Oleh Boyd PV
Hiburan Harian Ekspress
03 Nov 2006
PETRONELLA Suan Orow aka Pet pernah menghiasi persada seni suara tempatan melalui kemunculannya bersama kumpulan pop BY'U beberapa tahun lalu. Sejak kumpulan itu tidak lagi aktif, nama Pet seolah-olah tenggelam. Lama menghilang, Pet kembali menggumpul kekuatan dan muncul dengan album solo yang menggunakan namanya sebagai judul - Petronella. Tetapi kenapa Pet mengambil masa terlalu lama untuk muncul dengan album solo? Dan bagaimana pula gosip yang mengaitkan namanya dengan anggota lelaki kumpulan BY'U, Yuriz? BOYD PV ada jawapannya...
Lebih dua tahun tidak bertemu, Pet kini nyata lebih matang bukan sahaja daripada segi penampilan tetapi juga butir bicaranya. Kali pertama menemubual artis wanita dari Tuaran ini ialah ketika dia masih bersama BY’U yang turut dianggotai Yuriz, Adam, Christine dan Linda. Ketika itu mereka mencipta nama yang gah menerusi album Segalanya. Malangnya seperti kebanyakan band yang lain BY’U hanya mampu bertahan lebih kurang tiga tahun. Semuanya berakhir selepas salah seorang anggota mereka, Christine, mengundur diri untuk menumpukan perhatian kepada rumahtangganya. Menyusuri pengunduran Christine, BY’U mengambil keputusan untuk berehat dan itu memberi ruang kepada anggota-anggotanya merintis laluan sendiri untuk membina kerjaya sebagai penyanyi solo. Pet merasa dirinya cukup bertuah kerana syarikat rakaman yang menaungi kumpulan itu, Synchrosound Music Sdn Bhd, pantas menawarkan kontrak untuk Pet menghasilkan album solo. Tetapi kontrak itu dimeterai lebih dua tahun yang lalu dan peminat terpaksa menunggu cukup lama sebelum Pet muncul dengan album solo. Kenapa?
“Saya akui tempoh dua tahun itu cukup lama. Tapi sepanjang tempoh itu saya bekerja keras untuk memastikan hasrat saya untuk tampil dengan album solo tercapai. Dalam tempoh itu juga, nama saya tenggelam timbul. Untuk memastikan nama saya dapat bertahan dalam menongkah arus perdana industri hiburan tanahair, saya keluarkan single Hujan Jadi Saksi. Tapi itu tidak memadai untuk memastikan saya diterima peminat sebagai penyanyi solo wanita kerana sebelum ini mereka lebih mengenal saya sebagai anggota BY’U. Tambahan lagi, dengan kehadiran penyanyi-penyanyi baru khususnya yang lahir dari program realiti TV, persaingan semakin sengit namun saya percaya ada rezeki untuk setiap orang. Bercakap dari pengalaman bagi saya, menghasilkan sebuah album penuh tidak semudah yang disangka. Saya terpaksa menyusuri laluan yang sukar untuk merealisasikan impian memiliki album solo,” kata Pet yang hadir ke pejabat percetakan akhbar ini di Tanjung Aru, tengahari Rabu lalu. Banyak halangan yang terpaksa ditempuhi dalam menyiapkan album itu, katanya yang kini berusia 23 tahun.
“Cabaran paling ketara ialah mendapatkan material yang sesuai. Saya mahu lagu-lagu yang saya muatkan dalam album benar-benar memenuhi citarasa muzik saya iaitu pop/urban. Tetapi saya tidak mahu statik dengan pilihan muzik tertentu. Kerana itu, pemilihan lagu-lagu dalam album ini pelbagai. Saya cukup berbesar hati kerana pihak syarikat rakaman memberi kebebasan kepada saya untuk mencorakkan album ini,” katanya yang berkolaborasi dengan Yuriz dalam menyumbangkan beberapa buah lagu dalam album ini yang diterbitkan oleh Johari Teh, salah satu nama besar dalam industri. “Kebanyakan lagu dan lirik yang saya muatkan dalam album Petronella adalah karya saya bersama Yuriz,” katanya. Album Petronella memuatkan 10 trek lagu iaitu Hujan Jadi Saksi, Melukai, Gila-Gila, Tinggallah, Suatu Masa Bertemu Lagi, Laguku, Engkau Yang Ku Tunggu, Jangan Kau Rayu, dan sebuah lagu tempatan berjudul Insan Tadau Kopiruba Wagu. Menariknya, Pet turut berkolaborasi dengan penyanyi lain dalam dua buah lagunya – Melukai (bersama Yuriz) dan Laguku (menampilkan penyanyi hip hop KDM, Atama).
Insan Tadau Kopiruba Wagu satu lagu penghargaan khusus untuk peminat-peminat di Sabah yang banyak menyokong perjuangan saya dalam bidang ini, kata bekas pelajar SMK Bading Tuaran ini. “Saya anggap album ini terlalu personal. Terbabit hampir sepenuhnya dalam pembikinan album ini membuatkan saya rasa begitu dekat dengan peminat. Album ini umpama jiwa raga saya. Di mana saya berada selepas ini bergantung kepada sambutan yang diterima untuk album ini.” Pet masih bercuti di Sabah selepas berhempas pulas menghasilkan album solonya. Tapi dalam pada itu, dia tidak mensia-siakan ruang waktu yang ada untuk mempromosikan album sulungnya itu di Wawasan Plaza, Kota Kinabalu, 21 Oktober lalu. “Itu pelancaran untuk Sabah sahaja. Saya pilih untuk melancarkan dahulu album ini di Sabah kerana saya anak watan negeri ini. Pelancaran di Semenanjung belum dibuat. Itu bermakna, secara rasmi, album ini belum berada di pasaran seluruh negara. Mengikut perancangan, album ini akan dipromosi secara besar-besaran selama enam bulan. Jadi, buat masa ini, saya masih ada ruang untuk diri sendiri. Program promosi akan dibuat dalam masa terdekat yang akan membawa saya menjelajah ke seluruh negara,” katanya. Ditanya akakah Pet berpuashati dengan penghasilan album ini, dia pantas berkata:"kalau kita cepat berpuashati kita tidak akan ke mana, tapi ingin saya katakan, saya berkongsi rasa dengan peminat menerusi album ini. Saya sudah curahkan segalanya dan terpulanglah kepada peminat untuk membuat penilaian. Dengan lagu yang pelbagai, saya pasti akan ada sekurang-kurangnya sebuah lagu yang mudah melekat di hati peminat,” kata Pet yang khabarnya akan muncul menghiburkan pengunjung Karnival Budaya Sabah di padang Tuaran, malam esok (Sabtu).
'Saya Akui Sayang Yuriz'
'Saya Akui Sayang Yuriz'
PEMBIKINAN album ini banyak menyaksikan Pet berkolaborasi dengan Yuriz sehingga memberi ruang untuk orang bergosip mengenai mereka. “Tolonglah jangan buat cerita...,”kata Pet sambil ketawa. “Yuriz adalah seorang kawan yang baik, yang memahami citarasa muzik saya. Saya memang sayang Yuriz dan selesa berkawan dengannya sejak kami masih bersama BY’U lagi. Dalam BY’U kami berdua adalah anggota kumpulan dari Sabah, yang tiga lagi dari Semenanjung. Kerana itu, kami lebih mudah relate to each other. Tapi jangan salah sangka...kami hanya berkawan.”
Dalam bidang pencipta lagu, Pet mengakui serasi dengan Yuriz. "Yuriz mempunyai latar belakang dibesarkan di luar negara, saya pula budak kampung. Apabila kami gabungkan dua latar belakang yang berbeza, ia menghasilkan sesuatu yang segar dan sesuai dengan saya,” Jelas penyanyi bersuara gemersik ini
0 comments:
Post a Comment