6 Dec 2006

Amy sanggup berkorban demi Fiq

NORHADIANI BAHARO
Myanie@hmetro.com.my

TERNYATA keputusan Amy Search menarik diri daripada menyanyikan lagu Suralaya Dalam D’Major ketika Separuh Akhir Muzik Muzik 21 kategori Balada Jumaat lalu berbaloi apabila protegenya, Fiq, menjuarai Konsert Akhir Mentor 2, Ahad lalu.

Itulah juga sebab utama Amy menarik diri sehari sebelum pertandingan kerana komitmennya membimbing Fiq. Itulah alasan yang diberikan TV3 mengenai ketiadaan lagu ciptaan Edrie Hashim itu untuk berentap bersama sembilan lagu lain.

Bagaimana dengan Amy? Apakah itu sebab sebenar atau ada sebab lain? Tambahan pula timbul khabar angin mengatakan ada yang tidak puas hati dengan keputusan juri ketika membuat penilaian kategori Irama Malaysia & Etnik Kreatif pada 24 November lalu.

Komposer M Nasir dikatakan ingin menarik diri daripada mempertandingkan lagunya bagi kategori Pop Rock pada 8 Disember ini sebagai protes keputusan juri apabila lagu ciptaannya, Nafas Cahaya nyanyian Misha Omar gagal ke Anugerah Juara Lagu ke-21 (AJL21). Ada beberapa penyanyi lain juga dikatakan mahu menarik diri.

Wartawan Harian Metro, NORHADIANI BAHAROM (yanie@hmetro.com.my) bersemuka dengan Amy atau nama sebenarnya, Suhaimi Abdul Rahman, 46, untuk mengetahui cerita sebenar.

SOALAN (S): Tahniah atas kejayaan protege anda, Fiq menjuarai Mentor musim kedua, Ahad lalu. Apa komen anda mengenai kemenangan Fiq?

JAWAPAN (J): Bagi saya komitmen, fokus, dedikasi serta usaha keras yang ditunjukkan Fiq rahsianya dan dia memang layak menang.

S: Anda sanggup mengorbankan lagu Suralaya Dalam D’Major apabila menarik diri daripada Separuh Akhir Muzik Muzik 21 kategori Balada Jumaat lalu. Alasan penganjur, anda tidak dapat memberi komitmen kerana Mentor. Adakah itu sebab sebenar?

J: Saya tidak sangka perkara ini boleh jadi satu isu besar. Sebab utama saya terpaksa menarik diri kerana saya terlalu komited pada kerja khususnya Mentor. Jadi saya tidak mahu usaha serta tenaga yang dicurahkan pada protege saya, Fiq selama ini berhenti separuh jalan apabila tumpuan saya dialihkan untuk Separuh Akhir Muzik Muzik.Mentor soal masa depan Fiq dan saya mahu melihatnya berjaya. Sebab itu saya berkorban dengan menarik diri dari Muzik Muzik. Saya tidak menyesal malah ternyata pengorbanan saya berbaloi apabila Fiq muncul juara.

S: Amy sanggup berkorban untuk Fiq tapi bagaimana dengan komposer Edrie Hashim yang pasti mengharapkan lagu itu berjaya ke AJL21?

J: Kalau kategori Balada diadakan selepas konsert akhir Mentor, sudah tentu saya menyertainya tapi ia berlangsung dua hari sebelum Mentor. Walhal waktu begitulah yang paling getir bagi peserta membuat persiapan terakhir. Lalu bagaimana saya mahu meninggalkan Fiq sedangkan saya sendiri terbabit membuat persembahan. Tidak kira sama ada Mentor atau Muzik Muzik, pengikut Fiq adalah peminat rock juga seperti saya.

S: Bagaimana reaksi Edrie ketika Amy meluahkan hasrat menarik diri?

J: Apabila sebut pertandingan Muzik-Muzik, penyanyi sebenarnya tiada hak melainkan komposer kerana mereka individu paling berhak membuat keputusan. Jika dia bertegas untuk menyertai pertandingan itu, jadi apalah kuasa saya melawan. Bagaimanapun kami berdua sudah berbincang secara baik. Jelas dia tidak kisah dan memahami situasi saya kerana dia juga terbabit dengan Mentor selaku pengarah muzik. Bukan itu saja, kami juga mengemukakan beberapa cadangan misalnya tempat saya diganti penyanyi lain tetapi saya difahamkan ia melanggar syarat pertandingan.

S: Memandangkan Amy tidak menjelaskan hal sebenar kepada umum ada yang membuat tanggapan anda menarik diri sebagai protes terhadap keputusan kategori Irama Malaysia & Etnik Kreatif.

