8 Feb 2006

Artis Idola Sabah semakin matang mengatur langkah (bhg 1/2)



Masa begitu pantas berlalu. Seperti baru semalam mereka bertanding di final program pencarian bakat Idola Sabah, kini remaja-remaja berbakat ini sudah hampir setengah tahun bergelar artis dan mula memberi impak kepada industri hiburan tempatan. Sebahagian daripada mereka ini khabarnya bakal merintis jalan untuk beraksi di pentas nasional. Selain memeriahkan majlis-majlis di sekitar bandaraya, artis Idola Sabah baru sahaja selesai mengadakan jelajah ke seluruh Sabah dalam konsert mini Hotlink On Tour @ Sabah bersama syarikat gergasi telekomunikasi Maxis – pencapaian terbaik mereka setakat ini. Mereka juga tampil dengan sebuah album berjudul Idola Sabah yang memuatkan himpunan terbaik lagu-lagu yang disampaikan pada pertandingan itu. Minggu terakhir tahun lalu, lima daripada bakat Idola Sabah – Ednesta Francis, Wilton Hamdih, Ridah Malanjang, Carrey Chrystopher dan Nurdawati Daud-bertandang ke pejabat percetakan Daily Express di Tanjung Aru untuk beramah-mesra dengan pihak media dan mewar-warkan perkembangan terbaru masing-masing. Pucuk dicipta ulam mendatang BOYD PV menemubual mereka.

Carrey Chrystopher

Berasal dari Tambunan, Carrey bergabung dengan empat rakannya – Andy, Bryan, Rosdi dan Azmi – membentuk kumpulan Pangkis. Mereka kini di peringkat awal untuk menghasilkan album yang khabarnya akan turut meneroka pasaran nasional. “Pangkis akan muncul dengan konsep muzik pop-dance dan hip-hop. Ketika ini kami telahpun merakamkan sebuah lagu dan sedang memilih material yang sesuai untuk album pertama kami.” Diajak berbicara mengenai pembabitannya sebagai anggota kepada sebuah kumpulan – bukan sebagai artis solo – sedangkan dia adalah naib juara Idola Sabah 2005, penyanyi lagu Mimpi Indah ini memberitahu: “saya tidak kisah muncul secara berkumpulan kerana soal kehendak pasaran juga perlu diberi priority. Ini soal bisnes bukan glamor semata-mata. Saya yakin pengurusan Penampang Studio lebih arif mengenai perkara ini. Solo atau berkumpulan itu tidak menjadi masalah kerana apapun yang saya lakukan, ia adalah untuk mengangkat martabat seni di Sabah,” matang jejaka berumur 20 tahun ini mengatur bicara. Bercerita mengenai pembabitannya dalam telemovie Bukan Orang Kita arahan Tony Francis Gitom, Carrey mengakui agak kekok beraksi di depan kamera. “Hari-hari terawal beraksi di lokasi saya gementar. Tapi kerjasama yang baik daripada rakan-rakan dan pengarah telemovie itu sendiri membantu saya mengumpul keyakinan untuk melakukan yang terbaik. Masih banyak ruang untuk membaiki mutu lakonan tapi pembabitan saya dalam telemovie itu adalah pengalaman cukup berharga yang akan menjadi asas lebih kukuh untuk saya membina kerjaya dalam bidang ini.”

Ednesta Francis

Artis bertubuh kecil ini agak introvert. Namun dalam sikap pemalunya itu, penulis dapat merasakan aura “bintang” yang ada dalam dirinya. Lontaran vokalnya begitu matang lewat lagu Bohong yang dimuatkan dalam album Idola Sabah 2005. “Saya selesa mendendangkan lagu Bohong yang sedikit upbeat. Tapi jika diberi pilihan . saya lebih suka membawakan lagu-lagu bernada perlahan.” Jelas Ednesta yang kini kembali sibuk dengan aktiviti persekolahan. Berlakon dalam telemovie Bukan Orang Kita memberi pengalaman cukup berharga buat bakat dari Kiulu ini. “Memandangkan penggambaran dibuat sewaktu cuti persekolahan, saya tidak ada masalah untuk datang ke lokasi. Tapi apabila sesi persekolahan bermula kelak, saya perlu berikan tumpuan kepada pelajaran.” Mengikut perancangan Penampang Studio, syarikat yang menaungi artis-artis Idola Sabah, Ednesta dan Wilton akan bergabung dalam sebuah album bahasa tempatan yang dijangka akan dipasarkan sebelum Pesta Kaamatan tahun ini. Album itu akan diterbitkan oleh komposer/penulis lirik Ramli Ahmad. “Dalam album ini saya akan menyanyi dua buah lagu duet bersama Wilton. Lagu-lagu lain dalam album itu nanti akan kami sampaikan secara solo.”
(Bersambung...)

0 comments: