16 Nov 2006

Lydia akur tuntutan hidup

Oleh BOYD PV
Hiburan Harian Ekspress
15 Nov 2006
boyd_pv@yahoo.com

Hampir setahun dahulu, artis Skyline ini pernah mengambil keputusan nekad meninggalkan terus kerjaya nyanyian di lounge kerana ingin memberi tumpuan kepada albumnya. Tidak sampai setahun kemudian, dia mengakui sudaj kembali mengikat kontrak menghiburkan pengunjung di tempat eksklusif. Ironinya, ketika ini album keduanya baru mula menapak di pasaran. Apa sebenarnya yang terjadi? Bersama BOYD PV, kita dekati Lydia Kalidin.

BERSEMBANG dengan artis KDM yang seorang ini tidak terasa masa berlalu. Daripada satu topik ke satu topik dibualkan termasuklah album terbarunya yang mengekalkan namanya sebagai tajuk. Dalam rancak berbual, keluarlah cerita bahawa dia sudah kembali menyanyi di lounge. Ia mengundang pertanyaan kerana satu ketika dahulu sewaktu mempromosikan telemovie lakonannya, Kenapa Dengan Mereka, Lydia Kalidin pernah membuat pengakuan eksklusif bahawa dia sudah serik menjadi penyanyi lounge dan akan meninggalkan kerjaya itu untuk memberi tumpuan kepada kerjaya sebagai artis rakaman. Tambahan pula ketika itu kesihantannya tidak mengizinkan.

Tidak sampai setahun kemudian, hari ini, Lydia kembali menyanyi di lounge. Tentu ada sebab disebalik perkembangan terbaru ini. “Memang dulu saya pernah nekad untuk meninggalkan kerjaya sebagai penyanyi lounge. Ketika itu saya sangat kecewa kerana album pertama saya, Lihuai Oku, gagal menempatkan nama saya sebaris dengan penyanyi KDM yang lain. Menyanyi di lounge menuntut banyak pengorbanan dari segi masa kerana terikat dengan terma kontrak yang ketat dan itu menyukarkan saya untuk mempromosikan album. Tapi daripada pengalaman saya setakat ini, title ‘artis rakaman (album KDM)’ tidak menjanjikan pendapatan lumayan. Sekalipun nama dikenali, undangan untuk menjayakan persembahan pentas sangat terhad,” kata artis yang bernaung di bawah syarikat rakaman Skyline ini ketika berkunjung ke pejabat Daily Express di Tanjung Aru, Ahad lalu.

Menurut Lydia, yang pernah mencari rezeki dengan mengikat kontrak dari satu lounge ke satu lounge yang lain di Sabah dan WP Labuan, dia akhirnya terpaksa akur dengan tuntutan semasa kerana perlu menyara kehidupan sendiri selain membantu keluarganya di Kg Maukab, Ranau. “Lama juga saya berehat dari menyanyi di lounge. Hasrat hati ketika itu memang untuk menumpukan perhatian kepada rakaman album kedua. Tapi dalam pada itu, hidup perlu diteruskan. Saya menggalas tanggungjawab membantu keluarga saya di kampung. Kerana itu, saya umpama menelan kata-kata sendiri apabila terpaksa kembali menyanyi di lounge.” Tidakkah keputusan kembali menghiburkan pengunjung lounge akan menjejaskan urusan promosi album kedua? “Album saya sepatutnya diedarkan selepas album Clarice (John Matha). Saya tidak pasti pula sebabnya, tetapi album saya diedarkan dahulu. Ketika saya diberitahu mengenai perkara ini, saya sudahpun kembali menyanyi (sekitar Oktober lalu). Tapi saya tidak fikir ia akan mengganggu urusan promosi, cuma saya mungkin terkejar ke sana sini,” kata artis berumur 26 tahun ini. “Tidak ada jadual khusus untuk mempromosi album saya dan saya boleh dipanggil bila-bila masa. Tapi saya tidak fikir itu jadi satu masalah.”

Kembali menyanyi di lounge memberi Lydia peluang untuk mempromosikan lagu-lagu KDM kepada pengunjung. “Tempat kerja baru saya, syaratnya tidak begitu ketat. Kami dibolehkan menyanyi sebarang jenis lagu tidak seperti di tempat lain sebelum ini di mana kami tidak boleh menyanyikan lagu rock dan muziknya pula tidak boleh terlalu bising. Kerana itu di tempat kerja saya sekarang, saya berpeluang untuk mempromosikan lagu-lagu baru saya kepada pengunjung. Malah ramai juga pengunjung Mat Salleh yang meminta saya menyanyikan lagu-lagu KDM,” Lydia memberitahu Hiburan Ekspress. Keseluruhan album kedua Lydia jauh berbeza dengan album solo pertamanya, Lihuai Oku.

Mendengar satu persatu lagu dalam album kedua ini, anda pantas menyedari bahawa anda sedang dihidangkan dengan sebuah produk berkualiti. Ini bukan album tangkap muat. Bermula dari trek pertama, anda pasti terhibur lewat lagu Tewas Kotoh, sebuah lagu Melayu citarasa tempatan, hasil kolaborasi Lydia dengan, siapa lagi kalau bukan komposer terkenal, Asmin Mudin. Selain bertindak sebagai penerbit album ini, Asmin turut terpanggil untuk menyumbangkan vokalnya. Ternyata Asmin bukan sekadar mahir mencipta lagu dan menulis lirik, sebaliknya dia turut memiliki vokal yang komersil. Berbeza dengan album album pertama yang lebih menonjolkan sisi vokal Lydia lewat lagu genre balada, album ini meneroka kepelbagaian vokalnya menerusi genre easy hip hop. Trek Yoho Okon Nodi Sanganu Nu, Tupus Ku, Sunudai Noh Oku, Nababasan Oku Noh kedengaran begitu urban lebih-lebih lagi trek Tupus Ku yang diperkemas dengan kehadiran rapper Decipher. Melihat kepada senarai komposer yang terbabit sudah cukup meyakinkan pendengar untuk mendapatkan album ini. Siapa boleh menafikan kualiti sentuhan kreatif Asmin, Rayner Kilik dan Ramli Ahmad.

Lagu lain yang terdapat dalam album ini ialah Sogigisom, Mamaramai Tambalut, Asaladan, Otumbayaan Oku dan sebuah trek Melayu, Sayang. “Satakat ini, maklumbalas yang saya terima untuk lagu Sayang sangat baik,” kata Lydia yang mengharapkan lagu ini akan mendapat ruang dalam program Carta Artis Tempatan Sabah (CATS), di Sabah FM. Mendengar lagu Sayang persis menikmati alunan sebuah lagu pop Indon. Bukan pada muziknya tetapi lontaran vokal, diction serta lenggok suara halus penyanyi ini. Cukup menghiburkan. Cuma untuk lagu Melayu, Lydia perlu menyuntik identiti sendiri untuk vokalnya. Album ini juga memberi peluang kepada Lydia mencuba bakatnya dalam penulisan lirik. “Lirik lagi Sogisisom saya hasilkan dalam masa yang singkat. Ia adalah luahan rasa kasih seorang isteri kepada suaminya.” Ditanya kenapa tidak meneroka industri hiburan di pentas nasional, Lydia secara spontan memberitahu:”Saya lebih selesa berkarya di Sabah dan ingin berkongsi muzik saya dengan penduduk di negeri ini, khususnya KDM.”

2 comments:

Anonymous said...

sia suka bah lagu2 c Lydia ni...lepas ja sia dgr demo lagu tiwas kotoh tu..trus sia p beli cd album da...
lucu bah ni lagu..kawan sia dgr pun trus guling2 ketawa bah..ngam utk budak2 jajal sana sikul...
byk lagu2 da ni rancak..n ngam utk dance..lagu sayang,sogigisom & otumbayaan oku pun best banget...tupusku pula ..very nice bah....siok juga dgr semua lagu da..
kotohuadan bos, ..sb ko promo tu lagu d blog ko..trus keminatan bah org....ko lah pejuang terbaik utk artis sabah ni..God Bless U..

wish all the best 2 LYdia...

dBOS-fm said...

Lagu Tiwas Kotoh memang kreatif n menarik dan sepatutnya layak dimainkan berulang kali di corong radio kalaulah stesen radio tempatan tdk telampau strict pasal hal2 berhubung bahasa. Kalau lagu ni berada d USA gerenti sudh masuk Bilboard 100...syabas n terima kasih juga dengan sokongan anda kpd album2 tempatan..sama2lah kita menyokong...dpd sya terus kasi kaya penyanyi2 barat (yg memang sudah kaya raya) bagus tolong artis sendiri..have a nice day..take care..:))