J: Ini semua mengarut kerana ia tiada kaitan dengan saya kerana bukannya saya bertanding dalam kategori itu.

S: Apakah mungkin Amy bimbang keputusan tidak relevan yang dilakukan juri sebelum ini turut mempengaruhi kategori Balada sehingga anda menarik diri? Atau Amy sudah dapat meramal Suralaya Dalam D’ Major tiada peluang ke peringkat akhir?

J: Mana-mana pertandingan sekalipun ada saja keputusan juri yang orang tidak puas hati. Memang tidak dinafikan kadang-kadang keputusan juri memualkan tapi itu semua tiada kaitan dengan tindakan saya. Mengenai Suralaya Dalam D’Major, secara peribadi lagu itu antara yang terbaik pernah saya nyanyikan. Namun satu hakikat yang harus diingat semua, lagu yang bertanding adalah yang terbaik cuma sejauh mana juri bijak memilih lagu yang paling baik.

S: Komen Amy apabila M Nasir dikatakan mahu menarik diri daripada mempertandingkan lagunya dalam kategori Pop Rock Jumaat ini gara-gara tidak puas hati dengan keputusan Irama Malaysia & Etnik Kreatif?

J: Masing-masing ada alasan sendiri. Kalau betul M Nasir menarik diri sebagai tanda tidak puas hati dengan keputusan Irama Malaysia & Etnik Kreatif, saya rasa bukan sebab kecewa lagunya gagal ke final. Sebaliknya melihat keputusan juri sebagai tidak telus, tidak relevan dan berat sebelah apabila memilih lagu yang tidak berkualiti atau kurang layak ke final. M Nasir bukan calang-calang komposer. Ilmu muziknya luas, justeru bila ada unsur politik dalam pertandingan seperti ini lebih baik tarik diri dari hasil karya yang tinggi tidak dihargai. Apapun, itu sekadar pendapat saya mengenai pemikiran komposer itu.

S: Mengapa keputusan juri Muzik-Muzik sering mencetuskan kontroversi?.

J: Saya bukanlah orang yang layak bercakap hal ini. Namun berdasarkan pengalaman lebih 20 tahun menyanyi, setiap juri punya pilihan sendiri. Kadang-kala mereka juga ada kepentingan terikat dengan arahan dari pihak tertentu.

S: Apa kriteria yang perlu ada pada seorang juri dan adakah khidmat juri luar diperlukan?

J: Pertama mereka perlulah serba-serbi arif soal muzik, berpengalaman, menganalisis semua jenis muzik baik lagu lama atau yang terkini. Paling penting mereka harus bersikap ‘neutral’.

S: Sebagai penyanyi senior dan pemerhati seni, apa cara terbaik untuk memperbaiki mutu program Muzik Muzik?

J: Keseluruhan konsep program itu perlu dirombak dan dikemaskinikan semula. Untuk pertandingan akhir misalnya tidak perlu pembahagian kategori supaya lebih mudah memilih 12 lagu terbaik. Pendekatan ini pernah diperkenalkan TV3 ketika zaman Isabella dulu. Sebab itu keputusan Muzik-Muzik era 80-an dan 90-an lebih telus berbanding sekarang. Saya juga cadangkan lagu-lagu yang ingin bertanding setiap minggu perlu disertakan dengan klip video supaya penonton dapat mempelajari lebih terperinci mengenai seni yang bukan sekadar lagu, nyanyian tetapi juga bagaimana keindahan lagu itu diterjemahkan dalam bentuk visual. Tidak perlulah lagi mengundang artis ke studio semata-mata menyanyi secara miming.

S: Sebaik tamat program Mentor, apa projek Amy selepas ini?

J: Saya ingin bercuti di sebuah pulau indah bersama Fiq, keluarga, Edrie Hashim dan kawan-kawan. Seterusnya menumpukan persediaan pada konsert Search dan Slank pada 5 Januari nanti. Itupun kalau jadi.


dbfm: Mmm...apa sudah jadi dengan AJL21 kali ni..banyak betul kontroversi. Atau mungkin terlalu banyak pencalonan lagu yang hebat-hebat.

2 comments:

F!oNa said...

dB.. bagi pendapat sia la kan, mimang Amy seorang Mentor yang betul² buat sehabis baik. salute la sama dia!! sia betul² bangga dengan dia !! untung FIQ kan? :)

semua jawapan Amy di bawah memang masuk akal :)

dBOS-fm said...

Ya..betul tu Yan...masa separuh akhir Mentorpun dia tdk hadir, d khabarkan dia sibuk buat persediaan utk Mentor akhir juga..untung..memang untung c Fiq..jelous sya..kekek:)