26-06-2007 03:19:45 PM
Oleh ZIEMAN
Antara 12 peserta program realiti terbaru TV3, MyStarz, LG rasanya Awang Jasmin Jaimin mempunyai kisah sedih yang boleh meyentuh hati penonton.
Sekilas pandang, tidak ada siapa yang akan menyangka Awang yang berperwatakan ceria, 'happy go lucky' dan selalu mempamerkan keramahannya ada sesuatu yang terbuku di hatinya.
Pemuda berusia 26 tahun yang berasal dari Kota Belud, Sabah ini sebenarnya memendam sebuah cerita duka tentang famili tersayang di kampung. Terkenangkan ibu tunggal yang terpaksa menanggung adik-adik di kampung membuat Awang hampir lemas dengan tekanan perasaan yang dihadapinya.
Awang mengaku tidak dapat menumpukan perhatian sepenuhnya kepada pembelajaran disebabkan masalah kewangan yang dihadapinya itu.
Mujurlah rakan-rakan lain seperti Afif, Rubisa, Shaza dan Khairul Hizam senantiasa memberi perangsang untuk meringankan sikit beban yang dihadapinya. Malah mereka juga sanggup menubuhkan sebuah tabung bagi keperluan Awang.
Ketika masalah Awang diajukan kepada penerbit program, Jafni Abu Bakar atau lebih mesra dengan panggilan Mat Jepp, Awang hampir tidak dapat mengawal dirinya apabila bercerita tentang kesusahan yang membelenggu keluarganya di kampung.
"Saya asyik terfikirkan ibu di kampung bagaimana dia mungkin membayar sewa rumah dan menyediakan keperluan untuk adik yang bersekolah sedangkan selama ini saya yang menanggung kesemua mereka," kata Awang sambil matanya sayu mengharapkan satu jalan keluar.
Untuk menampung segala perbelanjaan keluarga dan diri sendiri, Awang terpaksa bertugas sambilan sebagai pengawal keselamatan di sebelah malam.
Sejurus itu juga, Jepp memberi kepastian yang dia akan menyelesaikan masalah Awang secepat mungkin.
Anak kedua dari lima beradik ini dilahirkan pada 25 Disember 1980 dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Sri Amar, Johor. Awang yang mengikuti jurusan Management di UNITAR Kota Kinabalu, Sabah dalam tahun akhir nekad mengambil cuti untuk mengikuti pembelajaran di MyStarz, LG.
Dek kerana terlalu minat dalam bidang nyanyian, Awang terpaksa mengorbankan pelajaran dan pekerjaan sambilannya itu. Awang yang mudah mesra dan senang didekati disebabkan perwatakannya yang ceria dan ‘happy go lucky' hampir tidak percaya apabila Jepp sanggup lunaskan 'tangungjawabnya' di kampung.
Awang yang suka bermain gitar dan minat menari ini turut meminati lagu-lagu kegemarannya yang bercorak pop rock seperti nyanyian idolanya Amy Search, Ziana Zain dan Zamani.
Pada konsert pertama MyStarz, LG yang akan diadakan pada hari Ahad, 1 Julai ini di Plaza Alam Sentral, Shah Alam, Awang telah diberikan tugasan untuk menyampaikan sebuah lagu kumpulan Search yang bertajuk Isi dan Kulit.
Konsert 'live' daripada 12 finalis ini akan ke udara di TV3 pada jam 6 hingga 7 petang.
11 finalis lain yang akan berkongsi pentas dengan Awang ialah Tasyha Bashir dari Kuala Lumpur yang akan menyampaikan lagu Stranger, Mimie Aishah dengan lagu Cahaya, Rachel Wesley (Mencintaimu), Shaza Marina Azmi dari Johor Bahru dengan (Tiada Logika), Ahmad Aliff Afif Tirmizie (Ghazal Untuk Rabiah) dan Mohd Emeer Iskandar Mohd Bakri dari Kuantan pula dengan Tiada Lagi.
Kesemua finalis sedang mengikuti pembelajaran muzik di 'LG House' di mana mereka dilatih oleh sekumpulan pemuzik yang terdiri dari Farihin Abdul Fattah (sebagai Pengetua), Aubrey Suwito (Pengarah muzik) dengan pemuzik iringan Lewis Pragasam, Nan Alias, Steve Thornton dan pemain drum Luke Mason.
MyStarz, LG dihoskan bersama oleh Daphne Iking dan Naz Habibur Rahman.
Format undian SMS juga digunakan di dalam program ini di mana hanya 40 peratus undian dikutip daripada SMS dan 60 peratus lagi daripada penilaian juri.
MyStarz, LG mempunyai kelainan tersendiri dimana setiap pelajar akan diberikan pendedahan untuk menjadi penyanyi. Mereka juga akan terlibat dalam program kebajikan dan pelbagai aktiviti kemasyarakatan.
Peserta juga akan diberi tips tentang perhubungan awam dan bagaimana untuk menjawab soalan-soalan dari pihak media. Setiap peserta juga akan diberi grooming dari minggu pertama sehinggalah ke akhir episod.
Penaja utama MyStarz, LG ialah LG sementara penaja penginapan rasmi ialah Best Western Premier Seri Pacific Hotel. Penaja bersama lain ialah Yamaha Music, Proton Holdings Berhad, KCC Paint Sdn Bhd, Ayamas Food Cooperation manakala penaja pakaianialah Rizman Ruzaini, ADIDA (M) Sdn Bhd dan Converse (M) Sdn Bhd.
Juara MyStarz, LG berpeluang memenangi wang tunai berjumlah RM100, 000.
"Tugas Awang cuma belajar sahaja. Jangan fikirkan masalah kat kampung. Itu tugas abang. Insya Allah abang akan bantu...," jelas Jepp lagi.
Mendengar penjelasan dari Jepp, tampak keceriaan di wajah Awang yang tidak henti-henti memanjatkan kesyukuran.
"Barulah saya boleh tumpukan perhatian kepada pelajaran. Tentu Mama saya akan cukup terharu," kata pemuda berhemah yang berasal dari Kota Belud, Sabah ini.
*Hmm...macam satu trend pula individu sanggup meninggalkan pengajian gara-gara menguji kemampuan dalam bidang seni, wajarkah(?)
1 comments:
Saudara yang budiman, saya sebagai salah seorang penonton atau erti kata lain pengikut setia pada rancangan Mystarz berpendapat cara penulisan begini(sepeti yang di atas) tidak seharusnya berlaku kerana idea sebegini seakan-akan cuba mengambil kesempatan, mempromosi ataupun meminta simpati penonton bagi mengaut undian yang banyak sedangkan kita sepatutnya lebih mengutamakan bakat semulajadi yang ada pada setiap para peserta Mystarz LG.Mengapa perlu beliau saja yang diwar-warkan sedangkan banyak lagi kisah sedih yang terselindung disebalik setiap para peserta ini semua.Kita sepatutnya memberi sokongan dan bukan membantu menjaja kisah sedih masing-masing.Bakat dan usaha yang perlu dinilai dan ianya akan terpantul secara semulajadi melalui nyanyian atau persembahan hasil dari pembelajaran masing-masing.Jika anda berpendapat Awang sahaja yang mempunyai kisah sedih apa kurangnya dengan salah seorang peserta yang bernama Ijam yang malah mempunyai kisah hidup yang lagi sedih namun memendamnya begitu sahaja kerana tidak mahu meraih simpati tapi bakat yang ada yang diutamakan dan yang ingin ditonjolkan di sini.Diharap ianya tidak berulang kerana kita harus percaya setiap peserta Mystarz mempunyai matlamat yang sama iaitu untuk berjaya dan menang dalam pertandingan tapi yang membezakannya hanya pengalamam.Pengalaman yang baik maupun buruk yang sedia ada sebelum atau sesudahnya akan mengajar mereka untuk berusaha kukuh memantap setiap persembahan masing-masing.Maka bersikap adillah kepada semua peserta Mystarz LG kerana dengan cara ini saja mereka dapat bertanding dengan cara yang sihat.Terima kasih.
Post a Comment