7 Jul 2006

TV3 Mentor - Rachel James Ansibin



Belum terlambat Nurul kongsi ilmu dengan protegenya bagi menghadapi Konsert Prolog Ahad ini

PENGALAMAN pahit manis sepanjang 10 tahun bergelar penyanyi akan dikongsikan Nurul kepada dua protegenya Nuriylia Jailani, 21, dan Rachel James Ansibin, 23, bagi menghadapi cabaran hidup baru sebagai penyanyi.

Nurul akan memberikan sepenuh perhatian kepada dua protegenya supaya mereka dapat melakukan yang terbaik bagi menghadapi Konsert Prolog, Ahad ini jam 9 malam. Biarpun terpaksa akur salah seorang daripada mereka akan kecundang.Walaupun masa sudah terlalu suntuk, tapi belum terlambat untuk Nuriylia atau Nieyl dan Rachel memperbaiki mutu vokal mereka. Sejak kelmarin, Nieyl dan Rachel giat menjalani latihan bersama mentor mereka di studio Wake The Baby, Taman Tun Dr Ismail, Damansara.Peranan yang dimainkan Nurul tidak hanya tertumpu kepada vokal saja, tetapi semua aspek untuk bergelar penghibur. “Saya memang seronok dapat berkongsi pengalaman dengan pendatang baru. Bagi saya ia satu pembaziran jika bakat mereka dipersia-siakan begitu saja. Memang semua orang boleh menyanyi tapi kadang-kadang mereka tidak tahu teknik menyanyi yang betul.“Kesempatan ini akan saya gunakan untuk mencurahkan pengalaman yang tidak seberapa kepada mereka. Saya sendiri yang menawarkan diri untuk mencurahkan tenaga dalam pertandingan ini.“Saya sudah merasai betapa susahnya untuk dikenali lebih-lebih lagi jika tiada sesiapa memberikan dorongan. Mereka wajar bersyukur sebab banyak program mencungkil bakat sekarang,” katanya.Bukan Nieyl dan Rachel saja berdebar-debar menantikan penentuan nasib mereka kelak. Nurul juga turut sama berdebar malah sukar baginya meramalkan siapakah antara mereka berdua yang akan mara memandangkan kedua-duanya cukup berbakat.Barangkali Nieyl mempunyai kelebihan berdasarkan pengalaman menyanyi di Restoran Cerana.

Sebaliknya Rachel pula agak gugup di pentas, tapi bakatnya juga tidak boleh dipandang rendah kerana gadis kelahiran Sabah ini pernah menimba pengalaman sebagai penyanyi gereja.

Adat pertandingan ada yang menang dan ada yang kalah. Seandainya mara ia adalah satu bonus, namun kecundang bukan bermakna perjalanan untuk mengharungi dunia seni berakhir.Tipu seandainya tiada keinginan untuk menang begitu juga hasrat yang tersimpan di dada anak jati Kuala Lumpur, Nieyl. Apa lagi ini adalah pengalaman pertamanya menyertai pertandingan sebesar Mentor, justeru dia sudah memasang strategi untuk meraih undi.“Kalau boleh memang saya berharap sangat dapat ke peringkat seterusnya. Saya tidak rasa Konsert Prolog sebagai pertandingan tetapi persaingan yang sihat.“Saya akan cuba curi ilmu Nurul sebagai persediaan untuk ke konsert nanti. Walaupun saya berpengalaman menyanyi tetapi Rachel juga mempunyai kelebihan tersendiri,” katanya yang memilih lagu daripada Juliana Banos, Yang Mana Satu.Jika Nieyl mempunyai cara tersendiri untuk menarik penonton,

Rachel pula memasang strategi dengan memilih lagu Melayu untuk mengumpul undi daripada penonton Melayu. Lazimnya peserta dari Sabah sering meraih undi tinggi, tapi Rachel tidak menganggap dia sudah berada dalam zon selamat.Perasaan gemuruh di pentas adalah masalah utama yang cuba dibendung gadis Sabah ini sebelum menjelangnya konsert.“Saya akan cuba kawal perasaan takut kerana boleh menjejaskan mutu persembahan saya. Akibat terlalu takut saya menangis dan terjatuh semasa mengikuti kelas Azmeer. “Saya tidak anggap mempunyai kelebihan meraih undian dengan mudah kerana orang Sabah sudah pandai menilai sama ada penyanyi itu berbakat atau tidak,” katanya yang akan mendendangkan lagu milik Kris Dayanti, Cobalah Untuk Setia.

PROFILRachel James Ansibin
Umur: 23 tahun
Tarikh Lahir: 6 Disember 1983
Asal: Sabah
Penyanyi Pujaan: Celine Dion

0 comments: