Kelantangan dan kenyaringan suara beliau lewat lagu Butitin ketika diputarkan di tamu-tamu seolah-olah menenggelamkan bunyi hiruk pikuk aktiviti tamu. Saat ini juga lazimnya kelihatan pengunjung-pengunjung tamu, yang mungkin tertanya-tanya siapakah gerangan penyanyi tersebut, bergerak ke arah gerai menjual kaset untuk mendapatkan jawapan. Tuan empunya suara tersebut tak lain tak bukan, seorang penyanyi cilik dari suku kaum Murut, Joshua Marais. Walaupun tiada statistik yang jelas terhadap jumlah jualan album yang memuatkan lagu Butitin, saya dapat bayangkan betapa hebatnya sambutan untuk lagu tersebut terutama di kalangan penggemar-penggemar muzik dari suku kaum Murut. Tersenarainya lagu ini selama berminggu-minggu dalam Carta Rimbai Murut di Sabah VFM di samping beberapa kali menduduki tahta juara carta tersebut, juga membuktikan satu sambutan hangat untuk lagu ini. Mungkin atas sebab ini juga pihak terbabit berpendapat sudah tiba masanya untuk penyanyi cilik ini tampil bersendirian tanpa kelibat kedua ibubapanya. Justeru maka lahirlah album solo pertama beliau Joshua@ Ebot Marais, Sumingkot Taka yang sedang berada di pasaran sekarang. Album yang diterbitkan oleh Dusiah Ropotoh ini mengandungi sepuluh trek lagu yang kebanyakannya dihasilkan oleh seorang pengkarya yang menamakan diri beliau sebagai Sinsingon Power! (tidak pasti pula samada ini nama sebenar, tapi saya merasakan ini hanyalah sekadar nama samaran). Selain beliau nama-nama lain yang disebut termasuklah Suman L, Ahsu, Sangkar Sikin, Nordin Palanok dan Landius. Album yang dirakam sepenuhnya di Bamboo Sound Studio Tambunan ini, selain daripada memuatkan lagu-lagu dari genre etnik pop, tidak ketinggalan memuatkan lagu dari genre lain termasuk genre rap. Malangnya dari senarai sepuluh buah lagu, lagu hits beliau Butitin tidak dimuatkan sekali dalam album ini. Pada pendapat saya elok juga sekiranya lagu tersebut dimuatkan sekali mungkin dalam versi yang berbeza dari versi asal.
Walau apapun nikmatilah saja tiga buah lagu dari album ini di radioblog "Joshua Special"
0 comments:
Post a Comment