20 Jul 2006

Undian Lotter seperti disekat?

Oleh Boyd PV

Hiburan Harian Ekspres

Ramai yang berderai air mata ketika hos Aznil Haji Nawawi mengumumkan peserta dari Sabah, Lotter Petrus edwin Edin akan meninggalkan Akademi Fantasia di penghujng Konsert Ke-7, malam Sabtu lepas. Sekalipun menghadirkan persembahan meyakinkan ketika melontarkan vokal lewat lagu popular Sudirman Hj Arshad, Chow Kit Road, kedudukan paling bawah tidak memungkinkan Lotter meneruskan langkah menuju puncak di Akademi. Tapi itulah suratan. Perjuangan Lotter di Akademi terhenti setakat Konsert Ke-7 kerana undian tidak mencukupi. Apapun, itu tidak bermakna langkahnya dalam bidang seni sudah menemui noktah. Seperti yang pernah dilalui bekas pelajar AF4 yang lain – Nora, Karen, Rich, Salima dan Diddy – Lotter kini sibuk memenuhi jadual yang telah diatur oleh Astro. Selain muncul dalam Imbasan Akademi Fantasia Ahad lepas, Lotter turut muncul dalam beberapa program TV termasuk Trek Selebrti, Muzik @ Ria, photocall dan temubual bersama media cetak, persembahan pentas dan banyak lagi. Kehidupan sebenar Lotter sebagai artis sudahpun bermula. Kini dia berdepan dengan dunia sebenar, tidak lagi dikongkong oleh dinding konkrit di Akademi Fantasia.

Penulis menghubungi bapa kepada Lotter, Petrus Edwin Edin, pagi kelmarin untuk cuba mendapatkan perkembangan terbaru bekas pelajar AF4 itu. “Sekalipun Lotter sudah keluar dari Akademi, kami sebenarnya masih belum dapat bercakap dengannya kerana dia masih dikuarantin oleh pihak Astro,” kata Petrus yang dihubungi di rumahnya di kampung Dungau, Membakut. Menurut Petrus, dia cuba menghubungi telefon bimbit anaknya itu pada pagi Ahad tetapi tidak berjaya. “Kami juga merindui Lotter tetapi nombor telefon bimbit beliau tidak dapat dihubungi. Ketika menghubungi wakil Astro, saya difahamkan bahawa Lotter sebenarnya masih dikuarantin dan tidak sesiapa dibenarkan berhubung dengannya melalui telefon, termasuk keluarganya sendiri dan pihak media. Telefon bimbit juga belum diserahkan kepada Lotter. Kami tidak tahu apa sebabnya dan memandangkan Lotter terikat kontrak bersama Astro sekurang-kurangnya sehingga Akademi Fantasia 4 berakhir, kami terpaksa akur dengan keadaan ini. Kerana itu saya minta maaf banyak-banyak kerana tidak dapat memberitahu sebarang perkembangan Lotter. Kami sendiri masih belum dapat bercakap dengannya.” Mungkinkah kesukaran menghubungi Lotter, sekalipun oleh anggota keluarganya, membayangkan ada satu kejutan yang menanti bekas pelajar Af4 dan penyokong-penyokongnya? “Itu saya tidak berani bagi sebarang komen. Tapi ramai juga yang mengharapkan Lotter kembali ke AF. Bagi kami selaku keluarga Lotter, kami terima keputusan penyingkiran itu dengan hati terbuka. Penyingkirannya malam Sabtu lalu memang memeranjatkan kerana dari segi persembahan, saya fikir Lotter telah melakukan sehabis baik. Kritikan yang diterimanya juga bernada positif.

Tapi memandangkan undian tak mencukupi apa nak buat. Cuma, bercakap mengenai undian, saya agak terkilan kerana undian yang kami hantar kepada Lotter seolah disekat. Ahli-ahli Lotter Fan Club mula menghantar undian seawal Jumaat. Malangnya, balasan kepada SMS yang dihantar hanya diterima selepas Konsert dan selebihnya pada Ahad. Peratusan Lotter juga langsung tidak berganjak walaupun sudah banyak undian kami hantar. Kami mengesyaki berlaku masalah teknikal sehingga undian yang dihantar kepada Lotter seperti tersekat. Pada pagi Sabtu, kami terus menghantar undian dan pada mulanya, kami mendapat balasan bagi mengesahkan undian telah diterima. Malangnya, bermula di sebelah tengah hari sehinggalah konsert berakhir, undian yang kami hantar langsung tidak mendapat pengesahan sehinggalah keesokan harinya.Apapun, mewakili Lotter, saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah menghantar undian kepada Lotter sepanjang anak saya itu berada di Akademi. Cuma saya pinta, janganlah salahkan pelajar-pelajar lain gara-gara penyingkiran Lotter seperti yang kerap kita nampak di karpet Saluran @ 15. Kepada penyokong Lotter, saya minta janganlah timbulkan sebarang kontroversi, apa yang sudah berlaku biarkanlah berlalu. Anggap saja rezeki Lotter di Akademi Fantasia setakat di situ dan terus mendoakan kejayaan Lotter dalam bidang yang dipilihnya.

Dalam pada itu, sebagai bapa kepada Lotter, saya juga berharap agar penyokong-penyokong Lotter terus memberi sokongan kepada peserta dari Sabah yang masih bertahan di Akademi, Velvet. Teruskan menghantar undian kepada pelajar ini untuk menjamin tempatnya di final dan kalau boleh biarlah kita angkat dia jadi juara Akademi Fantasia 4.” Selesai membuat persembahan, Lotter menerima pujian daripada dua pengkritik jemputan, Edry KRU dan Siti Nurhaliza. Bagaimanapun, pengkritik tetap Adlin Aman Ramlie tidak memberi sebarang ulasan sebaliknya Astro menyiarkan visual hitam putih menunjukkan komen Adlin sewaktu konsert minggu pertama dulu di mana Lotter menyanyikan lagu Azizah. Dalam visual itu, Adlin memberikan pujian menggunung setelah melihat persembahan Lotter:” Awak boleh balik sekarang. Masa final nanti, awak boleh datang balik.” Permintaan Adlin itu tidak berlaku serta merta sebaliknya ia hanya menjadi kenyataan di Konsert Ke-7 di mana Lotter terpaksa mengusung bagasinya sekalipun menghadirkan persembahan yang menghiburkan. Mungkinkah Lotter akan kembali ke final nanti, sepertimana yang dipinta Adlin? Hanya Astro sahaja yang mempunyai jawapannya. Tapi, kalaupun perkara itu tidak berlaku, bak kata sesetengah media, pemergian Lotter cukup bermaruah.

2 comments:

F!oNa said...

sia suka baca nie tulisan c Boyd.. pounsikou dB. Cuma, sia suda tutup undian.. tia mo mengafundi pelajar lain lagi.. SEKIAN.

-LOTTER SIA TATAPS SUKUNG KO PUNYA

dBOSfm said...

Uinaa..Yan..save credit sudah kau!