Maestro terbit album sempena Krismas
19-12-2006 01:41:43 PM
Oleh WAHIDA ASRANI
Di atas sambutan yang menggalakkan terhadap album Hari Raya dendangan artis-artis AF sebelum ini, Maestro Records mengambil inisiatif sekali lagi dengan menerbitkan pula album khas sempena sambutan perayaan Krismas tidak lama lagi.
A Very Merry Christmas yang menampilkan lagu-lagu Krismas juga dendangan enam artis Akademi Fantasia iaitu Burn, Felix, Velvet, Marsha, Rich dan Lotter telah pun mula berada di pasaran.
"Ini percubaan pertama kami terbitkan album sempena Krismas. Kita sasarkan album ini terutamanya untuk mereka yang berada di Sabah dan Sarawak.
"Walaupun tidak ramai di negara ini yang menyambut Krismas, tetapi kami yakin album ini masih mampu mendapat sambutan sama seperti album-album Hari Raya yang kami pernah terbitkan," ujar Ketua Pengurusan Artis Maestro, Aman Ali di majlis pra-dengar album itu di Betarecs, Damansara, baru-baru ini
Sebanyak 11 buah lagu evergreen Krismas, termasuk dua buah lagu baru ditampilkan di dalam album ini. Antara lagu-lagu yang dirakamkan semula ialah Silent Night, I'll Be Home For Christmas, White Christmas dan Santa Claus Is Coming To Town.
Manakala dua buah lagu baru itu pula ialah Christmas Montok Dikoyu (di dalam bahasa Dusun) nyanyian Felix dan Tuhan Poboros No (bahasa Dusun) ciptaan dan lirik oleh bapa Lotter, Petrus Edwin Edin yang dinyanyikan oleh Lotter sendiri.
Menurut Aman lagi, pihak Maestro selepas ini juga bercadang untuk meneruskan tradisi dengan mengeluarkan album-album khas seperti ini setiap tahun berikutan kejayaan album-album Hari Raya terbitan mereka yang mencecah jualan melebihi 10,000 unit.
"Bagi kami, ia bukan saja dapat memeriahkan lagi suasana perayaan, malah album seperti ini dapat memberi peluang kepada artis-artis itu juga untuk terus bergiat aktif di dalam industri ini.
"Apa yang boleh saya janjikan, album ini bukan semata-mata hanya untuk Krismas, tetapi dengan susunan muzik yang cukup teliti oleh pihak produksi, ia sesuai untuk dimiliki oleh sesiapa saja termasuk yang tidak menyambut perayaan ini," kata Aman.
Sementara itu, artis-artis AF yang terlibat di dalam album A Very Merry Christmas ini turut melahirkan rasa bangga dan gembira dengan keputusan Maestro untuk mengeluarkan album tersebut, walaupun menyedari tidak ramai yang menyambut perayaan Krismas di negara ini
"Walaupun proses pembikinan album ini hanya memakan masa tiga minggu, tetapi ia adalah album yang berkualiti, bukan setakat 'tangkap muat'.
"Saya amat gembira akhirnya tercapai juga hasrat untuk mempunyai album Krismas sendiri kerana setiap tahun saya hanya mendengar lagu-lagu Krismas nyanyian artis lain saja, terutamanya dari luar negara," kata Burn.
Bagi Lotter pula, sudah tentu album Krismas ini memberi makna tersendiri buatnya memandangkan buat pertama kalinya juga dia menyanyikan lagu ciptaan oleh ayahnya sendiri.
"Sebenarnya, memang sudah lama ayah saya cipta lagu itu sewaktu dia masih muda lagi. Jadi, saya sampaikan hasrat kepada Maestro untuk masukkan lagu tersebut di dalam album ini.
"Memang hanya beberapa buah lagu saja yang saya nyanyikan, tetapi saya sudah cukup berpuas hati," ujarnya.
Begitu juga dengan Felix yang merasakan album khas ini mempunyai kelainan tersendiri bagi dirinya, lebih-lebih lagi buat pertama kalinya juga Felix menyanyikan lagu di dalam bahasa Dusun.
"Percubaan pertama, tetapi seronok sebenarnya. Lagu tu pula ciptaan saudara saya sendiri, Jarme, jadi sudah tentu lagu tersebut memang cukup istimewa buat saya," katanya.
Album A Very Merry Christmas ini boleh didapatkan di dalam bentuk CD dengan harga RM21.