13 Nov 2006

Felix lancar album solo bulan depan

Oleh Boyd PV

Hiburan Harian Ekspres
12 Nov 2006
(boyd_pv@yahoo.com)

Ketika artikel ini ditulis pagi kelmarin, penulis masih gagal bercakap dengan bintang AF3, Felix Agus, yang semakin diminati gara-gara penangan single terbarunya, Aku Pencintamu. Ada beberapa peminat di Sabah bertanya bila album sulung naib juara AF3 itu akan dilancarkan kerana sebelum ini mereka pernah diberitahu bahawa album solo Felix bakal menjengah pasaran hujung tahun ini. Penulis beberapa kali menghubungi telefon bimbit penyanyi ini, tapi tidak dijawab. Dan penulis mengandaikan Felix sibuk dengan kerjaya seninya. Tidak mahu berputus asa, penulis menghantar beberapa pesanan teks ke telefon bimbitnya bertanyakan perkembangan terbaru albumnya itu. Berdasarkan jawapan teks yang diterima, Felix memberitahu album solonya akan “dilancarkan bulan ini”. Itu sahaja maklumat ringkas yang penulis perolehi daripada penyanyi Warkah Berlagu Pilu yang semakin sibuk ini.

Enggan membiarkan banyak soalan lain terbiar tanpa jawapan, penulis terus menghubungi Ketua Pengurusan Artis Maestro Talent, Aman Ali. “Sebenarnya, album solo Felix masih di peringkat akhir rakaman. Ada sebuah lagu lagi yang belum dirakam tetapi ia masih mengikut perancangan dan akan dilancarkan bulan depan (Disember). Bagaimanapun tarikhnya belum ditetapkan. Dalam tempoh itu apapun boleh berlaku. Kerana itu kami lebih selesa untuk tidak menetapkan sebarang tarikh untuk pelancaran album berkenaan, sekurang-kurangnya buat masa ini. Apa yang pasti, ia akan menemui peminat bulan depan. Sekarang ini kami menunggu rakaman trek terakhir. Kita faham kesibukan M. Nasir yang terbabit dalam pembikinan album ini sebagai penerbit eksekutif, komposer dan juga penulis lagu.” Katanya ketika dihubungi tengahari Jumaat lalu.

Ditanya mengenai konsep album berkenaan. Aman berkata ia berkonsepkan pop rock sesuai dengan vokal dan imej penyanyi kelahiran Kg Purak Ogis, Kota Belud itu. “Ketika ini, jadual Felix sangat padat kerana selain menerima undangan membuat persembahan pentas, dia juga terbabit menjayakan tujuh konsert Gegak Gemilang Astro sempena ulang tahun ke-10 stesyen penyiaran itu. Apapun saya akan minta dia supaya menghubungi Boyd,” katanya. Menjelang hujung tahun ini, kata Aman, Felix mempunyai beberapa jadual nyanyian di Sabah. "Waktu itu nanti, kami mungkin ada kesempatan untuk melancarkan album solonya di Sabah.”


dbosfm: Saya pernah juga bertanya Felix mengenai perkembangan album beliau semasa beliau rehearsal untuk konsert Live Band bulan Ogos lalu, menurut beliau ianya bakal berada di pasaran pada pertengahan September. Hmm...diharapkan apa yang dilaporkan di atas, kali ini, bakal menjadi kenyataan.

0 comments: