10 Dec 2006

Minatnya belum pudar


SETELAH sekian lama menyepi dari industri perfileman tanah air, namanya kembali menjadi sebutan apabila dia dipilih sebagai Tokoh Perfileman Finas 2006, bulan lalu.Deddy M Borhan, satu nama yang sinonim dengan kebangkitan filem Melayu tanah air sekitar era 70-an dan 80-an. Meskipun, generasi baru tidak begitu mengenalinya, hakikatnya, M.Borhan, atau nama sebenarnya, Maddin Borhan adalah penyelamat maruah perfileman Melayu yang ketika itu tercalar oleh kemasukan filem-filem luar khususnya dari Indonesia. Khamis lalu, Hiburan Ekspres sempat menemubual M Borhan, yang tetap kelihatan awet muda pada umur menjangkau 60-an.

Oleh Boyd PV
(boyd_pv@yahoo.com)

"SAYA tidak pernah menyangka akan menerima pengiktirafan setinggi ini daripada Finas," katanya mengenai anugerah Tokoh Perfileman Finas 2006 yang diterimanya daripada Menteri Kebudayaan Kesenian dan Warisan Malaysia (KeKKWa) Dr Rais Yatim, sempena Hari Finas Ke-25, 10 November lalu. Dan kenyataannya itu mudah difahami kerana bukan calang-calang individu yang turut dicalonkan untuk menerima anugerah itu.

Berada dalam senarai ialah Dr Rais sendri, Senator Datuk Jins Shamsuddin, Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) Datuk Mustapha Maarof dan Presiden Persatuan Pekerja Filem Malaysia (PPFM), Syed Mohamed Benyahya.(Bagaimanapun, khabarnya pencalonan Dr Rais dan Jins Shamsuddin digugurkan oleh panel juri atas alasan kedua-dua individu ini terlibat secara langsung dengan Finas).

"Saya sendiri tidak begitu pasti kenapa nama saya dicalonkan. Tapi sekurang-kurangnya ia menyelongkar semula apa yang telah saya lakukan dalam industri perfileman selama ini. Ini adalah satu penghormatan yang cukup besar dan menjadi lambang kegigihan usahawan dan karyawan filem era itu," kata M Borhan yang pernah dikenali sebagai pelakon,penyanyi, pengarah dan penerbit filem yang disegani. "Apabila kita bercakap mengenai tokoh perfileman, bagi saya, itu satu perkara yang subjektif. Tetapi mendengar ulasan yang dibuat oleh panel pemilih mengenai pemilihan saya, saya dapati pemilihan yang dilakukan itu adalah hasil daripada kajian terhadap diri saya yang dibuat dengan teliti dan cukup mendalam," katanya yang menerima wang tunai, selempang, sijil dan pingat Finas atas pemilihannya sebagai penerima anugerah berprestij itu.

Sejarah pembabitan M Borhan dalam perfileman negara cukup panjang. Menceburkan diri dalam industri perfileman tanah air sekitar tahun 1973, M Borhan terus mengorak langkah berani dengan menubuhkan syarikat perfileman Sabah Filem Producrtion (SFP) pada tahun 1975 dalam usaha untuk menyelamatkan industri filem Melayu yang semakin malap ketika itu. "Ketika itu filem Melayu di Singapura semakin lumpuh apabila Malay Film Production terpaksa gulung tikar pada 1969 sementara Cathay Kris Film pula menemui noktah tiga tahun kemudian," kata M Borhan dalam pertemuan yang berlangsung di Hotel D'Aru, Tanjung Aru. Untuk meneruskan survival, mereka berpindah ke Kuala Lumpur yang ketika itu cuma mempunyai Merdeka Studio di Hulu Klang.

Penggiat seni termasuk sutradara, seniman, seniwati serta pekerja filem sekadar makan gaji dengan pemilik syarikat. Tidak mudah untuk orang Melayu ketika itu membuka sebuah syarikat perfileman sendiri. "Malangnya, Merdeka Studio juga tidak mampu bertahan dengan asakan filem-filem luar dan terpaksa berkubur tidak lama kemudian," tambahnya. Dalam kemelut yang meruncing itulah M Borhan bangkit bersama SFP, ketika berusia 31 tahun. Filem pertama yang dihasilkannya ialah Keluarga Si Chomat. Filem warna arahan Aziz Sattar pada tahun 1975 itu membuka kembali minat penonton Melayu untuk kambali ke panggung sekaligus memulihkan semangat karyawan penggiat filem Melayu lain. Dan selepas itu, satu demi satu syarikat perfileman tumbuh seperti cendawan selepas hujan.

Selama 10 tahun, SFP berjaya menghasilkan 18 buah filem yang kebanyakannya berada dalam senarai pecah panggung (box office). Filem-filem itu ialah Keluarga Si Chomat (1975), Hapuslah Air Matamu (1976), Pendekar (1977), Gila-Gila, Kisah Seorang Biduan, Si Badul, Si Luncai dan Tuan Besar (1980). Sumpah Semerah Padi dan Toyol menyusul pada tahun 1981, Bertunang (1982), Manis-Manis Sayang, Mat Salleh Pahlawan Sabah (1983), Azura, Di Ambang Kasih, Pagar-Pagar Cinta, Talaq (1984) dan yang terakhir si Jantung Hati (1985).

Jika diperhatikan senarai filem yang diterbitkannya, Filem Azura lakonan Jamal Abdillah dan Ogy Ahmad Daud itu boleh disifatkan sebagai filem yang memberi kejutan besar apabila muncul sebagai filem Melayu pertama mencatat kutipan tiket box office melebihi RM 1 juta. (Kutipan jualan tiket filem itu mencecah RM2 juta). Sekalipun sudah hampir 22 tahun tidak mengarah filem cereka, itu tidak bermakna M Borhan sudah melupakan bidang pengarahan. Buktinya, bersama syarikat baru yang ditubuhkannya, Mbrizi Production selepas SFP dibubarkan pada akhir tahun 1980-an, beliau kini sedang dalam proses menerbitkan sebuah filem dokumentari mengenai Lembangan Meliau.

"Saya tertarik untuk merakam keunikan Lembangan Maliau kerana ia belum tercemar oleh pembangunan dan dikatakan tidak pernah diterokai oleh mana-mana suku kaum sejak ribuan tahun yang lalu. Ia satu projek yang besar dan perlu dibuat dengan teliti kerana saya ingin melihat filem itu nanti ditayangkan di Discovery Channel. Selain itu, turut berada dalam perancangan saya ialah penerbitan filem cereka. Tapi kalau saya ingin terbitkan filem sebegitu, ia hanya akan dapat saya lakukan tahun depan. Saya juga berminat untuk menghasilkan sebuah filem mengenai sejarah tokoh-tokoh pejuang Sabah," katanya yang mengakui sibuk dengan komitmen lain kerap membantutkan hasratnya untuk kembali menerbitkan filem cereka.

Bagi penulis, pemilihan M Borhan sebagai Tokoh Perfileman Finas 2006 perlu dilihat sebagai satu suntikan semangat kepada penggiat seni di Sabah untuk lebih berani mengambil risiko dalam usaha merancakkan aktiviti (bukan industri) perfileman di negeri ini. Tidak ada sebab untuk kita tidak mampu bersaing di peringkat nasional kerana Deddy M Borhan dan Sabah Filem Production sudahpun membuktikannya. Malah dalam usia 62 tahun, minatnya untuk menghasilkan filem bermutu belum pudar.



Anugerah Perfileman Finas 2006

ANUGERAH Perfileman Finas diwujudkan dalam usaha memberi pengiktirafan kepada para artis, karyawan, pengamal dan penggalak yang telah memperlihatkan ketokohan, penglibatan dan sumbangan aktif dan berterusan dalam bidang perfileman Malaysia. Diperkenalkan pada tahun 2002, anugerah ini diadakan setiap dua tahun atau mengikut keputusan mesyuarat Ahli Perbadanan. Pemilihannya dikendalikan oleh satu panel pemilih yang dilantik Finas. Penerima pertama Anugerah berprestij ini ialah Y. Bhg. Tan Sri Dato' Seri Utama Abdul Samad Idris. Anugerah disampaikan pada 23 Jun 2002 sempena Sambutan Hari Finas Ke-21. Penerima kedua ialah Y. Bhg. Datuk Jamil Sulong yang menerima pengiktirafan itu pada 10 Jun 2004 sempena sambutan Hari Finas Ke-23. Sempena sambutan Hari Finas Ke-25 pada 10 November 2006, anak Sabah Deddy M Borhan diiktiraf oleh Finas sebagai Tokoh Filem Nasional.

0 comments: