17 Feb 2006
Apa perancangan Jiaja selepas Blast Off?
Oleh Boyd PV
Hiburan Harian Ekpress
Kegembiraan jelas terpancar di wajah anggota kumpulan Jiaja yang berkunjung ke pejabat percetakan Daily Express di Tanjung aru pada tengah hari Rabu lalu, selepas kembali dari Kuala Lumpur sehari sebelum itu. Mereka berhak merasa gembira kerana usaha gigih selama hampir tiga bulan dalam rancanngan Blast Off di Hits.Tv akhirnya membuahkan hasil apabila penonton program realiti TV di Astro itu menjulang mereka sebagai juara pada pertandingan akhir yang berlangsung 10 Februari lalu. Kejayaan mereka dalam program itu sekali lagi membuktikan bahawa Sabah tidak pernah ketandusan bakat dalam bidang seni baik sebagai penyanyi mahupun pemuzik. Kunjungan mereka ke pejabat Daily Express Rabu lalu tidak lebih daripada satu "courtesy call". Bagai manapun penulis sebenarnya mengharapkan lebih daripada itu - ingin merakam gambar mereka bersama trofi replika bom yang mereka menangi pada pertandingan akhir itu. Malangnya, hasrat itu tidak kesampaian kerana mereka hanya datang bertiga - Nazri Husin @ Ji (pemain gitar), Naza Husin @ Ja (pemain bass), Jimson Yangkat @ Jim (pemain keyboard) dengan diiringi pengurus kumpulan kuartet itu, Daud Abdillah dan bapa kepada Ji dan Aja, Encik Husin. Pemain drum kumpulan itu, Valentine Arthur @ Karuk, tidak turut serta kerana mempunyai komitmen lain. Diajukan hasrat merakam gambar mereka bersama trofi yang dimenangi , Ji memberitahu, "Trofi itu kami serahkan balik kepada penganjur untuk dibaiki kerana entah bagaimana, sumbuhnya patah selepas pertandingan itu berlangsung." Selain trofi replika bom itu, Jiaja pulang dengan hadiah wang tunai RM20,000, telefon bimbit Nokia model terkini setiap seorang dan pakej percutian ke Phuket. Pembaca mungkin ingin mengetahui kisah di sebalik tabir pembabitan Jiaja dalam Blast Off dan perancangan mereka selepas bergelar juara program realiti itu.
Berapa lama masa yang diperuntukkan untuk Jiaja berlatih setiap lagu yang dipersembahkan dalam program itu?
Ji: Untuk satu-satu program itu, kami hanya hanya ada masa tidak lebih tiga jam. Itulah masa yang kami ada untuk berlatih lagu yang akan dipersembahkan untuk minggu itu. Satu jam pada Isnin dan dua jam pada Selasa, hari-hari berikutnya, kami peru terbabit dalam pelbagai aktiviti yang disediakan oleh penganjur termasuk raptai, photocall dan sebagainya sebelum muncul membuat persembahan pada Jumaat. Nasib baik juga lagu-lagu itu memang kami sudah biasa main waktu di kolej. Jadi tidaklah risau sangat. Senarai lagu pula sudah kami sediakan sebelum kami berlepas ke Kuala Lumpur. Mana yang tersenarai, itulah yang kami bawakan.
Adakah Jiaja sejak dari awal memang yakin akan muncul juara?
Aja: Semua kumpulan yang bertanding mempunyai kelebihan masing-masing, Bagi Jiaja. kami berada di sana untuk enjoy. Tidak mahu terlalu memikirkan mengenai keputusan kerana bimbang ia akan memberikan tekanan yang tidak sepatutnya. Setiap minggu, kami hanya berikan tumpuan kepada persembahan. Itu adalah pengalaman pertama kami beraksi dalam sebuah program televisyen, apa lagi ianya disiarkan secara langsung. Memang banyak perkara yang perlu difikirkan kerana juara program itu ditentukan oleh penonton menerusi undian SMS. Sukar juga tapi kami berusaha sebaik mungkin agar kelihatan bersahaja ketika membuat persembahan.
Sepanjang berada di pentas Blast Off, Jim agak low profile. Mungkin kerana kedudukan Ji dan Aja lebih ke depan menyebabkan kamera lebih memberi tumpuan kepada mereka. Komen Jim?
Jim: Setting pentas memang sudah ditentukan begitu. Saya tidak rasa terkilan kerana Jiaja dikenali sebagai sebuah kumpulan empat pemuzik. Kalau semua pemuzik berada satu barisan di hadapan, nanti nampak macam koir pula (ketawa).
Aja: Ketika Karuk menyanyikan lagu Give It Away di peringkat separuh akhir sambil bermain dram, kami sebenarnya ada minta pihak penganjur agar dia diletakkan di depan supaya tumpuan terarah kepadanya. Namun, permintaan kami tidak dapat dipenuhi kerana set-up pentas dan kamera sudah ditentukan.
Selepas ini apa perancangan Jiaja?
Ji: Sambung belajar di SIA (Sabah Institute of Arts)...mungkin bermula minggu depan. Kalau bercakap mengenai album, mungkin masih terlalu awal tapi perancangan ke arah itu memang ada. Dari segi material, kami sudah ada himpunan lagu yang bakal kami ketengahkan
Tidak ada tawaran merakam album daripada Astro untuk juara Blast Off?
Aja: Malangnya tidak ada (ketawa). Tapi kontrak yang kami tandatangani untuk program itu ada menyebut dalam tempoh enam bulan selepas Blast Off kami perlu give priority kepada Astro untuk muncul dalam program atau aktiviti yang mereka kendalikan.
Ji: Apa yang dapat kami katakan, sebagai sebuah kumpulan yang bergerak sendiri, kami akan berusaha untuk muncul dengan sekurang-kurangnya sebuah single menjelang penghujung tahun ini.
Apa pula keutamaan Jiaja sekarang? Pelajaran atau terus membabitkan diri secara aktif dalam bidang seni?
Ji: Susulan daripada kejayaan kami dalam Blast Off, kami sebenarnya ada menerima tawaran biasiswa sebanyak RM60,000 seorang daripada Limkokwing (Limkokwing University College of Creative Technology) untuk mengambil kursus Diploma in Sound Production. Kami belum buat apa-apa keputusan mengenai perkara ini kerana sekarang inipun kami sedang mengikuti kursus peringkat diploma (Pengajian Muzik) di SIA.
Aja: Tawaran itu sukar untuk kami tolak tetapi kami minta diberi masa untuk memikirkannya kerana pengajian kami di SIA akan tamat dalam tempoh enam bulan lagi.
Gelaran Blast Off musim kedua meletakkan Jiaja dalam kelasnya tersendiri. Adakah gelaran itu akan turut mempengaruhi kadar bayaran untuk Jiaja membuat persembahan?
Ji: Kami tak pernah terfikir mengenai perkara itu (ketawa). Tapi kalau ada mana-mana pihak yang berminat untuk menjemput kami (membuat persembahan), saya fikir soal bayaran boleh dibincang.
Aja: Bagi kami, kemenangan itu bukan alasan untuk demand soal bayaran.
Akhir sekali, pesanan kepada penonton Blast Off serta peminat di Sabah yang banyak memberi sokongan kepada Jiaja.
Ji: Terima kasih kepada semua yang telah menghantarkan undian SMS kepada Jiaja. Tanpa sokongan anda semua , tidak mungkin kami mampu membuktikan bakat dan keupayaan kami di peringkat nasional.
Aja: Saya percaya, kemenangan kami adalah kemenangan anda juga. Tidak dilupakan ibubapa serta keluarga kami yang banyak memberi sokongan dan dorongan serta pengurus kami, Daud Abdillah yang banyak menyuntik keyakinan kepada kami.
Jim: Penghargaan dan terima kasih juga kepada Harian Ekspress dan warga pembacanya di atas sokongan dan kerjasama yang diberikan.
0 comments:
Post a Comment