15 Feb 2006

Yazer masih tunggu lampu hijau sifu


Oleh Zul Husni Abdul Hamid

Sebagai penyanyi baru, memiliki album penuh adalah impian dan perasaan yang sama dirasai bintang Akademi Fantasia 3, Yazer (gambar). Tapi Yazer belum puas hati, kenapa?

WALAUPUN sudah memiliki satu single, Merah Warna Cinta yang dimuatkan dalam album kompilasi, Evo 05-03, itu belum memadai buat anak kelahiran Sabah ini.“Seseorang penyanyi bergantung kepada album solo untuk meneruskan karier nyanyian mereka,” kata artis berkulit putih ini. Disebabkan itu, Yazer berharap penerbitan album sulungnya akan terlaksana walaupun tahu ia mengambil sedikit masa untuk direalisasikan. Apatah lagi impian besarnya itu turut dikongsi bersama sifu industri muzik, M Nasir.“Saya hanya menanti lampu hijau daripadanya untuk masuk studio,” kata Yazer yang sinonim dengan imej rock ketika menghuni banglo AF3.Dalam kesibukan menjayakan konsert jelajah seluruh negara bersama bintang AF3 lain, artis kacak itu pada masa sama membuat persiapan sebelum melangkah ke studio rakaman. Sebahagian besar lagu sedang dikumpul.Malah, Yazer sendiri berhasrat untuk menyumbang lagu ciptaannya untuk album yang bakal menyerlahkan jiwa sebenar artis itu sebagai penyanyi.“Sebagai artis baru, saya rasa sangat bertuah kerana M Nasir bersedia untuk membimbing. Dia memahami jiwa dan apa yang saya inginkan. Cuma menanti masa yang sesuai kerana untuk menghasilkan yang terbaik, tidak perlu tergesa-gesa,” katanya.Menyentuh lagu Merah Warna Cinta yang dijadikan sebagai lagu pengenalan, Yazer berkata, ia menjadi titik permulaan untuk dia terus menapak. “Ia juga melambangkan semangat saya untuk berjuang mengetengahkan bakat sebenar di bidang nyanyian. Berbanding di AF3, pasaran muzik sebenar lebih mencabar dan situasi ini menguji saya untuk mencari formula terbaik supaya dapat bertahan.“Di luar banyak pihak yang memerhati kemampuan kami dan kerana itu, saya tidak mahu mensia-siakan peluang yang ada. Apabila sudah terbuka jalan, saya perlu memberi sepenuh komitmen supaya perjalanan seni saya bukan sebuah perjuangan kosong,” katanya.Namun, kata Yazer, dia belum berpuas hati dengan lagu pertamanya itu memandangkan tidak mempunyai banyak masa membuat persediaan sebelum merakamkan lagu berkenaan.Ketika rakaman dibuat, mereka sibuk dengan konsert jelajah AF3. Malah, pengalaman pertama di studio juga memberi pengajaran kepada Yazer supaya memahami karektor sebenar sesebuah lagu sebelum menyampaikannya.Sebagai artis baru, dia tidak mahu bersikap terlalu ‘demanding’ dan kerana itu, Yazer cuba memberi sepenuh jiwa supaya lagu yang diberikan kepadanya dapat disampaikan dengan berkesan.“Ia adalah lagu yang bagus, cuma saya tidak berpuas hati kerana rakamannya dibuat agak pantas. Mungkin album pertama ini saya lebih puas kerana dapat memberi pandangan mengenai susunan lagu dan lirik,” katanya.Masih sibuk dengan persembahan pentas terutama di negeri kelahirannya, Yazer juga mencuba nasib dalam bidang lakonan apabila terpilih membintangi drama bersiri, Cinta Di Bawah Bayu.Bagaimanapun, penggambaran belum dibuat memandangkan mereka sibuk dengan siri konsert jelajah bintang AF3.Drama itu bakal menggandingkannya dengan artis lain kelahiran Sabah seperti Marsha Milan Londoh, Felix, Ekin dan Naufara.

http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Tuesday/Hiburan/20060214074109/Article/

0 comments: