengatur langkah (bhg 2/2)

Wilton Hamdih

Sedang menunggu keputusan peperiksaan SPM yang didudukinya tahun lepas, artis kelahiran Kota Belud ini lebih banyak mendedikasikan masanya untuk aktiviti nyanyian. Buat waktu ini Wilton yang popular dengan lagu Sunudai Oku Koupusan sedang gigih berlatih lagu-lagu baru untuk dimuatkan dalam album duetnya bersama Ednesta. “Saya sudah menerima beberapa buah lagu baru untuk dimuatkan dalam album itu. Berirama perlahan seperti Sunudai Oku Koupusan, saya yakin lagu baru saya itu mampu mencuri perhatian peminat. Berlakon dalam telemovie Bukan Orang Kita memang menyeronokkan. Tapi sebagai pendatang baru, saya akui banyak lagi ruang yang boleh diperbaiki. Peranan saya dalam telemovie itupun kecil sahaja, tapi saya kira ia memadai untuk memberi pendedahan awal kepada saya dan rakan-rakan yang lain.” Diminta mengulas gosip mengenai gelang yang dipakainya ketika sesi fotografi bersama Harian Ekpress tahun lalu, artis berwajah Hispanic ini dengan tenang memberitahu, “Gelang itu sebenarnya pemberian peminat, kebetulan pula waktu keluar rumah untuk sesi fotografi hari itu, saya teringin untuk memakainya.” Dalam gambar yang mengiringi artikel mengenai Wilton di ruangan ini pada 19 Oktober 2005, jelas tertera pada gelang yang dipakainya gabungan nama “WILTRICIA” dan beberapa hari selepas artikel itu disiarkan, seorang peminat beriya-iya memberitahu penulis bahawa “WILTRICIA” adalah gabungan nama Wilton dan kekasihnya. Sabar sajalah Wilton...gosip melengkapi pakej kehidupan sebagai seorang artis. Belum terlambat rasanya untuk mengucapkan Selamat Hari Lahir kepada Wilton yang menyambut hari jadi ke-18 pada 23 Disember lalu. Genap usia 18 tahun nama Wilton turut disenaraikan untuk mengikuti PLKN tahun ini.

Ridah Malanjang

Penyanyi Mungkin, Ridah bergaya seksi dengan baju merah tanpa lengan. Namun apa yang lebih menarik perhatian penulis ialah kematangannya dalam berkata-kata. “Hadir dalam bidang ini bukan untuk mencari populariti semata-mata sebaliknya ingin memanfaatkan bakat kurniaan Tuhan. Saya sudah bulatkan tekad untuk menjadikan bidang nyanyian dan lakonan sebagai satu kerjaya dan saya sedar impian itu menuntut keringat dan komitmen yang bukan sedikit,” katanya ketika ditanya sejauh mana dia ingin serius dalam bidang ini. Berasal dari Kota Marudu, Ridah bakal diperkenalkan ke pentas nasional dalam satu kumpulan yang turut dianggotai Wati dan Ruthnetta Romedius (Ruth). Menurut pengurus mereka Tony Francis Gitom, pihaknya sedang berbincang dengan sekurang-kurangnya dua buah syarikat rakaman di Kuala Lumpur untuk mengetengahkan Ridah, Ruth dan Wati sebagai sebuah girlsband dari Sabah. “Syarat kami jelas, jika syarikat rakaman di KL ingin mengambil mereka, biarlah mereka bertiga sahaja kerana Penampang Studio mahu mereka dikenali sebagai ‘kumpulan dari Sabah’. Sekalipun mereka mengikat kontrak dengan syarikat rakaman di Kuala Lumpur, pengurusan artis masih di bawah Penampang Studio, itu yang kami mahukan daripada rundingan yang sedang berjalan. Apapun kami sebenarnya masih terbuka kepada apa-apa cadangan. Semuanya sedang dalam proses perbincangan dan perkembangan lanjut akan dapat saya maklumkan dalam sebulan dua ini.” Kata Tony.

Nordawati Daud

Selesa dipanggil Wati, artis dari Sandakan ini sudah bersedia untuk melebarkan bakat nyanyiannya. “Saya mensyukuri keputusan saya untuk menyertai Idola Sabah kerana program itu memberi peluang kepada saya untuk mengetengahkan bakat dalam bidang seni. Bersama Penampang Studio, kerjaya nyanyian kami diatur dengan baik. Sebagai pendatang baru kami amat bersyukur dengan peluang untuk bekerjasama dengan Maxis sebuah syarikat telekomunikasi yang kita ketahui hanya memberi ruang kepada artis bernama besar, antaranya Siti Nurhaliza, untuk muncul dalam konsert mereka. Konsert mini Hotlink On Tour @ Sabah adalah persembahan pentas berbayar di mana sesiapa yang ingin menonton persembahan itu perlu memberi pek permulaan Hotlink. Sambutan yang diterima di semua lokasi di luar dugaan,” kata Wati mengenai konsert mini itu yang singgah di Labuan, Lahad Datu, Keningau dan Kudat sepanjang Disember lalu. Mengenai harapannya dalam bidang ini Wati memberitahu: “Sebagai sebuah kumpulan perjalanan kami (bersama Ridah dan Ruth) baru bermula. Masih banyak proses yang perlu kami lalui dan kami mengharapkan rundingan dengan syarikat rakaman di Kuala Lumpur akan membuahkan hasil.” Hiburan Harian Ekspress juga mengharapkan perkara yang sama kerana peminat di Sabah tentu ingin melihat lebih ramai bakat tempatan mewarnai industri hiburan di peringkat nasional. Sekalipun masih banyak perkara yang perlu dilakukan, perlu diingat bahawa perjalanan yang jauh bermula dengan langkah pertama.

Teks: Petikan dari Hiburan Harian Ekpress oleh Boyd PV
Gambar: Petikan dari Hiburan Sabah Times

1 comments:

tody said...

semoga mereka berjaya..landasan yg betul akan memudahkan mereka utk berjaya.

well, si ridah anak kota marudu tu sebelah kg sy ja..hehe..bangga juga sikt..