17 Nov 2006

Lotter dihambat kesibukan

Oleh Boyd PV
boyd_pv@yahoo.com
Hiburan Harian Ekpres
17 Nov 2006


Lotter Petrus Edwin nampaknya semakin ligat mengatur langkah. Sejak muncul naib juara Akademi Fantasia 4, dia tidak menoleh ke belakang. Namanya semakin memuncak dan buktinya, jadual Lotter penuh hingga Mei tahun depan. Dihubungi di pejabat Maestro Talent di Ibu Negara kelmarin, Lotter mengakui adakalanya dia dihambat kesibukan sehingga tidak ada masa untuk diri sendiri.

“Dalam seminggu, saya hanya free dua hari. Selebihnya saya bekerja,” kata anak kelahiran Membakut ini yang sudahpun menjelajah ke seluruh negara menghiburkan peminatnya. Dan minggu depan Lotter mempunyai jadual yang padat di Sabah. “20 November ini saya berada di Kota Kinabalu untuk memenuhi undangan menyanyi dalam satu dinner show. Saya juga akan bertemu peminat di Kota Kinabalu pada 22 November sempena majlis perasmian sebuah premis dan pada 23 November pula saya berada di Lahad Datu.” Dalam sibuk berkejar memenuhi undangan menyanyi di seluruh negara, Lotter khabarnya akan masuk studio untuk rakaman album krismas bersama-sama dengan Velvet, Rich, Marsha, Felix dan Burn. “Perancangannya begitulah. Kami akan muncul dengan sebuah album krismas. Rakaman belum bermula tapi saya fikir semuanya akan dibuat dalam masa terdekat kerana album itu harus berada di pasaran sebelum krismas ini.”

Terlanjur bercakap mengenai album, Lotter turut ditanya mengenai perancangan untuk album solonya sendiri. “Apa-apa hal pun, tentulah Faizal (juara AF4) akan siapkan albumnya dahulu sebelum saya menyusul. Faizal sedang sibuk di studio sekarang ini. Bagi saya sendiri, saya fikir rakaman akan bermula awal tahun depan, mungkin Januari atau Februari, selepas Faizal. Tapi sekarang inipun saya sudah mula merasa kesibukannya kerana selain berkejar memenuhi undangan menyanyi, saya perlu datang ke studio berlatih menyanyikan lagu-lagu untuk album saya,” kata Lotter mengenai albumnya yang berkonsepkan alternatif dan mendapat sentuhan Nerves, Pretty Ugly, “Saya juga sudah menyiapkan dua buah lagu untuk album saya, termasuk sebuah lagu Dusun.” Kerana dihambat kesibukan jugalah maka sehingga kini Lotter belum dapat mencari masa yang sesuai untuk mengikuti kelas memandu. Gelaran Naib Juara AF4, hadir bersama hadiah mewah – sebuah kereta elegen Toyota Vios 1.5G berwarna hitam.

Tapi menurut Lotter sekalipun majlis penyerahan kunci sudah dibuat, dia hanya mampu memandang kereta itu kerana belum memiliki lesen memandu. “Saya dengan Faizal sama sahaja. Ada kereta tapi masih tumpang kereta orang lain atau naik teksi untuk ke mana-mana kerana belum ada lesen memandu. Kalau ada lesenpun, saya bukannya tahu sangat jalan di Kuala Lumpur ini,” kata Lotter yang menyewa rumah di Jalan Kelang Lama bersama Amirul dan Haziq, rakan seangkatannya di AF. “Mungkin saya perlu paksa diri saya mencari masa yang sesuai untuk menghadiri kelas memandu. Saya harap itu akan berlaku dalam masa terdekat,” katanya yang berkali-kali memohon maaf kerana tidak dapat berbual lama gara-gara perlu bersiap untuk kemunculan di pentas, di sebelah petangnya. Semoga perjalanan karier seni yang baru bermula buat anak teruna Petrus Edwin Edin dan Justina Loimin Kalaka ini terus mendapat sokongan dan restu peminat, lebih-lebih lagi di negeri kelahirannya sendiri.

0 comments: