13 Dec 2006

Nikki dan Yanie terus gilap bakat

Nikki, Yanie terus gilap bakat
Oleh TENGKU KHALIDAH TENGKU BIDIN

KALAU selamanya pun mereka akan terus dikaitkan dengan nama penyanyi popular Ning Baizura, ia tidak sedikitpun menjadi kudis kepada dua bakat baru ini.

Baik Nikki ataupun Yanie menganggap peluang mendekatkan diri dengan ‘diva’ itu adalah sesuatu yang sangat berharga.

Mereka tidak kisah kalau bayang Ning akan terus dikaitkan sampai bila-bila kerana sedar yang mereka banyak terhutang budi kepada penyanyi itu dan pengurusnya, Vernon Kedit.

Bagi Nikki, namanya sedikit sebanyak dikenali ramai kerana didikan Ning dan tidak menjadi hal yang besar, kalau sampai bila-bila pun nama itu terus melekat di ingatan orang lain juga.

‘’Dia banyak membantu sewaktu awal pembabitan saya dengan dunia artis. Jadi saya kena akur dan tidak pernah berasa gusar apabila saya akan terus dikaitkan dengan Kak Ning sampai bila-bila pun,’’ kata si cantik yang pernah muncul dengan album Maharani ini.

Nikki bakal muncul dengan album pakej semula Maharani tidak lama lagi dan menganggap ia adalah satu peluang yang terindah dalam diarinya sebagai penghibur.

Album itu adalah pakej semula dari Maharani yang telah mempopularkan nama Nikki di persada seni tanah air.

‘’Album pakej ini diterbitkan sebab banyak yang Nikki tak puas hati daripada apa yang ada dalam Maharani.

‘’Baik dari segi imej dan sebagainya, Nikki rasa perlu diperbaiki lagi dan sebab itulah lahirkan album pakej semula ini,’’ katanya.

Menurut Nikki, dia merasakan lagu-lagu dalam Maharani terlalu bagus tetapi belum ramai yang betul-betul mendengarnya lagi.

‘’Sayang kalau ia terus terbiar. Sebab itulah Nikki buat album pakej semula,’’ kata lagi.

Maharani ‘repakej’ bakal diedarkan oleh SonyBMG Music dan akan memuatkan remix lagu Caramu 2006 selain lagu-lagu lain dalam Maharani. Sementara itu lagu Drama yang dinyanyikan bersama dengan Yanie dan Ning sendiri juga akan menjadi bonus istimewa dalam album ini.

Sementara itu bagi Yanie pula dia terpaksa bersabar untuk menantikan kelahiran album solonya. Album ini dijangka akan dipasarkan pada Januari depan.

Album berkonsep pop Melayu ini juga bakal memuatkan semula lagu Saling Percaya yang dipopularkan Yanie bersama dengan Diddy.

Sumber

0 comments: